_SeUnTai KaTa_

Jumaat, 31 Mei 2013

_Jutaan Terima Kasih_

Assalamualaikum ...

Pertama-tama kalinya, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah kami Dr. Rashid bin Idris yang telah banyak memberikan tunjuk ajar kepada kami selama satu semester ini dalam mempelajari ilmu Karya Agung. Banyak ilmu yang telah beliau curahkan kepada kami selama ini. Walau sekelumit kenangan yang tercipta, tetapi bagi kami, ia tetapi menjadi sebuah memorabilia yang indah buat kami semua pelajar-pelajar Karya Agung sesei 2012/2013. Jasamu akan terus di kenang.

Di harapkan, tugasan yang berupa blog ini mampu untuk memberi ilmu yang berguna kepada pengunjung-pengunjung blog kami yang budiman ini.

~SEKIAN~

Ahad, 26 Mei 2013

KOMPLILASI FILEM KARYA AGUNG


FILEM HANG TUAH





FILEM PUTERI GUNUNG LEDANG KLASIK






FILEM PUTERI GUNUNG LEDANG MODEN





FILEM SINGAPURA DILANGGAR TODAK






FILEM RAJA BERSIONG





FILEM SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG



Khamis, 23 Mei 2013

KOLEKSI ARTIKEL BERHUBUNG KARYA AGUNG


                     
Artikel 1
Ilmu Ketatanegaraan Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya
Raja Ali Haji
KHALIF MUAMMAR A. HARRIS

Ulasan artikel 

Artikel ini mengetengahkan Raja Ali Haji (1808-1873) sebagai ilmuwan dalam bidang ilmu ketatanegaraan Melayu. Karya beliau Gurindam Dua Belas, Bustan al-Katibin dan Tuhfat al-Nafis telah mengangkat kesarjanaan beliau dalam bidang sastera dan sejarah. Dalam kajian ini penulis mendapati karya beliau Thamarat al-Muhimmah juga memiliki kehebatan yang tersendiri dan dapat dianggap sebagai karya besar dalam ilmu ketatanegaraan Melayu. Antara perkara penting yang beliau kemukakan dalam karyanya ialah kepentingan akidah, kepentingan ilmu, pelantikan raja dan pemakzulannya, hukum menerima hadiah dan rasuah, kedudukan ulama atau ilmuwan dalam pemerintahan, prinsip keadilan, hubungan agama dan negara, pertalian antara hukum syarak, hukum akal dan hukum adat, tugas penjawat awam, tugas raja atau penguasa, kepentingan pemeliharaan jiwa, raga, dan kehormatan dan sifat-sifat tercela yang mesti dijauhi oleh raja dan orang-orang besar demi kemakmuran bangsa dan negara.

Semua permasalahan tersebut dijelaskan dengan padat dan ringkas, sehingga mudah difahami dan diamalkan oleh pembacanya. Karya Raja Ali Haji ini juga menggambarkan kuatnya pengaruh kerangka pemikiran Islam dalam pandangan dunia ilmuwan Melayu ketika itu sebelum merebaknya kerangka pemikiran yang sekular dan liberal. Oleh kerana karya ini bersandarkan kepada karya-karya besar yang ditulis oleh ulama -ulama  besar dalam sejarah Islam yang panjang,  Thamarat al-Muhimmah dapat dianggap sebagai karya kemuncak ilmu ketatanegaraan Melayu yang bersumberkan tradisi keilmuan Islam.

          Pandangan terhadap artikel 

Ilmu ketatanegaraan bermaksud ilmu yang berkaitan tentang pentadibiran dan pemerintahan dalam sesebuah negara. Raja Ali Haji telah menekankan beberapa perkara yang penting merujuk kepada ilmu ketatanegaraan. Beliau telah menekankan bahawa pemerintahan yang baik adalah pemerintahan berdasarkan ilmu. Oleh itu, pemimpin yang bijak perlu mementingkan prinsip keadilan, kedaulatan syariah dan melaksanakan pemerintahan dengan musyawarah. Penekanan yang dilakukan oleh Raja Ali Haji terhadap keutamaan ilmu menggambarkan kebijaksanaan beliau yang mendahului zaman.  
  
Pada hari ini, negara-negara maju memilih  pemimpin dalam kalangan orang yang berilmu. Malah, rakyat dari negara maju akan berasa malu jika  pemimpin yang muncul walaupun dipilih secara demokratik  tidak dapat dibanggakan dari segi ilmunya. Oleh hal yang demikian, Raja Ali Haji telah meletakkan ilmu sebagai syarat perlantikan seorang raja atau pemimpin tertinggi sesebuah negara. Perlantikan pegawai-pegawai kerajaan, hakim dan qadi hendaklah dalam kalangan orang-orang yang berilmu. Setiap pertimbangan atau keputusan yang diambil perlu  memenuhi kemaslahatan agama dan kemaslahatan duniawi.

Melalui karya-karyanya juga, Raja Ali Haji menerangkan peranan tasawuf dalam membimbing dan menyelamatkan seseorang daripada menjadi pemimpin yang jahat atau zalim. Beliau mengatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat menjadi pemimpin yang baik jika tidak mengetahui penyakit-penyakit hati atau sifat-sifat tercela seperti takbur, dengki dan sebagainya yang mesti dijauhi dan diubati kerana kesejahteraan luaran bergantung kepada kesejahteraan dalaman iaitu hati. Setiap sifat tercela ini dibahas dan diterangkan bahayanya kepada diri dan negara.

Oleh itu,  untuk melahirkan pemimpin dan penjawat awam yang berintegriti, tidak mengamalkan rasuah, amanah, jujur dan disiplin, kesejahteraan hati daripada penyakit atau sifat-sifat tercela itu perlu ditangani terlebih dahulu.

Raja Ali Haji juga menekankan konsep kerajaan atau pemerintahan yang adil. Seorang raja atau pemimpin sebenarnya memerintah sebagai khalifah yang menggantikan Rasulullah dan bukan kerana keturunan. Keturunan atau darah bagi Raja Ali Haji tidak menjamin hak seseorang memerintah orang lain. Bagi Raja Ali Haji, jika keadilan dan tanggungjawab moral yang digariskan oleh Islam diabaikan maka negara tersebut akan terancam. Raja Ali Haji menentang pemerintahan kuku besi yang mengabaikan kebajikan rakyat. Raja Ali Haji sangat menekankan pentingnya raja sebagai rujukan utama.  Bagi Raja Ali Haji, para ilmuwan, wazir iaitu menteri dan pemimpin berhak untuk memikirkan dan menciptakan ilmu, kaedah dan cara baru yang beliau nyatakan sebagai ijtihad dalam persoalan keduniaan dan perlu bersesuaian dengan suruhan dan kemaslahatan agama.

Di samping itu, pemerintahan dengan musyawarah juga ditekankan oleh Raja Ali Haji dalam karya-karyanya. Musyawarah adalah konsep dan prinsip yang amat penting yang mencirikan sistem pemerintahan Islam kerana musyawarah merupakan lambang pemerintahan yang adil dan bijaksana. Tambahan lagi, musyawarah dapat memastikan sesebuah negara itu diperintah berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan dan bukan berdasarkan  hawa nafsu. Musyawarah adalah prinsip dalam pemerintahan dan kepimpinan Islam dan bukan hanya satu birokrasi atau kebiasaan yang dibuat dalam setiap organisasi.  Beliau juga menjelaskan bahawa musyawarah perlu dilakukan dengan orang yang berilmu bukan dengan orang yang jahil, sombong, dengki, penakut, bakhil dan  bersekedudukan agar musyawarah yang dilaksanakan menghasilkan satu pertimbangan yang terbaik.



Artikel 2
Kembalikan Hang Tuah ke Tempatnya
Kassim Ahmad
Pendahuluan

            Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah karya besar jika ingin dibandingkan dengan karya-karya Melayu tradisional yang lain kerana di dalamnya tercakup pelbagai pesanan dan gagasan yang harus direnung oleh setiap pembacanya terutama bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah harus diterima dan dinilai sebagai sebuah karya sastera dan bukanlah sebuah sejarah. Ini jelas dilihat daripada namanya sendiri ‘hikayat’ yang bermaksud cerita. Kesusasteraan Melayu jenis inilah yang menjadi titik permulaan kepada bentuk novel atau roman Melayu. 
            Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang di dalamnya telah dimuatkan dengan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Hikayat ini telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini sejak mulanya melewati zaman pembangunan, lalu ke zaman kebesaran dan akhirnya ke zaman kehancurannya. Tokoh utamanya iaitu Hang Tuah telah mewakili bangsa itu sendiri mengenai cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pembatasan ini penting kerana sudah tentu Hang Tuah tidak dapat mewakili peribadi Melayu sepanjang zaman kerana unsur-unsur keperibadian itu sendiri ditentukan oleh keadaan sejarah. Walau bagaimanapun, hikayat ini dan wiranya telah melahirkan suatu sikap hidup Melayu, iaitu sikap hidup yang berlaku sebelum datangnya peradaban moden dan yang sedang bergeser dengan sikap hidup baharu yang dibawa oleh barat. 
            Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah hikayat Melayu lama yang asli dan tiada tolok bandingnya dengan kesusasteraan Melayu lama yang lain. Cerita-cerita panji seperti Hikayat Cekel Waneng berasal daripada Jawa, Hikayat Seri Rama dan Hikayat Sang Boma disadur daripada epik Hindu, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah pula diterjemahkan daripada sumber-sumber Islam dan hanya Hikayat Hang Tuah ini sahaja satu-satunya epik Melayu asli. Sebagai satu ciptaan sastera Melayu lama, hikayat ini mempunyai nilainya tersendiri kerana tiada satu pun karangan lama sebelumnya atau selepasnya yang memperlihatkan aliran realisme. Hikayat Hang Tuah mengisahkan manusia-manusia Melayu yang hidup meskipun manusia itu diberikan sifat yang luar biasa. Oleh itu, Hikayat Hnag Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang unggul yang memaparkan keintelektualan pengarang Melayu pada waktu itu.

            Pada zaman tradisional Hang Jebat dianggap sebagai penderhaka dan dibenci oleh masyarakat tetapi dalam tahun 1960-70-an imej Hang Jebat telah berubah dan beliau telah menjadi wira dalam bangsa Melayu. Sehingga kini banyak tafsiran baru terhadap Hikayat Hang Tuah telah dibuat bagi memurnikan watak Hang Jebat. Tafsiran baru ini dapat dilihat dalam dua bentuk utama iaitu skrip drama dan penulisan ilmiah. Di dalam skrip drama yang ditulis oleh Ali Aziz, beliau telah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa yang memperjuangkan keadilan dan membela sahabat yang dizalimi oleh raja. Watak Hang Jebat dikatakan telah menderhaka kepada raja kerana ingin membela Hang Tuah dan ingin menegakkan keadilan. Hang Jebat juga dikatakan telah menjaga keluarga Hang Tuah dengan mengambil berat perihal anak dan isteri Hang Tuah. Selain Ali Aziz, Usman Awang juga merupakan salah seorang pemutar watak Hang Jebat untuk disesuaikan dengan perjuangan kemanusiaan sejagatnya. Beliau turut membina watak Hang Jebat sebagai seorang pejuang kebenaran dan menentang kezaliman. Pada bahagian akhir kata pengantar, Usman Awang cuba menarik perhatian khalayak dengan membakar semangat mereka supaya menyokong dan membenarkan perjuangan Hang Jebat dengan satu slogan perjuangan Hang Jebat iaitu ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’.  Dalam penulisan ilmiah, sarjana terkenal yang melihat Hang Jebat dalam pendekatan moden ialah Kassim Ahmad. Sesuai dengan fahaman sosialisnya, beliau melihat pentingnya pertentangan kelas atau pertentangan masyarakatbawahan terhadap golongan atasan yang bersifat feudal demi melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa penindasan. Mengikut fahaman ini, semua golongan yang bekerjasama atau menyokong golongan aristokrat tidak boleh diberi tempat sebagaimana yang dilakukan oleh Hang Tuah. Hnag Jebat yang telah mencabar raja dan menjadi penderhaka ditafsirkan sebagai seorang yang mempunyai unsur kepahlawanan, namun ia gagal dalam perjuangan menegakkan kebenaran kerana memilih untuk setia kepada seorang sahabat dan dianggap sebagai pemberontak. Antara sarjana lain yang sealiran dengan Kassim Ahmad ialah Solehah Ishak yang turut mengetengahkan mengenai falsafah hidup watak itu. Abdul Rahman Napiah turut meletakkan Hang Jebat sebagai pahlawan Melayu yang berani menentang Raja semata-mata demi persahabatan. Beliau menyifatkan Hang Jebat sebagai pemecah tradisi feudalisme dan percaya perkara yang dilakukannya adalah benar dan hak. Menurut Mohammad Haji Salleh pula, beliau mengatakan memiliki peribadi yang utuh dengan kesungguhan dalam segala reaksinya. Jebat dikatakan memberontak berasaskan akal pemikiran bukanlah kerana kemarahan emosi.
            Perubahan pandangan masyarakat terhadap imej Hang Jebat sekali gus merubah juga pemikiran mereka terhadap Hang Tuah. Hang Tuah bukan sahaja tidak lagi disanjung malah diletakkan sebagai pengkhianat sahabat, tiada sikap bertimbang rasa, tidak menegakkan keadilan, dan ada juga yang menganggap Hang Tuah sebagai pejuang yang kolot. Kalau dilihat berdasrkan teks Hikayat Hang Tuah, hampir seluruhnya memperlihatkan ketokohan seorang wira Melayu yang bertanggungjawab menjaga dan mengagungkan raja serta negara kota Melaka. Abdul Rahman Napiah yang pernah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa turut meletakkan nilai-nilai yang baik dalam menilai watak Hang Tuah mengatasi sikap Hang Jebat. Menurutnya, Hang Tuah merupakan seorang yang cukup pintar, tajam fikiran, jauh pandangan dan mempunyai banyak muslihat. Sebagai seorang hulubalang, Hang Tuah dikatakan seorang wira yang serba sempurna baik dari segi jasmani, rohani, pemikiran, tindakan dan cara berbudaya. Pengarang Hikayat Hang Tuah dilihat ingin membina semula negara kota berdasarkan jatuh bangunnya kerajaan Melayu Melaka. Raja Melaka yang ramai termasuk Raja Iskandar Syah hingga Mahmud Syah disatukan diri Sang Maniaka. Pembesar dan Hulubalang yang baik pula disatukan pada watak Hang Tuah dan yang tidak baik digabungkan membentuk watak Hang Jebat. Mengikut sejarah, negara kota Melaka mencapai kegemilangan sewaktu pemerintahan Sultan Mansur dan Alauddin yang banyak dibantu oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah mengambil gelaran yang dipakai oleh Tun Perak sebagai nama Bendahara iaitu Paduka Raja. Sultan Mansor diambil sebagai model raja dalam karyanya yang bernama Sang Maniaka. Semua sifat baik pembesar dan hulubalang terutama Tun Perak diambil dan dimasukkan ke dalam satu watak iaitu Hang Tuah. Hang Tuah telah diberikan sifat yang baik sebagai lambang wira bangsa Melayu. Manakala sifat tamak, dengki, angkuh, seperti yang ada pada Bendahara Tun Mutahir, Raja Mendaliar dan Kitol di masukkan ke dalam watak Hang Jebat. Bagi pengarang Hikayat Hang Tuah, perbuatan atau tindakan yang tidak baik haruslah ditangani dengan bijak dan saksama, sebagaimana Hang Tuah menangani penderhakaan Hang Jebat.

Ulasan artikel

Artikel ini membincangkan mengenai kedudukan Hang Tuah dalam kalangan masyarakat Melayu kini. Artikel ini ditulis oleh Haron Daud dan diberi tajuk ‘Kembalikan Hang Tuah ke tempatnya’. Penulisan dan perbincangan di dalam artikel ini adalah berlandaskan dua khazanah kesusasteraan Melayu tradisional iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan artikel ini, penulis cuba untuk mengetengahkan persoalan mengenai siapakah wira bangsa yang sebenarnya sama ada Hang Tuah atau Hang Jebat. Berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah, penulisnya cuba untuk mengetengahkan watak Hang Tuah sebagai watak yang wajar dicontohi bagi masyarakat Melayu khususnya. Namun, penerimaan masyarakat terhadap Hang Tuah sebagai wira bangsa kian luntur dan Hang Jebat yang dianggap sebagai wira bangsa atas sebab dan alasan yang tertentu. Imej Hang Jebat dalam pemikiran dan penerimaan orang Melayu telah berubah mengikut zaman dan kehendak masyarakat.

         Pandangan terhadap artikel

 Pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menampilkan suatu jalinan cerita mengenai seorang tokoh Melayu daripada cantuman bermacam-macam tradisi Melayu dengan strukturnya yang tersendiri. Hikayat Hang Tuah ini ditulis bukanlah untuk mempamerkan sejarah pemerintahan raja-raja Melayu, tetapi ingin menonjolkan jati diri Melayu yang unggul daripada manusia lain. Hikayat Hang Tuah dapat diangkat sebagai sebuah epik Melayu kerana memiliki ciri-cirinya sebuah epik seperti kedudukan wira yang begitu tinggi dalam sejarah bangsanya, penceritaan yang berlatarkan masa yang panjang dan latar yang meluas, keunggulan sifat yang ada pada wira, dan kesaktian wira yang sukar untuk dikalahkan. Tidak dapat dinafikan bahawa Hikayat Hang Tuah adalah cerita yang menyorot Hang Tuah sebagai wira Melayu, terutama dari segi pengabdiannya kepada raja dan negara kota Melaka. Pelbagai pendapat dan pandangan hasil kajian para sarjana yang cuba untuk melihat siapakah wira Melayu yang sebenar, sama ada Hang Tuah mahupun Hang Jebat. Segala pendapat yang dikemukakan mempunyai alasannya yang tersendiri dan dapat diterima namun kita perlu berbalik kepada teks asli Hikayat Hang Tuah dalam mencari wira sebenar yang cuba ditonjolkan. Mungkin terdapat beberapa kekurangan dalam watak Hang Tuah yang dianggap sebagai wira Melayu, namun kita perlu juga melihat zaman hikayat tersebut ditulis, dan membandingkan hasil tulisan tersebut selari dengan zamannya dan tidak membandingkannya dengan zaman sekarang yang sudah tidak lagi mengamalkan sistem feudal dan raja berkuasa mutlak. Berdasarkan teks asal Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah merupakan watak utama yang ingin ditonjolkan dan bukanlah watak Hang Jebat. Watak Hang Tuah digarap sebagai seorang yang amat taat kepada raja sesuai dengan zaman tersebut yang mempercayai raja itu berdaulat dan perlu dihormati dan ditaati walaupun terpaksa mengorbankan diri sendiri. Hal ini merupakan situasi yang berlaku pada zaman tersebut dan bagi orang yang tidak menghormati raja akan dianggap sebagai penderhaka seperti watak Hang Jebat yang pastinya tidak boleh dijadikan sebagai contoh yang baik pada zaman tersebut. Selain taat kepada raja, Hang Tuah juga digambarkan sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang mulia,seorang yang berilmu dan mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan yang tiada tandingannya. Semua sifat yang cuba ditonjolkan dalam watak Hang Tuah menjadikan watak tersebut sempurna tanpa sebarang cacat celanya sebagai seorang wira bangsa. 
            Pemberontakan Hang Jebat berlaku kerana dorongan kemanusiaan dalam dirinya untuk membela keadilan yang telah dicabul oleh raja. Raja bertindak zalim sedemikian kerana raja berkuasa mutlak, Fikiran salah beliau ini disahkan oleh masyarakat feudal pada waktu itu. Apabila pemberontakan ini gagal, kerana digagalkan oleh rakan karib, rakan seperjuangan dan orang yang dibelanya, perasaan kecewa yang amat dahsyat menyebabkan Jebat bertindak liar dan melepaskan geram terhadap orang Melaka yang mendukung prinsip feudal yang zalim itu. Perbuatan Hang Jebat ini tetap dianggap salah kerana sikap dan kepercayaan masyarakat pada zaman tersebut yang amat menghormati dan menyanjungi raja. 
            Kebahagiaan negeri Melaka sering dikaitkan dengan ketokohan Hang Tuah. Sewaktu Hang Tuah masih gagah, negeri Melaka berada di puncak kegemilangan tetapi pabila Hang Tuah telah kehilangan kerisnya,kegemilangan Melaka mulai suram. Secara tidak langsung pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menunjukkan kewajaran dalam kejatuhan Melaka. Gambaran kejatuhan Melaka telah mula dibayangkan sejak mahkota Raja Melaka jatuh ke dalam laut di Selat Singapura. Begitu juga apabila mahkota Melaka disambar buaya putih , itu tanda bahawa Melaka akan jatuh ke tangan Portugis, golongan manusia berkulit putih. Hikayat Hang Tuah dicipta kembali oleh pengarangnya sebagai pralambang untuk menyorot kembali keagungan Melaka dan Hang Tuah sebagai wira yang membawa kebanggaan kepada negeri Melaka. 



Ahad, 19 Mei 2013

ULASAN KARYA AGUNG


ULASAN KARYA AGUNG 1: BUSTAN AL-KATIBIN

BUSTAN AL-KATIBIN
Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin atau lebih dikenali sebagai Bustan al-Katibin  merupakan Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar. Kitab tersebut merupakan salah satu karya yang ditulis oleh penulis tersohor, ilmuwan dan budayawan Melayu terulung iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.
         Karya tersebut merupakan tulisan paling awal yang berkisar tentang bahasa Melayu. Kitab yang mempunyai pelbagai maklumat tentang tatabahasa Melayu ini siap dikarang pada 1267 Hijrah bersamaan dengan tahun 1850 Masihi. Hasil karya ini dihasilkan oleh penulis ketika beliau berumur kira-kira 41 tahun.
         Kitab Bustan al-Katibin yang menjadi rujukan para pelajar dan bahan kajian ini merupakan naskhah salinan manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden. Kitab ini merupakan Koleksi Klinkert (KI 107) yang disusun dalam bentuk slaid dan dicetak foto atauphotoprint. Karya awal ini mempunyai ketebalan sebanyak 80 halaman yang ditulis dengan menggunakan tulisan tangan. Tulisan dalam karya ini menggunakan skrip tulisan Jawi/Arab yang berbentuk gaya khat jenis nasyta’lik. Jenis tulisan khat tersebut mempunyai ciri-ciri tulisan yang tegap, seimbang, konsisten dan indah.  
       Selain salinan manuskrip Bustan al-Katibin yang merupakan Koleksi Klinkert di Universiti Leiden, terdapat juga sebuah naskhah kitab yang dipercayai pertama kali dicetak pada tahun 1274 Hijrah bersamaan 1858  Masihi. Naskhah yang pernah dimiliki oleh Paderi Keasberry kini tersimpan di perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Terdapat perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kedua-dua naskhah karya ulung tersebut. Naskhah SOAS mempunyai perkataan “mentaba” atau mencetak pada penghujung kitab yang bermaksud naskhah tersebut merupakan naskhah yang dicetak, manakala naskhah yang dikaji tertulis perkataan “telah selesailah mengarang kitab ini…” yang sememangnya ditulis oleh Raja Ali Haji.
     Selain cetakan pertama tersebut, terdapat juga pendapat lain yang menyatakan kitab tersebut telah dicetak kali pertama  dengan menggunakan teknik percetakan batu (lithograph) di Riau pada tahun 1857 dan kemudiannya diulang cetak di Singapura. Terdapat satu naskhah lagi di England yang tersimpan di Perpustakaan University of Cambridge bertarikh 1891 yang bukan merupakan hasil cetakan tetapi disalin daripada naskhah lithograph. Naskhah-naskhah lain ialah Bustanul Katibin I dan Bustanul Katibin II yang tersimpan di Museum Pusat Jakarta.

PENGARANG BUSTAN AL-KATIBIN: RAJA ALI HAJI
Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad dilahirkan di Pulau Penyengat pada 1808 Masihi. Beliau berketurunan pembesar Bugis yang merupakan keturunan kedua, iaitu cucunda kepada Raja Haji FIsabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. 
       Datuknya, Raja Haji Fisabilillah merupakan seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Ayahnya pula, Raja Haji Ahmad merupakan seorang pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Keadaan itu memberi peluang kepada Raja Ali Haji untuk menperdalam ilmu pengetahuan Islam daripada para ulama di Jawa. Raja Ali Haji sempat berguru dengan Saiyid Abdur Rahman al-Mashri dalam bidang ilmu falak. Selain itu, beliau juga banyak menimba pengalaman dan pengetahuan daripada para sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van Der Waal yang merupakan sahabatnya.
              Raja Ali Haji telah mengikut ayahnya, Raja Haji Ahmad ke Mekah sekitar tahun 1827. Pada ketika itu, beliau dan bapanya merupakan antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam suatu tempoh yang agak panjang. Keadaan itu mempengaruhi penulisannya kerana beliau berpendidikan Arab. Walaupun begitu, beliau masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik tetapi banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab.
       Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli bahasa melalui penulisan buku tatabahasa Melayu, iaitu “Bustan al-Katibin” pada tahun 1857. Usaha beliau dalam bidang penulisan mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu dalam penambahan buku tatabahasa Melayu. Di samping itu, beliau turut mengarang sebuah kamus yang bertajuk “Kitab Pengetahuan Bahasa”, iaitu kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Karyanya yang paling terkenal ialah “Tuhfat al-Nafis” yang dikarangnya pada 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.
       Beliau juga berbakat dalam bidang kesusasteraan. Karya-karya sastera beliau yang terkenal adalah seperti Syair Siti Sianah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk. Karyanya dalam bidang ketatanegaraan dan undang-undang dikenali sebagai “Mukaddimah fi Intizam”.
Tokoh karyawan ini meninggal dunia sekitar tahun 1873 di Riau. Pada tahun 2006, pemerintah Republik Indonesia telah memberikan gelaran “Pahlawan Negara” bagi mengenang jasa-jasa yang telah diberikan oleh beliau.

KANDUNGAN BUSTAN AL-KATIBIN
Raja Ali Haji telah membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian kandungan. Tiga bahagian tersebut terdiri daripada bahagian Mukadimah atau bahagian pendahuluan, bahagian Fasal-Fasal yang mengandungi 30 Fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah atau bahagian penutup.
i)             MUKADIMAH
Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Antara kata-kata yang terdapat dalam kitab tersebut yang menunjukkan tentang kelebihan-kelebihan tersebut ialah “’akal ialah sebaik-baik perhiasan”, “tanda ber’akal segera faham”dan “barang siapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya (keturunannya)”.
            Selain itu, bahagian ini turut memperkatakan tentang kelebihan ilmu bahasa atau tutur kata dan karang-mengarang. Raja Ali Haji mengistilahkannya sebagai ilmu al-qalam wa al-kalam atau ilmu penulisan dan perbicaraan. Menurut beliau, kepandaian berbahasa dan penggunaan qalam atau pena untuk penulisan karang-mengarang adalah lebih berkuasa daripada pedang dan senjata seperti yang dinyatakannya dalam petikan berikut:
“…segala pekerjaan pedang boleh diperbuat oleh dengan qalam, adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh diperbuat dengan pedang…”
            Raja Ali Haji turut menyatakan syarat dan adab untuk menuntut ilmu dalam bab ini. Beliau menyatakan syarat bagi menuntut ilmu ialah “antara nafsumu dengan dirimu sendiri”yang bermaksud untuk menuntut ilmu kita perlulah mempunyai keinginan untuk belajar yang tinggi. Adab menuntut ilmu pula ialah “antara dirimu dengan gurumu” yang membawa maksud seseorang yang ingin menuntut ilmu perlulah beradab dan menghormati gurunya.
ii)            FASAL-FASAL
Bahagian kedua dalam Bustan al-Katibin terdiri daripada 30 Fasal. Fasal-fasal tersebut pula dibahagikan kepada enam topik. Pembahagian enam topic tersebut adalah menikut fasal seperti Fasal 1 hingga Fasal 9, Fasal 10 hingga Fasal 13, Fasal 14 dan Fasal 15, Fasal 16 hingga Fasal 28, Fasal 29 dan Fasal 30.
            Fasal 1 hingga Fasal 9 membincangkan tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu. Peraturan tersebut menerangkan terdapat 30 abjad bahasa Arab dengan tambahan empat abjad lain, iaitu ca, ga, nga dan nya untuk digunakan sebagai fonem Melayu. Raja Ali Haji menegaskan bahawa walaupun penggunaannya digunakan sebagai fonem Melayu tetapi abjad asalnya adalah daripada bahasa Arab seperti kata berikut, “…diambil rumahnya daripada rumah Arab jua.”
            Topik kedua yang dibincangkan dalam kitab tersebut adalah berkaitan huraian tentang kelas kata. Topik tersebut terletak dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kelas kata dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu kelas kata isim atau kata nama, kelas kata fi’il atau kata kerja dan kelas kata harf atau kata partikel. Raja Ali Haji membahagikan setiap kelas kata tersebut kepada beberapa golongan kecil dan dihuraikan satu-persatu secara terperinci.
            Fasal 14 dan Fasal 15 pula menerangkan tentang topik unit-unit tatabahasa yang terdiri daripada ayat atau klausa, frasa dan perkataan. Unit-unit tatabahasa ini diistilahkan oleh pengarang sebagai perkataan-perkataan bagi ayat atau klausa, kata-kata untuk frasa dankata digunakan untuk merujuk perkataan.
            Fasal 16 hingga Fasal 28 adalah berkaitan dengan pelbagai binaan sintaksis. Ayat atau klausa dijelaskan mengikut pola binaannya berdasarkan jenis-jenis subjek dan predikat yang berbeza-beza. Selain itu, pelbagai jenis binaan frasa turut dibincangkan dalam topik ini. Unit tatabahasa ketiga, iaitu perkataan pula dikatakan sebagai unsur terkecil dalam sintaksis.
            Fasal 29 pula berkaitan prinsip dan peraturan menyusun perkataan dalam membuat karangan, iaitu perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan dalam penulisan sesebuah karangan. Fasal 30 merupakan sambungan prinsip dan peraturan dalam Fasal 29. Pengarang, iaitu Raja Ali Haji menerangkan secara terperinci termasuklah penggunaan bahasa raja-raja. Selain itu, kaedah membuat surat kiriman lengkap yang terdiri daripada pendahuluan, kandungan dan penutup turut dibincangkan dalam fasal ini.
iii)           KHATIMAH
Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.
Raja Ali Haji mengakhiri penulisan dalam kitab tersebut dengan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, keluarga dan sahabatnya. Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dengan ucapan al-hamdulillahi Rabbi ‘l-‘alamin.

Sumber 
Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

3.0 ANALISIS KANDUNGAN KARYA [ASPEK BUDAYA DAN KEMASYARAKATAN

Karangan Abdullah jauh berbeza dengan karangan orang yang terdahulu daripadanya atau sezaman dengannya seperti Thufata’n-Nafis (1865) karangan Raja Ali Haji yang berkisar tentang raja-raja.
     Pendeta Za’ba dalam karangannya “ Moden Development” menyatakan bahawa “ kesusasteraan Melayu moden bermula dengan Abdullah bin Abdul Kadir” ( Hassan, 1988:236). Kenyataan ini didasarkan daripada karya-karya Abdullah yang tidak lagi menulis tentang dongeng, alam ghaib dan ajaib. Gagasan utama dalam karya-karyanya ditimba daripada pengamatan, pengalaman dan pengetahuan. Dengan pemikiran yang kritis semuanya diolah hingga menjadi karya autobiografi yang penting. Karyanya dicipta sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Ini adalah ciri sastera baru yang bersifat individualistik.
       Dalam karya autobiografinya memang terlihat ciri-ciri sastera moden seperti intelek, emosi, imiginasi, dan teknik. Sehubungan dengan itu Zuber Usman (1966:9) menyebut;

“Abdullah ialah pemgarang Melayu yang mula-mula keluar dari kebiasaan lama, yang melanggar dan memetahkan tradisi yang sudah turun-temurun, yang memelingkan penanya dari menceritakan kisah-kisah yang ghaib-ghaib atau khayal ke dunia kenyataan.”

Sesebuah karya bukan hanya sebagai bahan hiburan, tetapi juga sebagai bahan untuk pembaca merenung dan memikir serta mendapatkan panduan dan pengetahuan daripadanya. Pemikiran yang menyentuh soal-soal masyarakat, agama, politik, ekonomi dan moral ditimbulkan dan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menyentuh hal-hal tersebut. Contohnya pada halaman 119 Hikayat Abdullah yang menjelaskan sikap masyarakat Melayu terhadap bahasa Inggeris pada waktu itu;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Selain daripada contoh diatas dalam buku yang sama halaman 348, Abdullah membuat kesimpulan bahawa adat yang diamalkan orang Melayu dikatakan tidak cerdik dan tidak menambah ilmu kerana tidak mahu membuang karut-marut.
Berbeza dengan adat-adat yang diamalkan orang-orang bukan Melayu yang ditemui semasa belayar ke Judah. Dia hanya menyebut adapt itu tanpa memberi sebarang kritikan. Seperti kebiasaan yang dilihatnya (Kassim, (peny.) 1960):

Maka adalah yang pertama menjadikan ajaib kepadaku sebab melihatkan adap orang dalam negeri itu, tiadalah menjadi aib bagi mereka itu segala perampuan beratus-ratus dan beribu-ribu semuanya bertelanjang, yakni dengan tiada memakai baju sekali-kali, kuntal-kantil sahaja susunya, baik yang muda yang tua; iaitu semuanya perampuan Hindu.

Dia tidak mengkritik perbuatan tersebut, hanya menceritakan apa yang dilihatnya. Dalam buku yang sama pada halaman 141 pula disebutkan;

Maka adalah adat negeri itu terlalu aib, iaitu tiada berjamban; semua orang pergi buang air ketepi laut berbnjar-banjar duduk dengan tiada bermalu seorang dengan seorang.


Abdullah membuat sedikit ulasan bahawa adat ini sesuatu yang aib dan memalukan. Walaupun persoalan mengutuk dan menganggap bodoh adat dan kepercayaan orang Melayu tidak banyak dikemukakan tetapi ia memberi kesan yang jelas kepada pembaca.

Tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan-kemajuan barat telah meresap ke dalam diri Abdullah lantas membuatkan dia mencela budaya Melayu. Oleh itu dalam karyanya perbandingan antara timur dan barat adalah menjadi persoalan yang penting dan secara tidak lansung mendedahkan kemunduran-kemunduran orang-orang Melayu, antara lain disebabkan oleh kepercayaan dan budaya yang terdapat dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

4.0 ASPEK BAHASA DAN TULISAN
i. Jenis Aksara

Dalam memperkatakan bahasa Melayu Klasik ini tidak dapat seseorang itu mengimbas kembali teks Melayu lama yang tertulis dalam bentuk puisi, prosa, surat perdagangan, surat perjanjian, batu bersurat, batu nisan dan sebagainya. Dalam melihat pada sudut aksara dan sistem ejaan yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah pengkaji hanya dapat berpegang kepada ciri-ciri khusus bahasa Melayu klasik iaitu menggunakan tulisan Jawi. Tulisan atau aksara ini dipinjam daripada bahasa Arab, kemudian ditambah dengan huruf baru seperti pa ( ف), nga ( غ ), ga ( ک ), nya ( ث ) dan ca ( چ ).Ini beerti tulisan tersebut mesih dalam bentuk asalnya dengan menggunakan tulisan dan sistem ejaan Jawi. Berikut adalah beberapa contoh aksara yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sistem Ejaan

Sebelum wujud sistem ejaan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab yang digunakan itu dengan menggunakan tanda-tanda baris. Contohnya seperti;
( maka) ﻣَﮓ
( dia ) ِﺩﻱَ
Kemudian tanda-tanda baris itu dihilangkan menjadi;
( maka ) ﻣﮏ
)dia ) ﺪﻱ
Setelah itu baru timbul sistem ejaan pengaruh Melayu. Sistem ini mengandungi dua tahap. Tahap pertama dengan membubuh huruf saksi ( vokal) dan tahap kedua dengan membubuh huruf saksi ( vokal ) pada kedua-dua suku kata.
Daripada beberapa contoh aksara asal Hikayat Abdullah diatas dapat dilihat beliau tidak menggunkan tanda-tanda baris pada tulisannya.

4.1 Aspek bahasa
i. Morfologi

Morfologi adalah bidang yang mengkaji proses pembentukan kata-kata dalam sesuatu bahasa. Ia meliputi penggolongan perkataan atau kata-kata dalam sesuatu bahasa. Sebagai contohnya dari aspek imbuhan, penulisan karya Hikayat Abdullah telahpun menggunakan imbukan meN-. Hal ini dapat diperhatihan pada petikan karya Hikayat Abdullah seperti dibawah;

Contoh 1

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Contoh 2

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.” (Halaman 119)

Selain daripada aspek penggunaan imbuhan meN-, banyak lagi aspek morfologi yang terdapat dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sintaksis

Daripada pemerhatian yang dibuat adakalanya Abdullah gemar menggunakan ayat yang panjang-panjang dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya. Ayat-ayat daripada hikayatnya ini boleh dijadikan contoh;

Contoh 1

Maka jikalau sekiranya tiada suluh itu tanganku, dan cermin mata itu kupakai, nescaya banyak kali sudah aku terperosok ke dalam limbah dan parit yang penuh pada tiap-tiap lorong dan jalan; seperti kecuali kebanyakan kelakuan orang yang tiada memegang suluh itu terperosok ia kesana ke mari, jatuh bangun coreng-coreng berlumur dengan Lumpur dan orang, dan patah riuk kaki tangannya di hadapanku.
( halaman 16)

Contoh 2

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Ayat-ayat yang panjang begini mengganggu pemahaman pembaca kerana ada watunya pembaca terpaksa mengulangi pembacaan. Jelas dari segi bahasa (ayat) Abdullah masih lagi tidak membawa apa-apa pembaharuan.

iii. Semantik

Secara umum kita berpendapat bahawa makna sesuatu bahasa akan mudah difahami apabila dalam bentuk ayat. Andaian ini tidak selamanya tepat kerana kehadiran ayat yang dibina daripada kata dan kelompok kata, dan tidak semuanya hanya memiliki satu makna. Dalam bahasa Melayu seringkali apa yang kita ucapkan atau tuliskan tidak serupa dengan pa yang dimaksudkan.

Dapat diperhatikan dalam karya Hikayat Abdullah maksud atau pun perkara yang disampaikan melalui makna tersurat. Makna tersurat yang dimaksudkan ialah makna yang diperolehi semata-mata daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan sahaja. Dimana dalam penulisannya banyak menyatakan terus atau secara lansung apa yang hendak disampaikan kepada masyarakat Melayu ketika itu. Umpamanya ;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Dari contoh diatas perkara pokok disampaikan secara terus tanpa menggunakan sebarang simbolik ataupun kiasan.

iv. Kosa Kata
a) Kata asli

Sebagai karya di peringkat awal, Abdullah masih tidak dapat melepaskan penggunaan kata asli dalam tulisannya. Bukan sahaja bahasa yang digunakan itu bahasa lama tetapi struktur ayatnya juga masih seperti cerita hikayat. Sebagai contoh dalam Hikayat Abdullah pada halaman 9 dan 10;

Maka beberapa lamanya dalam hal yang sedemikian, maka datanglah seorang orang Arab Syaid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Haddad, maka adalah ia itu aulia, mak sangatlah dipermulia orang akan dia dalam Melaka; maka segala laki-laki dan perampuan pun pergilah berguru kepadanya darihal perkara agama Islam. Maka bondaku juga tiada pergi, sentiasa duduk menangis terkenangkan anak-anaknya yang mati itu. Maka adalah rumahku itu berhadapan dengan rumah tempat tuan itu tinggal; maka disuruhnya panggil bapaku, diperiksanya akan hal bondaku itu duduk menangis-nangis. Maka oleh bapaku segala hal anak-anaknya habis mati itu; maka kata tuan itu, “ Baiklah, pergi engkau katakan kepada isterimu janganlah ia menangis, insya-Allah nanti diberi Allah kepadanya seorang anak laki-laki; maka apabila beranak kelak, engkau namakan dengan namaku.” Maka pulanglah bapaku serta mengatakan kepada bondaku akan segala perkataan tuan itu; maka bondaku pun berhentilah daripada menangis dan dukacita.

Struktur ayat lama ini dikutkan lagi dengan penggunan kata-kata asli seperti ‘maka’, ‘beberapa lamanya’, ‘maka adalah’, ‘akan dia’ dan ‘maka apabila. Dalam Hikayat Abdullah banyak terdapat kata nasihat. Hal ini menunjukkan bahwa Abdullah masih terikut-ikut struktur penulisan sastera lama. Begitu juga apabila dia menggunakan pentun dan syair dalam karyanya. Penggunaan perkataan hikayat itu sendiri membayangkan bahawa Abdullah masih cenderung meneruskan tradisi penulisan lama.

b) Kata pinjaman

Daripada penelitian yang dibuat dalam penghasilan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menggunakan kata pinjaman Bahasa Inggeris, misalnya dalam Hikayat Abdullah digunakan diksi character (halaman 5), enjineer (halaman 6), secretaries governments (halaman 6), electricity (halaman 115), arithmetic (halaman 117), commission (halaman 165).

Selain daripada penggunaan kata pinjaman Bahasa Inggeris terdapat juga penggunan kata pinjaman bahasa Arab dalam penulisan karyanya, misalnya perkataan syaaban (halaman 1), khatib ( halaman 4 ), sayid (halaman 35) dan banyak lagi.

5.0 Kesimpulan
5.1` Penutup

Abdullah Munsyi menggunakan bentuk laporan dalam membina karya-karyanya. Dia melaporkan apa saja yang terjadi pada dirinya, yang dilihat dan dialami. Walau bagaimanpun, dia bukanlah seperti wartawan kerana dia juga mengemukakan cadangan dan nasihat dalam karya-karyanya. Bentuk penulisan kritikan juga terlihat dalam karyanya terutama kritik terhadap raja-raja Melayu. Seperti karya cereka, Abdullah juga menggunakan dialog dalam penceritaan di samping diksi watak-watak bagi menyampaikan maksud atau persoalan yang dikemukakan.

              Diteliti karya-karya Abdullah Munsyi, dapat dibuat kesimpulan bahawa Abdullah telah jauh meninggalkan bentuk penulisan sastera lama. Ini tergambar pada persoalan atau tema yang dikemukakan, pada plot cerita, perwatakan, latar cerita dan sudut pandangan. Hanya gaya bahasa yang masih kekal seperti gaya bahasa sastera lama. Buah tangannya ini boleh dijadikan bahan rujukan dan bahan dokumentasi yang penting.

Khamis, 16 Mei 2013

ANALISIS KARYA AGUNG

1      1.  0     PENDAHULUAN
Pengenalan

Setiap bangsa bertamadun mempunyai karya agungnya yang tersendiri. Dalam masyarakat Melayu, karya agung yang terkenal ialah Hikayat HangTuah. Dalam meletakkan kedudukan karya Hikayat Hang Tuah di sisi kesusasteraan Melayu, ramai pengkaji menimbulkan berbagai-bagai kontroversi mengenai kedudukan sebenar karya ini. Hikayat Hang Tuah adalah satu-satunya contoh sastera epik yang ditakrifkan sebagai sastera epik berunsur kebangsaan atau sastera kepahlawanan berunsur kebangsaan. Hikayat ini dianggarkan terkarang selewat-lewatnya pada abad ke-17, terkemudian daripada Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Selain Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah termaktub sebagai sebuah karya sastera Melayu yang terindah.

Hikayat Hang Tuah merupakan karya kesusteraan Melayu tradisional yang dikategori sebagai karya agung kebangsaan kerana mengemukakan tokoh agung bagi bangsa Melayu. Watak Hang Tuah memang tidak dinafikan amat disanjung oleh bangsa Melayu semenjak 500 tahun yang lampau. Karya Agung merupakan sebuah prosa yang tebal dan panjang. Begitulah juga halnya dengan Hikayat Hang Tuah yang mengandungi lebih daripada 500 halaman dengsn lebih kurang 146 00 patah perkataan yang terkandung dalam karya ini. Berdasarkan latar Hikayat Hang Tuah juga menepati ciri-ciri karya Agung kerana ceritanya bukan sahaja berkisar di Melaka tepati berkisar di Majapahit, Siam, China, Arab, mesir dan Turki. Menurut Mohd Sharifuddin dan Mohd Lani (1999) dalam buku Sejarah dan Kritikan Sastera, dalam sastera Melayu hanya terdapat satu karya Agung sahaja yang mengetengahkan tokoh bangsa Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah. Gambaran ketokohan Hang Tuah diwarnai unsur-unsur supernatural untuk menjadikannya sebuah karya agung dan sekali gus mengangkat martabat bangsa. Keperwiraannya terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga digambarkan dapat menewaskan lanun-lanun di pulau dan orang mengamuk di pasar.


  

1.2       Sinopsis Hikayat Hang Tuah

Isi cerita hikayat ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kisah awal, zaman kegemilangan dan zaman kemerosotan.
i)                    Bahagian awal
Kisah dimulai dengan memperkenalkan asal-usul raja Bentan yang dikatakan berasal daripada Palembang. Bahagian ini lebih menceritakan tentang kisah Hang Tuah yang semasa kecil yang dikaitkan dengan zaman awal kerajaan Melayu Melaka. Kisah Hang Tuah sewaktu kecil, mengenai keluarganya yang berpindah dari Sungai Duyung ke Bintan. Terdapat juga kisah-kisah Hang Tuah bersama lima orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Sejak berumur 10 tahun lagi Hang Tuah telah menunjukkan kelebihan dan keberanian yang bersama-sama rakannya berjaya mengalahkan lanun, berusaha pergi berburu dan berjaya menyelamatkan seorang pembesar negeri daripada amukan orang mengamuk dengan hanya menggunakan sebilah kapak. Bendahara yang diselamatkan oleh Hang Tuah amat tertarik  dengan sifat-sifat keberanian Hang Tuah itu, lalu memberitahu Sultan tentang kehebatan Hang Tuah dan sahabatnya. Oleh hal yang demikian, Hang Tuah telah diambil bertugas di istana. Juga diceritakan bagaimana Hang Tuah turut melihat peristiwa ganjil sewaktu Raja Bentan berburu di mana anjing perburuan raja telah ditendang oleh seekor pelanduk putih. Tempat berlaku kejadian aneh itu dibuka dan dijadikan sebuah negeri bernama Melaka sempena nama pokok melaka yang menjadi tempat bersandar sultan ketika raja melihat kejadian tersebut. Selain itu diceritakan juga mengenai Raja yang telah menghadiahkan sedikit minuman kepada Hang Tuah dan Bendahara serta turut diberikan persalinan kepada Hang Tuah.

ii)                  Bahagian Kegemilangan
Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dikaitkan dengan ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah. Hang Tuah memiliki kedudukan tempat yang paling penting dan teristimewa di istana Melaka. Hang Tuah yang merupakan pahlawan Melaka memberikan sepenuh taat setia dan patuh kepada segala perintah raja. Kegagahannya menyebabkan Hang Tuah terkenal sebagai seorang pahlawan Melaka yang terbilang. Banyak negeri di takhluki dan menjadi tanah jajahan serta tunduk di bawah kekuasaan raja Melaka. Selain itu diceritakan juga tentang Hang Tuah yang sebagai pengiring raja yang taat dan berani. Beliau pernah mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit dan memperolehi keris Taming Sari setelah mengalahkan seorang hulubalang Majapahit. Hang Tuah berjaya mempertahankan martabat Raja Melaka, juga menambahkan kedaulatan negeri Melaka di mata negeri lain. Melaka berjaya mencapai puncak kebesaran dan kekuasaannya hasil daripada keberanian dan ketokohan Hang Tuah. Sebagai seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya, ramai musuh-musuh yang cuba menganiayanya namun mereka telah berjaya dibunuh.

Setelah terserlah kehebatan beliau di mata dunia, Hang Tuah telah mendapat gelaran Laksamana. Hang Tuah juga dilantik sebagai diplomat dan utusan Melaka ke luar negeri seperti utusan ke Siam, China, Benua Keling, Rome, Sailan dan juga ketua angkatan perang. Sifat-sifat Hang Tuah yang sabar, bijaksana dan warak membawa kejayaan yang cemerlang kepada kerajaan Melaka dan ini dengan sendirinya menambahkan kebesaran dan kedaulatan Raja Melaka. Sifat Hang Tuah yang tiada tolok bandingannya ialah ketaatan kepada rajanya. Sungguhpun sultan telah berlaku tidak adil pada dirinya dengan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa, akibat fitnah, (Hang Tuah diselamatkan oleh Bendahara) tetapi apabila dia dipanggil oleh sultan bagi menghapuskan perbuatan derhaka Hang Jebat, dia bersedia berkhidmat kepada sultan tanpa menaruh perasaan dendam. Malah dia sanggup membunuh sahabat baiknya  sendiri iaitu Hang Jebat, walaupun Jebat menderhaka kerana membela keadilan atas berita pembunuhan Hang Tuah. Bagi Hang Tuah, “Pantang Melayu menderhaka kepada rajanya”. Hang Tuah juga bersedia menjalankan tugas membawa lari anak Bendahara Pahang iaitu Tun Teja bagi dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Hang Tuah tidak mudah dikalahkan selagi dia memiliki keris Taming Sari.

iii)                 Bahagian akhir (zaman kemunduran)
Kegemilangan dan kekuatan Hang Tuah semakin beransur pudar setelah Hang Tuah semakin tua. Ini dikaitkan juga dengan kemunduran kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Hang Tuah, kemunduran Melaka kali pertamanya dilambangkan dengan kisah Sultan Melaka yang telah kehilangan mahkotanya. Mahkota itu adalah tanda kebesaran kerajaan. Ketika peristiwa itu terjadi, baginda sedang bermain-main di laut Singapura, apabila Baginda menundukkan kepalanya setelah melihat seekor ikan emas yang dikatakan berada di bawah perahunya. Ketika itulah mahkota pusaka Bukit Siguntang itu terjatuh ke dalam laut. Hang Tuah telah menyelam untuk mengambil kembali mahkota tersebut dan berhasil mengambilnya. Tetapi ketika hampir sampai di perahu, tiba-tiba datang seekor buaya putih menyambar keris daripada pinggang Hang Tuah. Mahkota pun terlepas dari tangannya dan keris Taming Sari yang dimiliki oleh Hang Tuah telah dirampas oleh seekor buaya putih. Sejak itulah Hang Tuag hilang kekuatan dan kegagahannya. Selepas berlaku peristiwa tersebut ,sultan amat bersedih. Beberapa lama kemudian, Feringgi datang menyerang Melaka. Sultan terpaksa berundur dan Hang Tuah meninggalkan kehidupan di dunia dengan hidup bertapa di gunung.




2.0       ISI PERBINCANGAN
2.1        Analisis Karya Agung Hikayat Hang Tuah
dalam kajian yang kami lakukan, Hikayat Hang Tuah telah dianalisis berdasarkan tiga aspek utama iaitu melibatkan konsep kepengarangan, kekuatan kepengarangan dan motif kepengarangan.

2.2    KONSEP KEPENGARANGAN
Hampir setiap bangsa di dunia ini mempunyai karya epik atau hikayatnya yang tersendiri. Jikalau orang India terkenal dengan Ramayana dan Mahabharata, orang Greek berbangga dengan Iu’ad dan Odyssey, orang Inggeris mengagungkan Beowulf manakala dalam masyarakat Melayu pula, Hikayat Hang Tuah merupakan antara karya epik yang menjadi kebanggaan bangsa dan telah diangkat menjadi sebuah Karya Agung Melayu. Karya Agung Melayu ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu, tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini dan yang mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun. Pendek kata, Karya Agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan bangsa Melayu.

Sebenarnya, jika dikaji tidak dapat ditentukan bilakah Hikayat Hang Tuah ini ditulis dan siapakah pengarangnya. Namun ada yang menganggarkan bahawa Hikayat Hang Tuah ini telah ditulis di antara tahun 1641 dan 1736. Hikayat Hang Tuah tidak ditulis secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat atau dalam masa yang sama. Ini terbukti dengan penggunaan bahasa dan teknik penyampaian cerita yang tidak sama. Terdapat lebih kurang 20 versi Hikayat Hang Tuah yang bertulisan tangan telah ditemui kemudian kumpulkan dan berada di England dan Netherlands. Menurut Sulastin Sutrisno (1983), kebanyakan naskhah Hikayat Hang Tuah yang ditulis tidak lengkap sebagai sebuah hikayat dan setakat ini hanya 3 buah edisi sahaja yang lengkap ceritanya dan telah diterbitkan iaitu Edisi Shellabear, Edisi Balai Pustaka dan Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka. Edisi Shellabear yang diterbitkan pada tahun 1909 adalah berdasarkan naskhah yang dimiliki oleh Raja Muda Perak iaitu Raja Abdul Jalil, putera Sultan Idris. Edisi Balai Pustaka yang diterbitkan pada 1966 pula berdasarkan naskhah kepunyaan Koninklijik Bataviaasch Genootschap yang ditulis dalam tulisan Jawi. Manakala penulisan Hikayat Hang Tuah Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka yang diterbitkan pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad pula adalah berdasarkan kepada naskhah yang pada asalnya dimiliki oleh Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Tengku Muhammad atau Tengku Seri Utama Raja yang merupakan anggota kerabat Diraja Kelantan.

Hikayat Hang Tuah ini merupakan sebuah hasil karya sastera Melayu lama yang unggul. Hikayat Hang Tuah mengandungi banyak ciri-ciri sastera antaranya mitos, unsur epik, firasat dan sebagainya. Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang lahir pada zaman kegemilangan masyarakat Melayu tradisional. Kisahnya mencakupi segala pesanan dan gagasan yang harus direnung dan dicerna oleh bangsa Melayu di zaman moden ini khususnya seperti ungkapan semangat Melayu “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Pelbagai konsep yang telah dicerapkan oleh penulis di dalam Hikayat Hang Tuah ini antaranya dari aspek bentuk. Sastera rakyat Melayu dapat dibahagikan kepada dua bentuk. Pertama, berbentuk cerita iaitu kisah atau naratif. Kedua pula berbentuk bukan cerita iaitu bukan kisah atau bukan naratif. Sastera rakyat Melayu berbentuk cerita disebut juga cerita rakyat atau cerita lisan, terdiri daripada beberapa jenis cerita, antaranya cerita lipur lara, cerita teladan, cerita binatang, cerita jenaka, mitos, lagenda dan hikayat. Sastera rakyat berbentuk bukan cerita pula sebahagian besarnya berupa puisi seperti ungkapan rakyat, nyanyian rakyat, ungkapan adat, teka-teki, pantun dan gurindam. Dalam kelompok sastera rakyat berbentuk cerita, mitos, lagenda dan hikayat berbeza daripada cerita-cerita lipur lara, teladan, binatang dan jenaka. Perbezaan ini dapat ditinjau dari sudut kepercayaan, latar masa, latar tempat, sifat dan pelaku utama. Hikayat Hang Tuah merupakan sastera tulisan yang berbentuk cerita atau naratif.

Konsep yang kedua pula ialah tulisan. Kedatangan Islam telah membawa perubahan yang amat ketara terhadap masyarakat Melayu ketika itu. Perubahan bukan sahaja dari aspek tauhid dan akidah malahan sistem tulisan masyarakat Melayu ketika itu turut berubah. Sebagaimana yang diketahui tulisan Jawi adalah berasal dari tulisan Arab. Pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab telah menerapkan sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Tujuan utama mereka melakukan usaha sedemikian adalah bagi memudahkan proses pembacaan. Bagi memudahkan ejaan, tanda baris atas dan bawah tulisan tersebut telah dimansuhkan. Tulisan atau aksara dalam hikayat ini dipinjam daripada bahasa Arab. Kemudian ditambah dengan huruf-huruf baharu. Sistem ejaan yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah ini merupakan sistem ejaan Jawi. Penggunaan huruf Jawi atau tulisan Arab ini dapat dilihat dengan jelas sekali menerusi perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” dan “wabihinastainubihi” yang kerap kali digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah. Perkataan tersebut telah ditulis dengan menggunakan huruf Jawi.

             Konsep yang ketiga pula ialah konsep bahasa asing yang digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah banyak menerima unsur-unsur bahasa asing antaranya hikayat tersebut menerima pengaruh bahasa Arab, Portugis, Jawa dan Sanskrit. Contoh perkataan yang menerima unsur pengaruh bahasa Arab yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah ialah firasat, hatta, mukah, shahadan, al-kesah, kaus,ikrar, dan wasiat.

            Seterusnya, contoh perkataan yang menerima unsur pengaruh bahasa Portugis yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah ialah lanchao yang bermakna sejenis perahu layar yang laju, armada pula bermaksud angkatan laut yang terdiri daripada kapal-kapal perang, gebernador yang bermaksud gabenor, seridadu yang bermaksud soldadu dan perkataan di-mitar-nya yang bermaksud ditujunya.

            Selain itu, Hikayat Hang Tuah juga menerima unsur pengaruh bahasa Jawa. Contoh perkataan yang terdapat di dalam hikayat ini ialah perajurit yang membawa maksud pejuang atau askar upahan, pateh iaitu penasihat utama kepada raja, rama andika iaitu ayah tuanku, menira bermaksud saya, paman iaitu bapa saudara sebelah emak atau dibahasakan juga kepada orang-orang lebih tua, kedayaan bererti ‘pengiring’ dan lawang membawa maksud ‘pintu luar’ dan lain-lain lagi.

            Kemudian, Hikayat Hang Tuah turut menerima unsur pengaruh bahasa Sanskrit. Antara contoh perkataan Sanskrit yang terdapat di dalam hikayat ini ialah mahkota, singgahsana, pustaka, duta, dirgahayu, dan lain-lain lagi. Jika dikaji secara teliti, penggunaan kata gelaran “Laksamana” banyak digunakan di dalam penulisan hikayat. Gelaran “Laksamana” yang dianugerahkan kepada Hang Tuah dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit yang bermaksud tanda atau markah keutamaan. Gelaran Laksamana diberikan kepada Hang Tuah yang merupakan lambang kesetiaan dan ketaatan yang sepenuhnya terhadap raja-raja.

            Konsep yang keempat pula ialah pengulangan kata. Gaya bahasa melibatkan cara dan gaya seseorang pengarang menyampaikan buah fikiran dan pandangannya sendiri melalui hasil karyanya. Gaya bahasa yang baik melibatkan banyak penggunaan perbendaharaan kata. Menerusi penelitian terhadap Hikayat Hang Tuah, pengulangan perkataan-perkataan tertentu banyak didapati di dalam hikayat ini. Sebagai sebuah hasil karya klasik dan agung, gaya bahasa pengulangan adalah perkara yang lazim didapati. Perkataan-perkataan yang sering kali digunakan secara berulang-ulang di dalam Hikayat Hang Tuah adalah setelah, alkisah, hatta, maka, sebermula, arakian, syahadan dan sekalian.

Konsep yang kelima pula ialah penggunaan kosa kata klasik. Selain dari konsep-konsep yang telah dibincangkan, Hikayat Hang Tuah juga dilihat sering kali menggunakan kosa kata klasik yang berasal dari Arab, Jawa, Siam, Sanskrit dan lain-lain lagi. Antara contoh kosa kata klasik yang dimaksudkan adalah seperti ratna mutu manikam, edan kesmaran, sahaya, masygul dan lain-lain lagi. Jadual dibawah menunjukkan antara contoh kosa kata klasik yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah beserta terjemahannya yang dilakukan dalam bahasa Melayu Moden.


Jadual 1: Penggunaan Kosa Kata Klasik Dalam Hikayat Hang Tuah
Kosa Kata Klasik
Asal
Terjemahan Ke Dalam
bahasa Melayu Moden

aviad
adika
amum
anak bingkis
arkian
andalan
bajuzirah
berpelik
bersuaka
bertandak
Arab
Kawi
Siam




Sanskrit

putih
Tuanku
Pangkat bagi golongan
bangsawan
barang pemberian
sesudah itu
cagaran
baju besi
bersubang kecil
berlindung


Berdasarkan jadual di atas, jelas memperlihatkan perbezaan perkataan dan sebutan bagi kosa kata klasik dengan kosa kata terjemahan yang dilakukan ke dalam bahasa Melayu Moden. Walaupun mempunyai maksud yang sama, akan tetapi perkataan tersebut disebutkan dengan dua cara yang berbeza.

           
2.3      KEKUATAN PENGARANGAN


Kekuatan kepengarangan yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini adalah berdasarkan tema dan persolan yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya kepada masyarakat. Tema dan persoalan yang menarik akan menjadikan sesuatu karya itu diangkat untuk menjadi sebuah karya yang agung. Hikayat Hang Tuah tergolong dalam sastera epik yang ditulis untuk mengagung-agungkan tokohnya iaitu Hang Tuah yang muncul pada zaman kerajaan Melayu tradisional. Hang Tuah merupakan watak yang digambarkan sebagai seorang yang hebat kerana menjadi keagungan bangsa, agama dan negara.  Hang Tuah juga turut menjadi lambang kekuatan dan kemegahan bangsa Melayu. Keagungan Hang Tuah menjadi kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah kerana ketokohan Hang Tuah boleh dijadikan contoh untuk rakyat berkongsi tokoh yang sama untuk dijadikan ikutan dan dapat menaikkan semangat bagi penyatuan bangsa.
            Hang Tuah juga merupakan tokoh yang berbangsa Melayu yang diwarnai dengan supernatural untuk menjadikannya agung dan sekali gus dapat mengangkat martabat bangsa. Keperwiraan Hang Tuah ini terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga digambarkan dapat menewaskan lanun-lanun di pulau dan orang mengamuk di pasar. Hang Tuah juga memiliki pelbagai hikmat seperti tidak mabuk meminum arak, boleh menguasai dua belas bahasa dan dapat bertemu dengan nabi Khidzir. Kebangunan, kebesaran dan kejatuhan Melaka adalah berhubung rapat dengan ketokohan Hang Tuah.

Ketika Hang Tuah masih kecil, kerajaan Melaka baru didirikan dan apabila Hang Tuah besar pula, beliaulah yang menjadi orang kanan bersama Bendahara. Manakala di dalam urusan pentadbiran dan urusan keselamatan dalam negeri, suara Hang Tuah menjadi suara muktamad yang bermaksud segala keputusan yang dikatakan oleh Hang Tuah akan disetujui oleh raja. Apabila Hang Tuah jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis dan terus kalah apabila beliau berundur dari perkhidmatan negara. Hal ini menjadikan Hang Tuah sebagai lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Ketokohan dan keperwiraan Hang Tuah yang ditonjolkan oleh pengarang inilah yang menjadi kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah disamping tema dan persoalan lain yang cuba dibangkitkan oleh pengarangnya untuk menyerlahkan lagi kekuatan kepengarangan dalam Hikayat Hang Tuah.


2.3.1 Tema Hikayat Hang Tuah

Tema merupakan suatu teknik yang amat penting dalam sesebuah karya kerana temalah yang menjadi pokok cerita kepada sesebuah karya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008) pula, tema ialah sebjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita dan sebagainya. Tema juga merupakan tajuk atau pokok utama sesebuah cerita. Dalam Hikayat Hang Tuah, tema yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya ialah tema berkenaan dengan ketaatan atau kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya.

Ketaatan Hang Tuah dapat dilihat dengan banyaknya dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah merupakan seorang hamba yang perlu mempunyai raja untuk mengabdikan kesetiaan dan ketaatannya. Oleh itu, kata taat yang menjadi tema dalam hikayat ini telah menjadi landasan bagi Hang Tuah dalam melakukan segala tindakan terhadap rajanya. Dalam erti kata yang lain, teks Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah teks yang menceritakan ketaatan seorang hamba kepada rajanya. Sifat taat yang terdapat dalam diri Hang Tuah ini menjadikan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk rajanya.

Sebagai contoh, Hang Tuah sanggup terjun ke telaga tahi untuk menyelamatkan kuda anak raja. Dia juga sanggup masuk ke dalam kubur supaya dapat menceritakan kepada raja bagaimana pengalaman seseorang yang dikebumikan. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang Jebat iaitu sahabatnya sendiri sedangkan Hang Jebat melawan raja adalah untuk menuntut bela atas tindakan raja yang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Selain itu, Hang Tuah turut sanggup bertarung nyawanya dan melakukan sesuatu yang tidak rasional dengan melarikan Tun Teja ke negeri Melaka hanya untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap raja Melaka.

2.3.2 Persoalan
Selain tema, persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi sesuatu kepengarangan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan ialah sesuatu yang dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan juga merupakan pembicaraan, perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan dalam sesebuah karya. Terdapat banyak persoalan yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan persoalan-peroalan inilah yang akan menjadi kekuatan untuk mengangkat sesuatu karya itu menjadi karya yang agung.

Sesebuah karya sastera akan dibina berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada episod kehidupan dan kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan menjalinkan persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa yang berkesimnambungan antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk sebuah karya yang mantap. Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang Tuah ini tidak terlepas daripada memaparkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu tradisional. Persoalan-persoalan inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.

Antara persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah persoalan tentang keberanian atau kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat dilihat berdasarkan sikap dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai sifat-sifat keperwiraan Melayu silam seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan musuh. Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini kerana beliau telah mengalahkan lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan Bendahara Paduka Raja. Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik sebagai Biduanda Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian mereka berlima sedangkan segala pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara lari melihat orang mengamuk. Keberanian Hang Tuah dan sahabatnya jelas dinyatakan seperti yang terdapat di dalam teks berikut:

“Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman orang itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya seorang: itu pun rebah lalu mati”.
( HHT,1997:37 )

Selain itu, persoalan tentang kebijaksanaan juga menjadi persoalan penting yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang bijaksana dalam melakukan sesuatu tindakan. Sifat kebijaksanaan yang ada pada diri beliau ini juga menyebabkan raja Melaka semakin menyayanginya. Hang Tuah sememangnya seorang pahlawan yang bijaksana, setiap tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang tersendiri. Hang Tuah bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga bijak dalam melakukan helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan. Hang Tuah juga dikatakan bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang dipelajarinya sejak kecil lagi. Antaranya adalah Bahasa Arab, Bahasa Keling, Bahasa Siam, Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.

           … Telah berapa lamanya Hang Tuah mengaji Qur’an, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya, “Ayo bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta, beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah diketahuinya. Maka Hnag Tuah pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina. Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa Cina itu. Maka Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya…
                                                                                                            ( HHT, 1997: 24 )    
Seterusnya, persoalan  tentang ketangkasan. Kejayaan Hang Tuah sebagai pehlawan Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau bermain senjata. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan Hang Tuah sebagai seorang yang tangkas. Anataranya peristiwa ketika beliau yang hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit tersebut. Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat digambarkan petikan teks tersebut:

Setelah sudah Laksamana ke sungai, maka penjurit empat puluh itu pun datang ke kiri kanan Laksamana, seraya berkata, “Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati.  Jangan lagi beri lepas.” Maka penjurit itu pun berbahagi empat, sepuluh hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri, sepuluh dari belakang, lalu ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka ditangkis oleh Laksamana   dengan sarung keris itu seraya dihunusnya keris panjangnya seraya tertinggung ke sungai. Maka ditangkiskan oleh Laksamana tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada mengena Laksamana.
                                                                                                ( HHT, 1997: 281 )


2.3.3 Pengajaran
Kekuatan kepengarangan Hikayat Hang Tuah juga dapat dilihat melalui pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini. Pengajaran ini boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat untuk melakukan sesuatu yang baik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), pengajaran ialah perihal mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar. Pengajaran juga membawa makna peringatan atau pedoman. Dalam Hikayat Hang Tuah terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil untuk dijadikan pedoman. Antaranya seperti petikan teks ini:


Maka setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapatit, mana yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah, orang mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun habis lari cerai-berai, segala bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya, “ ceh, barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak itu.”
                                                                                                            ( HHT, 1997: 205 )
Petikan ini mengajar kita supaya sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan terutamanya dalam hubungan sesama manusia. Kadang-kala terdapat manusia yang sengaja merancang sesuatu tindakan untuk menguji keutuhan sesebuah negara. Pihak perancang ingin melihat tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak apabila mereka melaksanakan sesuatu perancangan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk melihat sejauh mana keutuhan dan keharmonian golongan masyarakat Majapahit.

Selain itu, kita juga hendaklah bersama-sama menunjukkan sikap kekitaan, kebersamaan, dan keberanian untuk menghadapi ancaman daripada orang lain. Kita juga perlu mengelakkan diri daripada lari apabila berhadapan dengan sesuatu masalah kerana pengunduran seseorang akan memberi kesan kepada individu lain yang akan turut menjejaki tindakan tersebut. Hal ini akan mendatangkan kesan seperti kekalahan dalam pertempuran dan akan memusnahkan tanah air dan bangsa sendiri. Oleh itu, sikap Hang Tuah yang merah apabila orang-orang Majapahit melarikan diri daripada orang mengamuk menunjukkan bahawa Hang Tuah tidak mahu orang-orang Majapahit menunjukkan sikap yang negetif kepada pihak musuh.

Tuntasnya, berdasarkan tema dan persoalan yang ditonjolkan oleh pengarang boleh menjadikan karya Hikayat Hang Tuah ini menjadi karya yang agung kerana hikayat ini mempunyai kekuatan kepengarangan yang tersendiri berbanding karya-karya sastera tradisional yang lain. Hikayat ini merupakan hikayat yang mengangkat bangsa Melayu sebagai bangsa yang kuat dan berani berdasarkan watak utamanya iaitu Hang Tuah. Tema dan persoalan yang dibincangkan juga banyak menekankan tentang kehebatan wataknya yang menjadi cerminan bagi masyarakat Melayu. Selain itu, pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini juga turut menjadikan Hikayat Hang Tuah ini menjadi sebuah hikayat yang agung. Pengajaran ini juga menjadi pedoman kedapa masyarakat dan menjadi antara kekuatan yang terdapat dalam karya.


2.4               MOTIF PENGARANGAN
Dalam Hikayat Hang Tuah, pengarang memperlihatkan wira agung Melayu iaitu Hang Tuah yang mempunyai cirri kehebatan sebagai seorang wira pada zaman kesultanan Melayu. Watak Hang Tuah ialah simbol kesetiaan orang Melayu kepada Rajanya. Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melaka menjadi pahlawan Melaka yang mempunyai sifat-sifat kepahlawanan yang luar biasa dan mengagumkan. Pahlawan Hang Tuah ini menjadi tokoh lagenda yang gemilang dari segi perjalanan hidup dan pencapaiannya serta amat disanjung oleh orang Melayu. Peranan Hang Tuah juga dilihat sebagai lambang semangat orang Melayu pada ketika itu.

            Selain sifat kesetiaan dan kepahlawanan, Hikayat Hang Tuah ini juga terdapat sifat kasih dan sayang antara sahabat yang boleh dijadikan pedoman dan tauladan kepada masyarakat. Selain itu, pengarang memaparkan sikap orang Melayu itu sendiri yang pada zaman dahulu sehingga kini sering fitnah menfitnah selain kuat dengan perasaan hasad dengki. Motif kepengarangan akan dilihat dalam beberapa peristiwa penting dalam Hikayat Hang Tuah ini. Peristiwa pertama adalah mengenai Hang Tuah dalam buangan di Inderapura, kemudian kami mengupas pula mengenai perkahwinan Sultan Melaka dengan Tun Teja, dan akhir sekali kami mengupas pula mengenai pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat.

2.4.1   Hang Tuah dalam buangan di Inderapura (Bab 9)

Bab ini menceritakan tentang sifat hasad dengki dan khianat pembesar-pembesar negeri Melaka terhadap Hang Tuah. Pembesar negeri Melaka telah membuat fitnah yang menyebabkan Hang Tuah dibuang ke Inderapura. Keadaan ini berlaku akibat Hang Tuah terlalu disayangi oleh Raja Melaka sejak kembali dari Majapahit. Antara peristiwa-peristiwa yang membawa kepada berlakunya pembuangan Hang Tuah ke Inderapura ialah pembesar-pembesar Melaka telah bermesyuarat diketuai oleh Patih Kerma Wijaya untuk membuat fitnah ke atas Hang Tuah supaya Hang Tuah dijatuhkan hukuman oleh Raja Melaka. Hasilnya Patih Kerma Wijaya memberitahu Raja Melaka bahawa  Hang Tuah telah bermukah dengan dayang istana. Tanpa usul periksa dan perasaan marah, Raja Melaka menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah dan menitahkan Bendahara Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah.

            Bendahara Paduka Raja yang mengetahui perkara sebenarnya tidak sempat untuk menyatakan kepada Raja Melaka. Bendahara Paduka Raja menasihatkan Hang Tuah untuk lari ke Inderapura dan memperhambakan dirinya kepada Bendahara Seri Buana. Di Inderapura, Hang Tuah memberitahu bahawa dirinya telah difitnah berlaku curang dengan dayang istana. Hang Tuah diterima oleh Bendahara Seri Buana dan ditempatkan di kampung Bendahara Seri Buana.
            Hang Tuah telah menjadi anak angkat Dang Ratna iaitu inang Tun Teja yang paling tua. Kebetulan pula Dang Ratna tidak mempunyai anak. Oleh sebab budi pekerti Hang Tuah yang baik, dia disayangi oleh Dang Ratna sehingga menyebabkan Hang Tuah menjadi buah mulut inang-inang lain seperti Dang Rani, Intan Baiduri, Dang Merdu, Dang Senja dan Cendera Midani. Semasa bermain sepak raga bersama Tun Jenal iaitu anak Bendahara Seri Buana, Tun  Karim dan Tun Megat, Hang Tuah telah menunjukkan kepandaiannya bermain sepak raga. Tun Jenal menjemput Hang Tuah untuk datang kerumahnya. Di rumah Tun Jenal diadakan majlis menyambut kedatangan Hang Tuah. Hang Tuah ingin melihat tarian dan mendengar nyanyian Inderapura lalu Tun Jenal menjemput biduanda Tun Teja seperti Dang Merdu, Dang Kemala, Dang Warna, Dang Senja dan Intan Baiduri untuk menari. Suara dan lemah lembut tarian Hang Tuah sungguh mengkagumkan mereka.

            Selepas itu, Hang Tuah dipujuk oleh Raja Inderapura untuk menetap di Inderapura. Hang Tuah berkawan dengan Tun Jenal dan anak pembesar-pembesar di Inderapura. Di Inderapura, Hang Tuah menceritakan pengalaman-pengalamannya semasa berada di Majapahit bersama-sama dengan Raja Melaka. Hang Tuah menceritakan tipu muslihat Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada yang ingin membunuhnya. Hang Tuah menghadiahkan kain Melaka kepada Tun Teja iaitu puteri Bendahara Seri Buana yang menjadi tunangan Megat Panji Alam Terengganu. Oleh sebab terlalu suka mendapat kain daripada Hang Tuah, Tun Teja menjemput Hang Tuah makan di istananya. Tun Teja mula jatuh hati kepada Hang Tuah sehingga bermimpi. Mimpi Tun Teja itu disampaikan kepada Hang Tuah melalui Dang Ratna.



2.4.2  Melarikan Tun Teja (Bab 10)
“Lihatlah si tua celaka ini! Pada bicaraku, tua jadi penawar, ini tua menjadi racun! Benarkah engkau berani brkata-kata demikian? Ini bukan kata kau katakan padaku. Orang tua demikian patut digocoh mulutnya dengan tempurung berbulu! Bukan barang-barang kata dikatakan. Hendak membunuh kita pula, si hancur lebur ini! Pada bicaranya, kita mahu akan Tun Tuah itu? Sedang Raja Melaka itu Tuanku hendak akan kita, kita tidak mahu, ini pula hambanya. Seperkara pula, kita pun sudah bertunangan; bukan ia tidak tahu. Sahaja ia ini berani.”
                                                                                                                       (Halaman : 230 – 231)

Bab ini mengisahkan tentang Hang Tuah berusaha kembali ke Melaka dan memperhambakan dirinya kepada Raja Melaka agar kesalahannya diampunkan. Oleh sebab Raja Melaka ingin beristerikan Tun Teja, maka Hang Tuah berusaha membawa Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja Melaka. Pada mulanya, Hang Tuah berpura-pura cintakan Tun Teja dan menyuruh ibu angkatya, Dang Ratna iaitu inang tua Tun Teja menyampaikan hasratnya tersebut kepada Tun Teja. Pada mulanya Dang Ratna tidak berani menyatakan hasrat Hang Tuah tersebut. Akan tetapi kerana kasihankan kepada Hang Tuah, Dang Ratna sanggup menyampaikan hasrat hati Hang Tuah kepada Tun Teja.

            Tun Teja berasa amat marah kepada Dang Ratna tatkala Dang Ratna menyampaikan hasrat Hang Tuah kerana kedudukannya tidak setaraf. Dang Ratna digocoh dengan tempurung bebulu menyebabkan muka dan mulutnya berdarah. Dang Ratna memberitahu Hang Tuah perkara yang sebenarnya. Keadaan ini menimbulkan kemarahan Hang Tuah yang menyebabkan Hang Tuah berusaha menghapuskan arang (malu) di muka Dang Ratna. Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna untuk dilumurkan kepada Tun Teja supaya Tun Teja tergila-gilakannya. Ubat guna-guna itu diberikan kepada Dang Ratna untuk dilumurkan kepada Tun Teja.
            Dengan hati yang cekal dan ingin membalas dendam atas perbuatan Tun Teja terhadap dirinya, Dang Ratna melumurkan ubat guna-guna pada badan Tun Teja. Akibat daripada kesan ubat guna-guna itu, Tun Teja mula mencintai Hang Tuah. Tun Teja memberitahu Dang Ratna supaya menyekat Hang Tuah yang berpura-pura hendak kembali ke Melaka kerana Tun Teja ingin bertemu dengannya. Tun Teja diiringi oleh dayang-dayang menyamar keluar dari istana ke rumah Dang Ratna untuk bertemu dengan Hang Tuah. dalam pertemuan itu, masing-masing mencurahkan isi hatinya. Dari sinilah lahirnya cinta suci Hang Tuah terhadap Tun Teja. Tetapi disebabkan niatnya untuk membawa Tun Teja kepada Raja Melaka, akhirnya timbul konflik dalam diri Hang Tuah.  Bagi diri Hng Tuah tiada raja lain di dunia yang diperhambakan selain daripada Raja Melaka.

            Keinginan Hang Tuah untuk melarikan Tun Teja ke Melaka telah diterima oleh Tun Teja. Hal ini terjadi kerana Tun Teja ingin melarikan diri dari dikahwinkan denga Megat Panji Alam Terengganu. Tatkala Hang Tuah berusaha untuk melarikan Tun Teja ke Melaka, Hang Tuah bertemu dengan Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura yang singgah di Inderapura. Hang Tuah menceritakan perihal dirinya yang difitnah dan usahanya untuk membawa Tun Teja ke Melaka untuk Raja Melaka. Dengan bantuan Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura, Hang Tuah telah berjaya melarikan Tun Teja bersama-sama dengan Dang Ratna ke Melaka. Bendahara Seri Buana menghantar angkatan perang di bawah pimpinan Seri Maharaja Lela, Tun Jena dan Tun Pekerma untuk menyerang Hng Tuah yang berlabuh di Pulau Tinggi. Tetapi angkatan itu telah dapat dikalahkan oleh Hang Tuah dengan bantuan Tun Bija Sura dan Tun Rana Diraja.

            Semasa Melaka menyambut rombongan, yang membawa gajah dari siam, Raja Melaka terpandang Hang Tuah di dalam perahu tersebut. Di sini Raja Melaka mulai menyesal dengan tindakannya. Hang Tuah memberitahu bahawa dia menetap di Inderapura dan tidak akan bertuan selain daripada Raja Melaka dan memberitahu bahawa dia membawa Tun Teja dari Inderapura yang menjadi idaman Raja Melaka. Raja Melaka terlalu sukacita dan menghadiahkan sepersalinan kepada Hang Tuah seperti Raja Melaka sendiri yang mengenakan pakaian kepada Hang Tuah. Raja Melaka memerintahkan Bendahara Paduka Raja membuat persiapan kedatangan Tun Teja.

            Sekali lagi Hang Tuah menghadapi dilemma dan konflik kerana Tun Teja tidak mahu berkahwin dengan Raja Melaka. Hatinya adalah untuk Hang Tuah dan kedatangannya ke Melaka sebab ingin bersama-sama dengan Hang Tuah. Oleh kerana cintanya terhadap Hang Tuah, Tun Teja sanggup memakan ubat pembenci yang dibuat oleh Hang Tuah agar hatinya akan membenci Hang Tuah . Akhirnya, Tun Teja telah dikahwinkan dengan Raja Melaka.

            Maka jelaslah disini menunjukkan bahawa pengarang ingin menunjukkan kesetiaan dan ketaatan Hang Tuah kepada Raja Melaka sehingga sanggup membahayakan diri dan memberikan cintanya kepada Tuanku. Sebagai hamba rakyat, masyarakat dahulu seharusnya taat setia kepada pemerintah dan jika tidak akan dianggap derhaka dan akan ditimpa tulah. Pengajarannya kepada masyarakat pada hari ini ialah, sebagai rakyat biasa kita seharusnya menghormati dan mentaati pemerintah atau ketua negara yang menjadi lambang kemegahan orang Melayu.

2.4.3  Hang Tuah Bertikam dengan Hang Jebat (Bab 17)
Maka Laksamana pun bermain keris panjangnya dua tiga lompat dirasainya tubuhnya tiada seperti dahulu, tiada memegang keris dan pedang. Maka Laksamana pun berurut lima hari lima malam. Maka laksamana pun dibawa oleh Bendahara menghadap Raja. Maka titah Baginda, ‘Dapatkah kekasihku membunuh  Si Jebat demikian itu?’ Maka sembah Laksamana, ‘Daulat Tuanku, patik mohonkan ampun, patik pohonkan keris pandak patik supaya patik pergi membuangkan Si Jebat derhaka itu.’ Maka titah raja, ‘Ayu laksamana, keris itu sudah kita berikan Si Jebat derhaka itu.’. ‘Wah, sayangnya keris itu beroleh akan  Si Jebat. Siapatah dapat berhadapan dengan dia?’
                                                                                                                            (Halaman 375-376)

Dalam bab ini, pengarang menceritakan kepahlawanan Laksamana Tun Tuah yang bersedia melaksanakan tugas untuk membunuh Paduka Raja Tun Jebat sehingga Raja Melaka menganugerahkan keris Parung Sari, iaitu keris kerajaan Melaka yang diwarisi daripada ayahanda baginda di Bukit Siguntang. Dalam pertarungan dengan Paduka Raja Tun Jebat, Laksamana Tun Tuah telah berjaya mendapatkan semula keris Taming Sari dari tangan Paduka Raja Tun Jebat melalui tipu helah Laksaman Laksamana Tun Tuah . Setelah itu, Laksamana Tun Tuah berjaya menikam Paduka Raja Tun Jebat tetapi tidak menemui ajal dan mengakibatkan Paduka Raja Tun Jebat yang cedera parah itu lari dan mengamuk di sekitar Kota Melaka dan telah membunuh ramai orang yang tidak berdosa. Paduka Raja Tun Jebat akhirnya berjaya menemui Laksamana Tun Tuah dan Paduka Raja Tun Jebat mati di ribaan Laksamana Tun Tuah. Sebalum meninggal dunia Paduka Raja Tun Jebat sempat berpesan supaya Laksamana Tun Tuah memelihara anaknya yang akan dilahirkan oleh Dang Baru.

            Selepas kematian Paduka Raja Tun Jebat, istana Melaka yang baru telah dibina. Mayat Paduka Raja Tun Jebat pula digantung selama tujuh hari di tengah-tengah jalan raya untuk menjadi suatu pengajaran kepada orang lain. Tidak lama kemudian, Dang Baru pun melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Hang Kadim, seperti yang telah dijanjikan oleh Laksamana Tun Tuah Tun Tuah, Hang Kadim telah dihantarnya ke Inderapura dan dipelihara oleh Bendahara Seri Buana iaitu ayahnda Tun Teja.

            Antara motif dan pengajaran yang dalam diambil dalam bab 17 ini ialah keakraban talian persahabatan antara Hang Jebat dan Hang Tuah, dimana Hang Jebat berasa amat marah dengan Raja Melaka kerana menghukum sahabatnya tanpa usul periksa. Namun, kesetiaan Hang Tuah kepada Raja menyebabkan Hang Tuah sanggup membunuh rakannya sendiri. Pengarang ini menunjukkan bahawa tuduhan melulu tanpa usul periksa akan menyebabkan kerugian dan penyesalan yang panjang. 


3.0      ANALISIS KESELURUHAN KARYA AGUNG HIKAYAT HANG TUAH

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kami, dapat dianalisiskan bahawa karya agung Hikayat Hang Tuah telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan bahasa dan peradaban bangsa Melayu. Profesor Mohd Taib Osman telah mengklasifikasikan bahawa karya agung Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu kebangsaan yang asli yang terbesar kerana karya agung ini menggambarkan tentang perjuangan dan tindak tanduk seorang hero kebangsaan dalam sejarah perkembangan bangsa Melayu. Pengarang telah mengangkat watak Hang Tuah untuk dijadikan sebagai lambang kemegahan negeri Melaka pada ketika itu dan menjadi sumber inspirasi dankebanggaan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad, hikayat ini telah menerangkan tentang sikap hidup bangsa Melayu sebelum kedatangan pengaruh peradaban Barat. Pertama kalinya pembaca Eropah mendapat tahu tentang Hikayat Hang Tuah daripada mubaligh Belanda Francois Valentijn Oud en Nieuw Oost-Indie yang terbit pada tahun 1726. Dalam buku itu, pengarang menyifatkan hikayat tersebut sebagai “Intan yang jarang terdapat” dan merupakan sebuah karya agung Melayu yang paling indah.

Hikayat hang Tuah merupakan sebuah epos wira dalam bentuk bertulis yang diserap semangat kebangsaan sedalam-dalamnya. Hooykaas telah menyifatkan Hikayat Hang Tuah sebagai “Malay Legendary Novel” yang mempunyai unsur-unsur sejarah. Hikayat Hang Tuah menyalurkan mesej  bagi menanamkan rasa taat setia rakyat terhadap raja dan Negara, dan menggalakkan rakyat berasa bangga terhadap negaranya. Dia sentiasa berusaha menjaga maruah bangsa, meninggikan martabat raja dan Negara dan mempertahankan kedaulatan raja dan negaranya. Hang Tuah seorang pahlawan yang gagah perkasa, dan kepahlawanan Hang Tuah menjadi inspirasi dan semangat perjuangan kepada bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah menjadi sebuah teks pahlawan bangsa yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” masih menjadi slogan yang keramat dalam meniupkan semangat perjuangan orang Melayu. “Pantang Melayu menderhaka kepada tuannya” menjadi pegangan bangsa Melayu untuk terus menumpahkan kesetiaan pada raja dan Negara.

Watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah bertindak dilatari seluruh dunia Melayu yang dipandang mereka sebagai ‘Tanah Melayu’ yang tunggal serta ‘negeri-negeri asing’ iaitu Majapahit, Wijayanagar, China, Turki dan Siam. Karangan itu sarat dengan butir-butir yang mencerminkan keperibadian hidup sehari-hari di kota dan istana dengan tepat seperti  upacara perkahwinan dan pertabalan sultan, majlis jamuan diraja dan cara menyambut duta asing. Pendek kata, segenap gambaran hidup Melayu pada abad pertengahan yang unik, berwarna-warni dan penuh dengan pergolakan.

Sifat ketaatan Hang Tuah yang luar biasa disamping memiliki sifat-sifat yang mulia dan berhemah tinggi telah menjadikan ketokohan Hang Tuah bukan sahaja sebagai lambang kepahlawanan dan keperwiraan bangsa Melayu, tetapi juga sebagai lambang kebesaran Raja Melaka, kerajaan Melaka dan seterusnya menjadi kebanggaan bangsa Melayu. Kejayaan pengarang Hang Tuah ialah dalam menggambarkan Hang Tuah sebagai perwira Melayu. Sifat ini digunakan pada masa bangsa Melayu lemah moralnya, untuk memulih kembali moral itu atau sekurang-kurangnya menanam kepercayaan dan pegangan bahawa pada suatu masa dahulu bangsa Melayu bangsa yang gagah, setia dan mempunyai kesanggupan untuk mendaulatkan bangsanya.


4.0              PENUTUP

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan penelitian yang telah dilakukan melalui tugasan ini dapatlah disimpulkan bahawa Hikayat Hang Tuah ini merupakan salah satu lambang keagungan bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah juga telah menunjukkan satu perlambangan bahawa bangsa Melayu itu yang taat akan sultannya. Bangsa Melayu pada zaman keagungannya sememangnya merupakan salah satu bangsa yang megah dan kaya dengan adat istiadatnya.

Walaupun pada asalnya Hikayat Hang Tuah  tergolong dalam sastera sejarah, tetapi jika dilihat dari segi tema dan persoalan, Hikayat Hang Tuah sememangnya berbeza dengan teks historigrafi lain yang menceritakan sejarah sesebuah negeri tetapi hikayat ini menceritakan sejarah hidup Hang Tuah, oleh sebab itu wajarlah teks ini digolongkan dalam karya agung kesusasteraan Melayu. Di dalam teks ini terdapat banyak sumber sejarah berkenaan negeri Melaka di samping gambaran corak organisasi pentadbiran politik, kebudayaan dan sosio-ekonomi masyarakat Melayu silam itu. Justeru kerana sifat peribadi Hang Tuah itu diceritakan melalui pendekatan kesusasteraan epik maka segala aspek yang berkaitan dengan unsur-unsur sastera epik terdapat di dalam hikayat ini.

Berdasarkan analisis yang dibuat iaitu berkaitan dengan analisis di sebalik konsep, kekuatan dan motif kepengarangan, maka jelaslah bahawa Hikayat Hang Tuah dapat dijadikan sebagai contoh dan teladan kepada masyarakat generasi mendatang. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang tokoh yang serba boleh yang menyebabkan negeri Melaka menjadi sebuah negeri yang terkenal pada masa dulu. Pemikiran pengarang melalui tema, persoalan dan fungsi jelas menampakkan tentang ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah.


Pendek kata, karya agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan bangsa Melayu. Karya agung Melayu tradisional merupakan penentuan karya agung Melayu yang dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan dan sebagai pembentuk tradisi bangsa sehingga memberi kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman.