Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), Falsafah telah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang paling tinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012) pula, falsafah merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani philosophia atau philo yang bermaksud cinta dan Sophia yang bermaksud hikmat.
Idealisme pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), adalah sifat iaitu sikap atau perbuatan yang melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal, sifat yang menghasratkan yang unggul iaitu sempurna. Idealisme ini mempunyai kelebihan yang tersendiri dan antara kelebihannya ialah idealisme berteraskan kesedaran intelek dan sistem berfikir secara rasional dan logik untuk mengenal pasti sesuatu kebenaran. Logik adalah alat untuk menentukan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan pada satu-satu situasi. Falsafah ini lebih bersifat statik, stabil, dan sukar berubah. Walaupun begitu, idealisme tetap mempunyai kelemahan. Keadaan ini disebabkan oleh, anggapan terhadap sesuatu nilai atau kebenaran yang kekal sepanjang masa masih tidak mendapat persetujuan serentak daripada manusia tentang beberapa perkara. Logik adalah kunci asas idealisme tetapi tidak semuanya boleh digunakan kerana terdapat perubahan dari semasa ke semasa.
Idealisme Bersumberkan Alam
Idealisme bersumberkan alam merupakan idealisme yang memaparkan tokoh-tokoh bukan masusia tetapi haiwan dan tumbuhan yang disimbolkan sebagai perilaku manusia. Haiwan dan tumbuhan inilah yang akan bertindak, berbicara, berkomunikasi, berfikir dan sebagainya. Idealisme bersumberkan alam ini juga disebut sebagai idealisme yang beraliran simbolisme. Kehadiran karya sastera yang beraliran simbolisme ini biasanya ditentukan melalui situasi yang tidak mendukung pencerita atau pengarang yang berbicara. Idealisme yang bersumberkan ala mini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu idealisme yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan lain-lain.
Sebagai contoh yang boleh dilihat adalah seperti yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin:
“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, ‘Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.’”
(Sulalat al-Salatin, 2003: 14)
Petikan ini menunjukkan bahawa penulis telah memasukkan unsur alam seperti laut dan darat ke dalam penulisannya. Hal ini membuktikan bahawa kaitan antara manusia dan alam seperti lautan dan daratan juga adalah sesuatu yang dianggap sebagai keperluan.
Falsafah Bersumberkan Islam
Falsafah Islam muncul apabila agama Islam tersebar di Tanah Melayu selepas pengaruh agama Hindu. Kedatangan Islam daripada mubaligh-mubaligh luar ini menyebabkan hasil karya sastera pada waktu itu turut dipengaruhi dengan falsafah Islam. Pada waktu ini, kitab al-Quran merupakan sumber utama kepada falsafah Islam ini. Hal ini kerana, al-Quran merupakan kitab petunjuk dan rahmat buat skalian alam. Kitab ini juga merupakan kitab yang lengkap yang boleh dijadikan sebagai panduan hidup dan boleh menjadi penawar dan pengubat jiwa dan menjadi pemutus kata.
Sebagai contoh yang boleh dilihat adalah seperti yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin:
“diperbuatkan hikayat [….] perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 3)
Falsafah Ibadah dalam Sulalatus Salatin
"Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; ............ Jikalau engkau bunuh ia tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa."
(Muhamad Haji Salleh, 1997: 186 -187)
Raja Iskandar menyuruh Raja Kida Hindi untuk memeluk agama Islam. "Kata Nabi Khidir: ' Ketahui olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahlan Allah Taala kerajaan dunia ini kepadanya,dari daksini lalu ke paksina.'"
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 5)
Aspek politik masyakarat melayu Walaupun raja pernah bermusuhan, apabila sudah kalah,raja lama secara langsung menghormati raja baru.
Falsafah Bersumberkan Melayu
Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. Perkataan falsafah merupakan gabungan dua perkataan iaitu philo yang bermaksud cinta dan sophia yang bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagai “cinta akan kebijaksanaan”. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu ilmu yang lain. Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.
Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang dapat dihuraikan melalui tiga sudut pandangan iaitu sudut pandangan bahasa, sudut pandangan pemerhatian praktis dan sudut pandangan perbezaannya daripada ilmu-ilmu yang lain. falsafah juga merupakan satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa arab yang juga berasal daripada perkataan yang disebut sebagai philosophia.
Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebahagian daripada masyarakat.
Nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu. Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan membentuk jati diri mereka dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, interaksi yang beradab, sopan, menghormati orang lain merupakan norma- norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Nilai yang diamalkan akan menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan .
Selain itu, Masyarakat Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap budi bahasa. Mereka telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Anggota masyarakat yang tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupam mereka akan menimbulkan pandangan negatif oleh masyarakat. Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional. Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, nazam, ghazal, berzanji, teka-teki, dan dabus.
Falsafah Melayu Berkaitan dengan Adat
Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun temurun. Adat yang diwujudkan perlu dipatuhi oleh masyarakat. Dalam Sulalatus Salatin, terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan raja dan golongan rakyat. Adat yang digunakan pada masa dahulu juga masih ada yang digunakan pada masa sekaranag sesuai dengan peredaran masa.
Adat Penganugerahan Gelaran
Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda.
Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang serunai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah Bendahara akan diberi lima ceper persalinan.
Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Persangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang serunai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
(A. Samad Ahmad, 1979: 76)
Adat Mengadap Raja di Balairung
Semasa mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di balairung. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
Kemudian daripada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang baginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
(A. Samad Ahmad, 1979: 5)
Falsafah Bahasa
Semua bahasa yang terdapat di dunia mempunyai nahu atau tatabahasa yang tersendiri, terutamanya bahasa Melayu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat yang betul dalam proses berbahasa.
Nyanyian dalam karya sulalatus salatin memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.
Dihela-hela diretak sehasta
Kandis dipenggalkan
Alangkah gila Raja Kecil
Menggusta manis ditinggalkan
Melihat buah hartal masuk.
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 217)
Nilai berbudi dan berbahasa dianggap sebagai suatu nilai yang tinggi dalam masyarakat Melayu dan disanjung tinggi sebagai ukuran ketinggian keperibadiannya. Dalam karya Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh menunjukkan ketinggian ilmu orang Melayu dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah seperti pantun dan syair.
Sumber dipetik daripada:
1. Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat Al-Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. A.Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan