_SeUnTai KaTa_

Ahad, 28 April 2013

TUN SERI LANANG





Bibiliografi Tun Seri Lanang

Tun Seri Lanang atau nama sebenarnya Tun Muhammad dilahirkan di Seluyut, Johor Lama pada tahun 1565. Beliau pernah menjadi Bendahara Paduka Raja Johor bagi dua sultan bagi kesultanan Johor iaitu semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II pada 1570M-1579M dan Sultan Alauddin Riayat Shah III iaitu pada tahun 1597M-1615M. terdapat juga kisah yang mengatakan bahawa Tun Seri Lanang ini turut pernah menjadi bendahara semasa pemerintahan Sultan Ma’ayat Shah. Tun Seri Lanang juga dikisahkan pernah menjadi Uleebalang Kenegerian Semalanga, iaitu pemerintah otonomi di sebuah jajahan Kesultanan Aceh Darussalam. Beliau turut pernah menjadi penasihat kepada tiga orang Sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda pada tahun 1607M-1636M, Sultan Iskandar Thani pada tahun 1636M-1641M dan Sultan Tajul Alam Safiatuddin Shah pada tahun 1641M-1675M. Semasa Tun Seri Lanang berada di Aceh, beliau telah digelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.
Selain itu, Tun Seri Lanang juga telah terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada tahun 1586M,  1587M dan pada tahun 1606M. Beliau merupakan antara orang kuat yang menyusun semula pertahanan Johor bagi menghadapi serangan Portugis dan Aceh. Tun Seri Lanang turut pernah menjadi utusan Johor ke Goa untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1583M. Beliau juga turut menjadi orang yang bertanggungjawab dengan Admiral Matelief pada 23 September 1606M untuk mempertahankan Johor daripada serangan yang dilakukan oleh Aceh. Beliau juga yang telah menyusun kitab Sulalat Al-Salatin atau Sejarah Melayu pada tahun 1612M. Tun Seri Lanang merupakan seorang tokoh yang sangat dikagumi oleh bangsa Melayu kerana beliau merupakan seorang tokoh sejarah dan pujangga Melayu yang agung. Karyanya iaitu kitab Sulalat Al-Salatin atau Sejarah Melayu telah menjadi rujukan dan kajian yang digunakan oleh ramai para sarjanawan sehingga hari ini dan melalui karya ini jugalah yang telah menjadikan Tun Seri Lanang sebagai Pujangga Agung Nusantara.

Peranan Dan Sumbangan Tun Seri Lanang

Kemasyhuran teks Sulalat Al-Salatin atau Sejarah Melayu ini adalah kerana kitab ini dikaitkan dengan perincian tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai sebuah Kesultanan Melayu yang paling kuat, agung dan kaya pada abad ke-15M dahulu. Kemasyhuran Sejarah Melayu ini telah mendapat perhatian ramai pengkaji sejarah sehingga kitab ini sering diselidiki sebagai sebuah dokumen sejarah yang telah memberi gambaran berkenaan kelahiran kerajaan Melaka yang seiring dengan tamadun Melayu Islam yang berjaya. Kitab ini juga turut menceritakan tentang peluasan kuasa pemerintahan.
Tun Seri Lanang merupakan seorang yang terkenal dengan kepandaiannya bercerita. Beliau juga pandai bercerita kerana mempunyai banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan berbanding dengan pegawai-pegawai istana yang lain. Bakat penulisan yang dimiliki oleh Tun Seri Lanang ini sudah dapat dilihat sejak beliau belum menjadi bendahara lagi.
Hasilnya menunjukkan bahawa Tun Seri Lanang adalah seorang yang amat pintar dan bijaksana. Kepintaran yang ada pada Tun Seri Lanang ini membolehkan beliau menceritakan dengan lebih terperinci tentang keadaan politik yang berlaku di dalam istana pada ketika itu. Dalam kitab karangan Tun Seri Lanang ini juga turut menceritakan bagaimana manusia ditelan kerakusan kerana kuasa dan Bendahara Seri Maharaja sendiri  terjebak dengan wang pemberian Raja Mendeliar sebagai rasuah. Keadaan ini dapat dibuktikan dalam ayat berikut yang terdapat dalam teks Sulalat al-Salatin.
 “Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil.”
                           (Tun Seri Lanang, 1977:160).  
Kata hati, kemuliaan diri dan maruah seorang bendahara tercemar ketika beliau menerima emas yang digunakan sebagai itu. Karyanya ini berakhir dengan peristiwa sedih apabila cerita berkenaan dirinya mengambil rasuah ini dibesar-besarkan sehingga bendahara dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud kerana dituduh menderhaka. Gambar-gambarnya juga banyak telah diturunkan tanpa banyak soal jawab. Cerita yang disampaikan oleh Tun Seri Lanag inilah antara sebab yang menjadi punca kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu.
Kata hatinya bukan sahaja bersifat moralistik tetapi juga beliau turut menilai dalam bidang politik yang menurutnya sudah terpisah daripada nilai etika Melayu. Pandangan beliau tentang kuasa yang pelbagai turut berlandaskan ukuran moral. Pada suatu sudut yang lain beliau turut menyokong raja yang dianggap adil seperti menyebelahi Raja Kasim yang menjadi nelayan setelah adindanya dipilih menjadi Raja Melaka. Namun apabila seseorang raja melanggar batas-batas yang dianggap suci maka beliau membenarkan orang seperti Tun Biajit iaitu mangsa Sultan Mahumud, yang bermukah dengan isterinya, `menimang lembing’ dan memarahi sultan. Sultan dilukiskan sebagai mengaku kesalahannya:

Maka segala hamba raja itu hendak gusar. Maka titah baginda, “Jangan kamu sekalian amarah, kerana katanya itu benar. Sebab sedia salah kita padanya, hukumnya patut dibunuhnya oleh dia. Hamba Melayu tidak mau durhaka mengubah setianya, maka demikian itu lakunya.”
(Tun Seri Lanang, 1997:157)

Lukisan tentang Sultan Mahmud yang lama bertakhta itu mempunyai berbagai versi. Namun, Tun Seri Lanang dapat menyampaikan dengan bijaksana dan saksama melalui penilaiannya yang sagat teliti dan kritis. Sultan Mahmud dihukum seperti dalam episod di atas, atau dalam episod Tun Fatimah, yang dibunuh ayahnya dan suaminya, dan dia sendiri dipaksa menjadi isteri kepada sultan. Contohnya dapat dilihat dalam teks yang ditulis oleh Tun Seri Lanang ini.
Ada pun akan Tun Fatimah  terlalu sangat percintaannya akan bapanya. Selama ia diperisteri  oleh Sultan Mahmud Syah, jangankan ia tertawa, tersenyum pun ia tiada penah. Maka baginda turut masyghul, terlalu sangat menyesal diri baginda. Hatta maka Sultan Mahmud Syah pun membuangkan kerajaan baginda. Maka anakanda baginda itu, Sultan Ahmad dirajakan baginda.
                                                           (Tun Seri Lanang: 1997:209)
Cukup jelas di sini bahawa Tun Seri Lanang  mempunyai piawai keadilan yang tinggi, dan piawai budaya yang sama tersohor. Beliau sendiri telah menjadi lambang seorang manusia yang hidup dalam suatu tamadun yang bangga dengan pencapaiannya dan yakin dengan apa yang telah dicapainya. Walaupun manusia harus dinilai perlakuannya tetapi sebagai seorang pengarang, Tun Seri Lanang melihat bahannya dengan daya imaginasi yang amat subur, yang membenarkan, dalam lingkungan tradisinya. Melalui imaginasi beliau ini turut menghasilakan karya yang mempunyai nilai estetik yang tinggi dan indah.
            Tun Seri Lanang juga turut memaparkan cerita yang mempunyai unsur  moral, agama dan berbentuk pedagogi. Maklumat tentang keturunan raja-raja Melayu dan adat istiadat, dan peristiwa-peristiwa penting dalam perjalan kerajaan Melayu Melaka dan jajahannya dicerita dengan teliti oleh beliau. Selain  itu, Tun Seri Lanang juga turut menceritakan kezaliman raja dan golongan bangsawan  dan bagaiman kezaliman raja tersebut dibalas dengan kemusnahan kerajaannya, keangkuhan rajanya juga dibalas dengan kejatuhannya sehingga membinasakan diri sendiri.
            Seluruh sejarah bangsa Melayu ini juga telah dikonsepkan oleh Tun Seri Lanang yang terdiri daripada pelbagai peristiwa dan episod yang menjadi tapak dan petak kepada sejarah Melayu. Berdasarkan cerita-cerita yang dihuraikan dalam Sulalat al-Salatin ini, terdapat beberapa peristiwa yang membawa kepada kesimpulan yang diinginkan iaitu nilai yang diunggulkan, manusia terpilih yang harus dicontohi, kelemahan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan boleh diambil pengajaran melaluinya serta turut diselitkan dengan perihal hubungan antara manusia dengan negeri yang aman dan mempunyai peradaban yang tersendiri.
            Sebagai kesimpulannya, dapat dijelaskan bahawa sastera dan sejarah yang dikarang oleh Tun Seri Lanang ini mempunyai tujuan yang serius dan berat. Beliau bukan sekadar mengarang Sulalat al-Salatin ini atas perintah sultan, namun terdapat sesuatu yang ingin disampaikan oleh pengarang ini sebagai panduan dan pengajaran kepada pembacanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan