1 1. 0
PENDAHULUAN
Pengenalan
Setiap bangsa bertamadun mempunyai
karya agungnya yang tersendiri. Dalam masyarakat Melayu, karya agung yang
terkenal ialah Hikayat HangTuah. Dalam meletakkan kedudukan karya Hikayat Hang
Tuah di sisi kesusasteraan Melayu, ramai pengkaji menimbulkan
berbagai-bagai kontroversi mengenai kedudukan sebenar karya ini. Hikayat Hang
Tuah adalah satu-satunya contoh sastera epik yang ditakrifkan sebagai sastera
epik berunsur kebangsaan atau sastera kepahlawanan berunsur kebangsaan. Hikayat
ini dianggarkan terkarang selewat-lewatnya pada abad ke-17, terkemudian
daripada Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Selain Sulalatus Salatin (Sejarah
Melayu), Hikayat Hang Tuah termaktub sebagai sebuah karya sastera Melayu yang
terindah.
Hikayat
Hang Tuah merupakan karya kesusteraan Melayu tradisional yang dikategori sebagai
karya agung kebangsaan kerana mengemukakan tokoh agung bagi bangsa Melayu.
Watak Hang Tuah memang tidak dinafikan amat disanjung oleh bangsa Melayu
semenjak 500 tahun yang lampau. Karya Agung merupakan sebuah prosa yang tebal
dan panjang. Begitulah juga halnya dengan Hikayat Hang Tuah yang mengandungi
lebih daripada 500 halaman dengsn lebih kurang 146 00 patah perkataan yang
terkandung dalam karya ini. Berdasarkan latar Hikayat Hang Tuah juga menepati
ciri-ciri karya Agung kerana ceritanya bukan sahaja berkisar di Melaka tepati
berkisar di Majapahit, Siam, China, Arab, mesir dan Turki. Menurut Mohd Sharifuddin
dan Mohd Lani (1999) dalam buku Sejarah dan Kritikan Sastera, dalam sastera
Melayu hanya terdapat satu karya Agung sahaja yang mengetengahkan tokoh bangsa
Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah. Gambaran ketokohan Hang Tuah diwarnai
unsur-unsur supernatural untuk
menjadikannya sebuah karya agung dan sekali gus mengangkat martabat bangsa.
Keperwiraannya terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga digambarkan
dapat menewaskan lanun-lanun di pulau dan orang mengamuk di pasar.
1.2 Sinopsis
Hikayat Hang Tuah
Isi
cerita hikayat ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kisah awal,
zaman kegemilangan dan zaman kemerosotan.
i)
Bahagian awal
Kisah
dimulai dengan memperkenalkan asal-usul raja Bentan yang dikatakan berasal
daripada Palembang. Bahagian ini lebih menceritakan tentang kisah Hang Tuah yang
semasa kecil yang dikaitkan dengan zaman awal kerajaan Melayu Melaka.
Kisah Hang Tuah sewaktu kecil, mengenai keluarganya yang
berpindah dari Sungai Duyung ke Bintan. Terdapat juga kisah-kisah Hang Tuah
bersama lima orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan
Hang Lekiu. Sejak berumur 10 tahun lagi Hang Tuah telah menunjukkan kelebihan
dan keberanian yang bersama-sama rakannya berjaya mengalahkan lanun, berusaha pergi
berburu dan berjaya menyelamatkan seorang pembesar negeri daripada amukan orang
mengamuk dengan hanya menggunakan sebilah kapak. Bendahara yang diselamatkan
oleh Hang Tuah amat tertarik dengan sifat-sifat keberanian Hang Tuah itu,
lalu memberitahu Sultan tentang kehebatan Hang Tuah dan sahabatnya. Oleh hal
yang demikian, Hang Tuah telah diambil bertugas di istana. Juga
diceritakan bagaimana Hang Tuah turut melihat peristiwa
ganjil sewaktu Raja Bentan berburu di mana anjing perburuan raja telah
ditendang oleh seekor pelanduk putih. Tempat berlaku kejadian aneh itu
dibuka dan dijadikan sebuah negeri bernama Melaka sempena nama pokok melaka yang
menjadi tempat bersandar sultan ketika raja melihat kejadian tersebut. Selain
itu diceritakan juga mengenai Raja yang telah menghadiahkan sedikit
minuman kepada Hang Tuah dan Bendahara serta turut diberikan persalinan kepada
Hang Tuah.
ii)
Bahagian Kegemilangan
Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dikaitkan dengan
ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah. Hang Tuah memiliki kedudukan tempat yang
paling penting dan teristimewa di istana Melaka. Hang Tuah yang merupakan pahlawan
Melaka memberikan sepenuh taat setia dan patuh kepada segala perintah raja.
Kegagahannya menyebabkan Hang Tuah terkenal sebagai seorang pahlawan Melaka
yang terbilang. Banyak negeri di takhluki dan menjadi tanah jajahan serta
tunduk di bawah kekuasaan raja Melaka. Selain itu diceritakan juga tentang Hang
Tuah yang sebagai pengiring raja yang taat dan berani. Beliau pernah
mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit dan memperolehi keris Taming Sari setelah
mengalahkan seorang hulubalang Majapahit. Hang Tuah berjaya mempertahankan
martabat Raja Melaka, juga menambahkan kedaulatan negeri Melaka di mata negeri
lain. Melaka berjaya mencapai puncak kebesaran dan kekuasaannya hasil daripada
keberanian dan ketokohan Hang Tuah. Sebagai seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya, ramai
musuh-musuh yang cuba menganiayanya namun mereka telah berjaya dibunuh.
Setelah
terserlah kehebatan beliau di mata dunia, Hang Tuah telah mendapat gelaran
Laksamana. Hang Tuah juga dilantik sebagai diplomat dan utusan Melaka ke
luar negeri seperti utusan ke Siam, China, Benua Keling, Rome, Sailan dan
juga ketua angkatan perang. Sifat-sifat Hang Tuah yang
sabar, bijaksana dan warak membawa kejayaan yang cemerlang kepada kerajaan
Melaka dan ini dengan sendirinya menambahkan kebesaran dan kedaulatan
Raja Melaka. Sifat Hang Tuah yang tiada tolok bandingannya ialah ketaatan
kepada rajanya. Sungguhpun sultan telah berlaku tidak adil pada dirinya
dengan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa, akibat fitnah, (Hang Tuah
diselamatkan oleh Bendahara) tetapi apabila dia dipanggil oleh sultan bagi
menghapuskan perbuatan derhaka Hang Jebat, dia bersedia berkhidmat kepada
sultan tanpa menaruh perasaan dendam. Malah dia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri iaitu Hang Jebat, walaupun Jebat
menderhaka kerana membela keadilan atas berita pembunuhan Hang Tuah.
Bagi Hang Tuah, “Pantang Melayu menderhaka kepada rajanya”. Hang Tuah
juga bersedia menjalankan tugas membawa lari anak Bendahara
Pahang iaitu Tun Teja bagi dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Hang Tuah tidak mudah
dikalahkan selagi dia memiliki keris Taming Sari.
iii)
Bahagian akhir
(zaman kemunduran)
Kegemilangan
dan kekuatan Hang Tuah semakin beransur pudar setelah Hang Tuah semakin tua.
Ini dikaitkan juga dengan kemunduran kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Hang
Tuah, kemunduran Melaka kali pertamanya dilambangkan dengan kisah Sultan Melaka
yang telah kehilangan mahkotanya. Mahkota itu adalah tanda kebesaran kerajaan.
Ketika peristiwa itu terjadi, baginda sedang bermain-main di laut Singapura, apabila
Baginda menundukkan kepalanya setelah melihat seekor ikan emas yang dikatakan berada
di bawah perahunya. Ketika itulah mahkota pusaka Bukit Siguntang itu terjatuh
ke dalam laut. Hang Tuah telah menyelam untuk mengambil kembali mahkota
tersebut dan berhasil mengambilnya. Tetapi ketika hampir sampai di perahu,
tiba-tiba datang seekor buaya putih menyambar keris daripada pinggang Hang
Tuah. Mahkota pun terlepas dari tangannya dan keris Taming Sari yang dimiliki
oleh Hang Tuah telah dirampas oleh seekor buaya putih. Sejak itulah Hang Tuag
hilang kekuatan dan kegagahannya. Selepas berlaku peristiwa tersebut ,sultan
amat bersedih. Beberapa lama kemudian, Feringgi datang menyerang Melaka. Sultan
terpaksa berundur dan Hang Tuah meninggalkan kehidupan di dunia dengan hidup bertapa
di gunung.
2.0
ISI PERBINCANGAN
2.1 Analisis Karya Agung Hikayat Hang Tuah
dalam
kajian yang kami lakukan, Hikayat Hang Tuah telah dianalisis berdasarkan tiga
aspek utama iaitu melibatkan konsep kepengarangan, kekuatan kepengarangan dan
motif kepengarangan.
2.2
KONSEP KEPENGARANGAN
Hampir setiap
bangsa di dunia ini mempunyai karya epik atau hikayatnya yang tersendiri.
Jikalau orang India terkenal dengan Ramayana dan Mahabharata, orang Greek
berbangga dengan Iu’ad dan Odyssey, orang Inggeris mengagungkan Beowulf
manakala dalam masyarakat Melayu pula, Hikayat Hang Tuah merupakan antara karya
epik yang menjadi kebanggaan bangsa dan telah diangkat menjadi sebuah Karya
Agung Melayu. Karya Agung Melayu ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu,
tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini dan yang mampu
mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran,
sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu
turun-temurun. Pendek kata, Karya Agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan
bangsa Melayu.
Sebenarnya, jika dikaji tidak dapat
ditentukan bilakah Hikayat Hang Tuah ini ditulis dan siapakah pengarangnya.
Namun ada yang menganggarkan bahawa Hikayat Hang Tuah ini telah ditulis di
antara tahun 1641 dan 1736. Hikayat Hang Tuah tidak ditulis secara menyeluruh
dalam tempoh yang singkat atau dalam masa yang sama. Ini terbukti dengan
penggunaan bahasa dan teknik penyampaian cerita yang tidak sama. Terdapat lebih
kurang 20 versi Hikayat Hang Tuah yang bertulisan tangan telah ditemui kemudian
kumpulkan dan berada di England dan Netherlands. Menurut Sulastin Sutrisno
(1983), kebanyakan naskhah Hikayat Hang Tuah yang ditulis tidak lengkap sebagai
sebuah hikayat dan setakat ini hanya 3 buah edisi sahaja yang lengkap ceritanya
dan telah diterbitkan iaitu Edisi Shellabear,
Edisi Balai Pustaka dan Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka. Edisi Shellabear yang diterbitkan pada tahun
1909 adalah berdasarkan naskhah yang dimiliki oleh Raja Muda Perak iaitu Raja
Abdul Jalil, putera Sultan Idris. Edisi Balai Pustaka yang diterbitkan pada
1966 pula berdasarkan naskhah kepunyaan Koninklijik
Bataviaasch Genootschap yang ditulis dalam tulisan Jawi. Manakala penulisan
Hikayat Hang Tuah Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka yang diterbitkan pada tahun
1964 oleh Kassim Ahmad pula adalah berdasarkan kepada naskhah yang pada asalnya
dimiliki oleh Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Tengku Muhammad atau Tengku Seri
Utama Raja yang merupakan anggota kerabat Diraja Kelantan.
Hikayat Hang
Tuah ini merupakan sebuah hasil karya sastera Melayu lama yang unggul. Hikayat
Hang Tuah mengandungi banyak ciri-ciri sastera antaranya mitos, unsur epik,
firasat dan sebagainya. Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang
lahir pada zaman kegemilangan masyarakat Melayu tradisional. Kisahnya mencakupi
segala pesanan dan gagasan yang harus direnung dan dicerna oleh bangsa Melayu
di zaman moden ini khususnya seperti ungkapan semangat Melayu “Takkan Melayu
hilang di dunia”.
Pelbagai konsep
yang telah dicerapkan oleh penulis di dalam Hikayat Hang Tuah ini antaranya
dari aspek bentuk. Sastera rakyat Melayu dapat dibahagikan kepada dua bentuk.
Pertama, berbentuk cerita iaitu kisah atau naratif. Kedua pula berbentuk bukan
cerita iaitu bukan kisah atau bukan naratif. Sastera rakyat Melayu berbentuk
cerita disebut juga cerita rakyat atau cerita lisan, terdiri daripada beberapa
jenis cerita, antaranya cerita lipur lara, cerita teladan, cerita binatang,
cerita jenaka, mitos, lagenda dan hikayat. Sastera rakyat berbentuk bukan
cerita pula sebahagian besarnya berupa puisi seperti ungkapan rakyat, nyanyian
rakyat, ungkapan adat, teka-teki, pantun dan gurindam. Dalam kelompok sastera
rakyat berbentuk cerita, mitos, lagenda dan hikayat berbeza daripada
cerita-cerita lipur lara, teladan, binatang dan jenaka. Perbezaan ini dapat
ditinjau dari sudut kepercayaan, latar masa, latar tempat, sifat dan pelaku
utama. Hikayat Hang Tuah merupakan sastera tulisan yang berbentuk cerita atau
naratif.
Konsep yang
kedua pula ialah tulisan. Kedatangan Islam telah membawa perubahan yang amat
ketara terhadap masyarakat Melayu ketika itu. Perubahan bukan sahaja dari aspek
tauhid dan akidah malahan sistem tulisan masyarakat Melayu ketika itu turut
berubah. Sebagaimana yang diketahui tulisan Jawi adalah berasal dari tulisan
Arab. Pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab telah menerapkan sistem
tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Tujuan utama mereka melakukan usaha sedemikian
adalah bagi memudahkan proses pembacaan. Bagi memudahkan ejaan, tanda baris
atas dan bawah tulisan tersebut telah dimansuhkan. Tulisan atau aksara dalam hikayat ini dipinjam daripada bahasa Arab.
Kemudian ditambah dengan huruf-huruf baharu. Sistem ejaan yang digunakan dalam
Hikayat Hang Tuah ini merupakan sistem ejaan Jawi. Penggunaan huruf Jawi atau
tulisan Arab ini dapat dilihat dengan jelas sekali menerusi perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” dan “wabihinastainubihi” yang kerap kali
digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah. Perkataan tersebut telah ditulis dengan
menggunakan huruf Jawi.
Konsep yang ketiga pula ialah konsep bahasa
asing yang digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah banyak
menerima unsur-unsur bahasa asing antaranya hikayat tersebut menerima pengaruh
bahasa Arab, Portugis, Jawa dan Sanskrit. Contoh perkataan yang menerima unsur
pengaruh bahasa Arab yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah ialah firasat, hatta, mukah, shahadan,
al-kesah, kaus,ikrar, dan
wasiat.
Seterusnya, contoh perkataan yang
menerima unsur pengaruh bahasa Portugis yang terdapat di dalam Hikayat Hang
Tuah ialah lanchao yang bermakna sejenis perahu layar yang laju, armada
pula bermaksud angkatan laut yang terdiri daripada kapal-kapal perang, gebernador yang bermaksud gabenor, seridadu
yang bermaksud soldadu dan perkataan di-mitar-nya
yang bermaksud ditujunya.
Selain itu,
Hikayat Hang Tuah juga menerima unsur pengaruh bahasa Jawa. Contoh
perkataan yang terdapat di dalam hikayat ini ialah perajurit yang membawa maksud pejuang atau askar upahan, pateh iaitu penasihat utama kepada
raja, rama andika iaitu ayah
tuanku, menira bermaksud saya, paman iaitu bapa saudara sebelah emak
atau dibahasakan juga kepada orang-orang lebih tua, kedayaan bererti ‘pengiring’ dan lawang membawa maksud ‘pintu luar’ dan lain-lain lagi.
Kemudian, Hikayat Hang Tuah turut
menerima unsur pengaruh bahasa Sanskrit. Antara contoh perkataan Sanskrit yang
terdapat di dalam hikayat ini ialah mahkota,
singgahsana, pustaka, duta, dirgahayu, dan lain-lain lagi. Jika dikaji secara
teliti, penggunaan kata gelaran “Laksamana” banyak digunakan di dalam penulisan
hikayat. Gelaran “Laksamana” yang dianugerahkan kepada Hang Tuah dipercayai
berasal dari perkataan Sanskrit yang bermaksud tanda atau markah keutamaan.
Gelaran Laksamana diberikan kepada Hang Tuah yang merupakan lambang kesetiaan
dan ketaatan yang sepenuhnya terhadap raja-raja.
Konsep yang keempat pula ialah
pengulangan kata. Gaya
bahasa melibatkan cara dan gaya seseorang pengarang menyampaikan buah fikiran dan
pandangannya sendiri melalui hasil karyanya. Gaya bahasa yang baik melibatkan banyak
penggunaan perbendaharaan kata. Menerusi penelitian terhadap Hikayat Hang Tuah,
pengulangan perkataan-perkataan tertentu banyak didapati di dalam hikayat ini.
Sebagai sebuah hasil karya klasik dan agung, gaya bahasa pengulangan adalah
perkara yang lazim didapati. Perkataan-perkataan yang sering kali digunakan
secara berulang-ulang di dalam Hikayat Hang Tuah adalah setelah, alkisah, hatta,
maka, sebermula, arakian, syahadan dan sekalian.
Konsep yang kelima pula ialah
penggunaan kosa kata klasik. Selain dari konsep-konsep yang telah dibincangkan,
Hikayat Hang Tuah juga dilihat sering kali menggunakan kosa kata klasik yang
berasal dari Arab, Jawa, Siam, Sanskrit dan lain-lain lagi. Antara contoh kosa
kata klasik yang dimaksudkan adalah seperti ratna mutu manikam, edan kesmaran,
sahaya, masygul dan lain-lain lagi. Jadual dibawah menunjukkan antara contoh
kosa kata klasik yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah beserta terjemahannya
yang dilakukan dalam bahasa Melayu Moden.
Jadual 1: Penggunaan Kosa Kata Klasik
Dalam Hikayat Hang Tuah
Kosa
Kata Klasik
|
Asal
|
Terjemahan
Ke Dalam
bahasa
Melayu Moden
|
aviad
adika
amum
anak
bingkis
arkian
andalan
bajuzirah
berpelik
bersuaka
bertandak
|
Arab
Kawi
Siam
Sanskrit
|
putih
Tuanku
Pangkat
bagi golongan
bangsawan
barang
pemberian
sesudah
itu
cagaran
baju
besi
bersubang
kecil
berlindung
|
Berdasarkan
jadual di atas, jelas memperlihatkan perbezaan perkataan dan sebutan bagi kosa
kata klasik dengan kosa kata terjemahan yang dilakukan ke dalam bahasa Melayu
Moden. Walaupun mempunyai maksud yang sama, akan tetapi perkataan tersebut
disebutkan dengan dua cara yang berbeza.
2.3 KEKUATAN PENGARANGAN
Kekuatan kepengarangan yang terdapat dalam Hikayat
Hang Tuah ini adalah berdasarkan tema dan persolan yang cuba ditonjolkan oleh
pengarangnya kepada masyarakat. Tema dan persoalan yang menarik akan menjadikan
sesuatu karya itu diangkat untuk menjadi sebuah karya yang agung. Hikayat Hang
Tuah tergolong dalam sastera epik yang ditulis untuk mengagung-agungkan tokohnya
iaitu Hang Tuah yang muncul pada zaman kerajaan Melayu tradisional. Hang Tuah
merupakan watak yang digambarkan sebagai seorang yang hebat kerana menjadi
keagungan bangsa, agama dan negara. Hang
Tuah juga turut menjadi lambang kekuatan dan kemegahan bangsa Melayu. Keagungan
Hang Tuah menjadi kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah kerana ketokohan Hang Tuah
boleh dijadikan contoh untuk rakyat berkongsi tokoh yang sama untuk dijadikan
ikutan dan dapat menaikkan semangat bagi penyatuan bangsa.
Hang
Tuah juga merupakan tokoh yang berbangsa Melayu yang diwarnai dengan
supernatural untuk menjadikannya agung dan sekali gus dapat mengangkat martabat
bangsa. Keperwiraan Hang Tuah ini terserlah semenjak beliau masih kecil lagi
sehingga digambarkan dapat menewaskan lanun-lanun di pulau dan orang mengamuk
di pasar. Hang Tuah juga memiliki pelbagai hikmat seperti tidak mabuk meminum
arak, boleh menguasai dua belas bahasa dan dapat bertemu dengan nabi Khidzir. Kebangunan,
kebesaran dan kejatuhan Melaka adalah berhubung rapat dengan ketokohan Hang
Tuah.
Ketika
Hang Tuah masih kecil, kerajaan Melaka baru didirikan dan apabila Hang Tuah besar
pula, beliaulah yang menjadi orang kanan bersama Bendahara. Manakala di dalam
urusan pentadbiran dan urusan keselamatan dalam negeri, suara Hang Tuah menjadi
suara muktamad yang bermaksud segala keputusan yang dikatakan oleh Hang Tuah
akan disetujui oleh raja. Apabila Hang Tuah jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis
dan terus kalah apabila beliau berundur dari perkhidmatan negara. Hal ini
menjadikan Hang Tuah sebagai lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Ketokohan dan keperwiraan Hang Tuah yang ditonjolkan
oleh pengarang inilah yang menjadi kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah disamping
tema dan persoalan lain yang cuba dibangkitkan oleh pengarangnya untuk
menyerlahkan lagi kekuatan kepengarangan dalam Hikayat Hang Tuah.
2.3.1 Tema Hikayat
Hang Tuah
Tema merupakan suatu teknik yang amat penting dalam
sesebuah karya kerana temalah yang menjadi pokok cerita kepada sesebuah karya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008) pula, tema ialah sebjek yang menjadi
dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita dan sebagainya. Tema juga
merupakan tajuk atau pokok utama sesebuah cerita. Dalam Hikayat Hang Tuah, tema
yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya ialah tema berkenaan dengan ketaatan
atau kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya.
Ketaatan Hang Tuah dapat dilihat dengan banyaknya
dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah merupakan seorang hamba yang perlu mempunyai
raja untuk mengabdikan kesetiaan dan ketaatannya. Oleh itu, kata taat yang
menjadi tema dalam hikayat ini telah menjadi landasan bagi Hang Tuah dalam
melakukan segala tindakan terhadap rajanya. Dalam erti kata yang lain, teks
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah teks yang menceritakan ketaatan seorang
hamba kepada rajanya. Sifat taat yang terdapat dalam diri Hang Tuah ini
menjadikan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk rajanya.
Sebagai contoh, Hang Tuah sanggup terjun ke telaga
tahi untuk menyelamatkan kuda anak raja. Dia juga sanggup masuk ke dalam kubur
supaya dapat menceritakan kepada raja bagaimana pengalaman seseorang yang
dikebumikan. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang Jebat iaitu sahabatnya
sendiri sedangkan Hang Jebat melawan raja adalah untuk menuntut bela atas
tindakan raja yang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Selain itu, Hang Tuah turut sanggup bertarung nyawanya dan melakukan
sesuatu yang tidak rasional dengan melarikan Tun Teja ke negeri Melaka hanya untuk
menunjukkan kesetiaannya terhadap raja Melaka.
2.3.2 Persoalan
Selain
tema, persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi
sesuatu kepengarangan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan
ialah sesuatu yang dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan
juga merupakan pembicaraan, perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan
dalam sesebuah karya. Terdapat banyak persoalan yang cuba diketengahkan oleh
pengarang dalam Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan persoalan-peroalan inilah yang
akan menjadi kekuatan untuk mengangkat sesuatu karya itu menjadi karya yang
agung.
Sesebuah
karya sastera akan dibina berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada
episod kehidupan dan kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan
menjalinkan persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa
yang berkesimnambungan antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk
sebuah karya yang mantap. Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang
Tuah ini tidak terlepas daripada memaparkan persoalan-persoalan yang dipetik
daripada konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu tradisional.
Persoalan-persoalan inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.
Antara
persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah
persoalan tentang keberanian atau kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang
Tuah dapat dilihat berdasarkan sikap dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai
sifat-sifat keperwiraan Melayu silam seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu
mempertahankan diri bagi menewaskan musuh. Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat
dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini kerana beliau telah mengalahkan
lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir,
Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama
kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan
Bendahara Paduka Raja. Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik
sebagai Biduanda Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian
mereka berlima sedangkan segala pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara
lari melihat orang mengamuk. Keberanian Hang Tuah dan sahabatnya jelas
dinyatakan seperti yang terdapat di dalam teks berikut:
“Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan
menyalahkan tikaman orang itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka
melompat Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya seorang: itu pun rebah lalu
mati”.
(
HHT,1997:37 )
Selain itu, persoalan tentang kebijaksanaan
juga menjadi persoalan penting yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang
Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang bijaksana dalam melakukan
sesuatu tindakan. Sifat kebijaksanaan yang ada pada diri beliau ini juga menyebabkan
raja Melaka semakin menyayanginya. Hang Tuah sememangnya seorang pahlawan yang
bijaksana, setiap tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang
tersendiri. Hang Tuah bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga
bijak dalam melakukan helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan.
Hang Tuah juga dikatakan bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang
dipelajarinya sejak kecil lagi. Antaranya adalah Bahasa Arab, Bahasa Keling, Bahasa Siam,
Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.
… Telah berapa lamanya Hang Tuah
mengaji Qur’an, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu
pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya, “Ayo
bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba
tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku
itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta,
beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah
diketahuinya. Maka Hnag Tuah pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai
Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan
bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina.
Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa Cina itu. Maka
Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa
itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka
Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya…
(
HHT, 1997: 24 )
Seterusnya, persoalan tentang ketangkasan. Kejayaan Hang Tuah
sebagai pehlawan Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau bermain senjata.
Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan Hang Tuah sebagai seorang yang
tangkas. Anataranya peristiwa ketika beliau yang hanya seorang
diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar.
Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu.
Pada mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah
menemui satu lorong yang hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar
lorong itu diperbuat daripada batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk
bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara
beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala
penjurit-penjurit tersebut. Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat
digambarkan petikan teks tersebut:
Setelah sudah Laksamana ke sungai, maka
penjurit empat puluh itu pun datang ke kiri kanan Laksamana, seraya
berkata, “Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati.
Jangan lagi beri lepas.” Maka penjurit itu pun berbahagi empat, sepuluh
hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri, sepuluh dari belakang, lalu
ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka ditangkis oleh
Laksamana dengan sarung keris itu seraya dihunusnya keris
panjangnya seraya tertinggung ke sungai. Maka ditangkiskan oleh Laksamana
tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada mengena Laksamana.
(
HHT, 1997: 281 )
2.3.3 Pengajaran
Kekuatan
kepengarangan Hikayat Hang Tuah juga dapat dilihat melalui pengajaran yang
terdapat dalam hikayat ini. Pengajaran ini boleh dijadikan pedoman kepada
masyarakat untuk melakukan sesuatu yang baik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2008), pengajaran ialah perihal mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan
dengan mengajar. Pengajaran juga membawa makna peringatan atau pedoman. Dalam
Hikayat Hang Tuah terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil untuk dijadikan
pedoman. Antaranya seperti petikan teks ini:
Maka setelah lagi orang mengamuk enam
puluh itu mengamuk segala orang Majapatit, mana yang terlintang itu dibunuhnya.
Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah, orang mengamuk itu
datang pula- segala orang yang memalu bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun
habis lari cerai-berai, segala bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis
ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekik,
katanya, “ ceh, barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan
tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak itu.”
(
HHT, 1997: 205 )
Petikan
ini mengajar kita supaya sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan
terutamanya dalam hubungan sesama manusia. Kadang-kala terdapat manusia yang
sengaja merancang sesuatu tindakan untuk menguji keutuhan sesebuah negara.
Pihak perancang ingin melihat tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak
apabila mereka melaksanakan sesuatu perancangan. Hal ini dapat dilihat
berdasarkan peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk melihat
sejauh mana keutuhan dan keharmonian golongan masyarakat Majapahit.
Selain
itu, kita juga hendaklah bersama-sama menunjukkan sikap kekitaan, kebersamaan,
dan keberanian untuk menghadapi ancaman daripada orang lain. Kita juga perlu
mengelakkan diri daripada lari apabila berhadapan dengan sesuatu masalah kerana
pengunduran seseorang akan memberi kesan kepada individu lain yang akan turut
menjejaki tindakan tersebut. Hal ini akan mendatangkan kesan seperti kekalahan
dalam pertempuran dan akan memusnahkan tanah air dan bangsa sendiri. Oleh itu,
sikap Hang Tuah yang merah apabila orang-orang Majapahit melarikan diri
daripada orang mengamuk menunjukkan bahawa Hang Tuah tidak mahu orang-orang
Majapahit menunjukkan sikap yang negetif kepada pihak musuh.
Tuntasnya,
berdasarkan tema dan persoalan yang ditonjolkan oleh pengarang boleh menjadikan
karya Hikayat Hang Tuah ini menjadi karya yang agung kerana hikayat ini
mempunyai kekuatan kepengarangan yang tersendiri berbanding karya-karya sastera
tradisional yang lain. Hikayat ini merupakan hikayat yang mengangkat bangsa
Melayu sebagai bangsa yang kuat dan berani berdasarkan watak utamanya iaitu
Hang Tuah. Tema dan persoalan yang dibincangkan juga banyak menekankan tentang
kehebatan wataknya yang menjadi cerminan bagi masyarakat Melayu. Selain itu,
pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini juga turut menjadikan Hikayat Hang
Tuah ini menjadi sebuah hikayat yang agung. Pengajaran ini juga menjadi pedoman
kedapa masyarakat dan menjadi antara kekuatan yang terdapat dalam karya.
2.4
MOTIF PENGARANGAN
Dalam
Hikayat Hang Tuah, pengarang memperlihatkan wira agung Melayu iaitu Hang Tuah
yang mempunyai cirri kehebatan sebagai seorang wira pada zaman kesultanan
Melayu. Watak Hang Tuah ialah simbol kesetiaan orang Melayu kepada Rajanya.
Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melaka menjadi pahlawan Melaka yang mempunyai
sifat-sifat kepahlawanan yang luar biasa dan mengagumkan. Pahlawan Hang Tuah
ini menjadi tokoh lagenda yang gemilang dari segi perjalanan hidup dan
pencapaiannya serta amat disanjung oleh orang Melayu. Peranan Hang Tuah juga
dilihat sebagai lambang semangat orang Melayu pada ketika itu.
Selain sifat kesetiaan dan
kepahlawanan, Hikayat Hang Tuah ini juga terdapat sifat kasih dan sayang antara
sahabat yang boleh dijadikan pedoman dan tauladan kepada masyarakat. Selain
itu, pengarang memaparkan sikap orang Melayu itu sendiri yang pada zaman dahulu
sehingga kini sering fitnah menfitnah selain kuat dengan perasaan hasad dengki.
Motif kepengarangan akan dilihat dalam beberapa peristiwa penting dalam Hikayat
Hang Tuah ini. Peristiwa pertama adalah mengenai Hang Tuah dalam buangan di
Inderapura, kemudian kami mengupas pula mengenai perkahwinan Sultan Melaka
dengan Tun Teja, dan akhir sekali kami mengupas pula mengenai pertarungan Hang
Tuah dan Hang Jebat.
2.4.1 Hang
Tuah dalam buangan di Inderapura (Bab 9)
Bab ini
menceritakan tentang sifat hasad dengki dan khianat pembesar-pembesar negeri
Melaka terhadap Hang Tuah. Pembesar negeri Melaka telah membuat fitnah yang
menyebabkan Hang Tuah dibuang ke Inderapura. Keadaan ini berlaku akibat Hang
Tuah terlalu disayangi oleh Raja Melaka sejak kembali dari Majapahit. Antara
peristiwa-peristiwa yang membawa kepada berlakunya pembuangan Hang Tuah ke
Inderapura ialah pembesar-pembesar Melaka telah bermesyuarat diketuai oleh
Patih Kerma Wijaya untuk membuat fitnah ke atas Hang Tuah supaya Hang Tuah
dijatuhkan hukuman oleh Raja Melaka. Hasilnya Patih Kerma Wijaya memberitahu
Raja Melaka bahawa Hang Tuah telah bermukah dengan dayang istana. Tanpa
usul periksa dan perasaan marah, Raja Melaka menjatuhkan hukuman bunuh ke atas
Hang Tuah dan menitahkan Bendahara Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah.
Bendahara Paduka Raja yang
mengetahui perkara sebenarnya tidak sempat untuk menyatakan kepada Raja Melaka.
Bendahara Paduka Raja menasihatkan Hang Tuah untuk lari ke Inderapura dan
memperhambakan dirinya kepada Bendahara Seri Buana. Di Inderapura, Hang Tuah
memberitahu bahawa dirinya telah difitnah berlaku curang dengan dayang istana.
Hang Tuah diterima oleh Bendahara Seri Buana dan ditempatkan di kampung
Bendahara Seri Buana.
Hang Tuah telah menjadi anak angkat
Dang Ratna iaitu inang Tun Teja yang paling tua. Kebetulan pula Dang Ratna
tidak mempunyai anak. Oleh sebab budi pekerti Hang Tuah yang baik, dia
disayangi oleh Dang Ratna sehingga menyebabkan Hang Tuah menjadi buah mulut
inang-inang lain seperti Dang Rani, Intan Baiduri, Dang Merdu, Dang Senja dan
Cendera Midani. Semasa bermain sepak raga bersama Tun Jenal iaitu anak
Bendahara Seri Buana, Tun Karim dan Tun Megat, Hang Tuah telah
menunjukkan kepandaiannya bermain sepak raga. Tun Jenal menjemput Hang Tuah
untuk datang kerumahnya. Di rumah Tun Jenal diadakan majlis menyambut
kedatangan Hang Tuah. Hang Tuah ingin melihat tarian dan mendengar nyanyian
Inderapura lalu Tun Jenal menjemput biduanda Tun Teja seperti Dang Merdu, Dang
Kemala, Dang Warna, Dang Senja dan Intan Baiduri untuk menari. Suara dan lemah
lembut tarian Hang Tuah sungguh mengkagumkan mereka.
Selepas itu, Hang Tuah dipujuk oleh
Raja Inderapura untuk menetap di Inderapura. Hang Tuah berkawan dengan Tun
Jenal dan anak pembesar-pembesar di Inderapura. Di Inderapura, Hang Tuah menceritakan
pengalaman-pengalamannya semasa berada di Majapahit bersama-sama dengan Raja
Melaka. Hang Tuah menceritakan tipu muslihat Betara Majapahit dan Patih Gajah
Mada yang ingin membunuhnya. Hang Tuah menghadiahkan kain Melaka kepada Tun
Teja iaitu puteri Bendahara Seri Buana yang menjadi tunangan Megat Panji Alam
Terengganu. Oleh sebab terlalu suka mendapat kain daripada Hang Tuah, Tun Teja
menjemput Hang Tuah makan di istananya. Tun Teja mula jatuh hati kepada Hang
Tuah sehingga bermimpi. Mimpi Tun Teja itu disampaikan kepada Hang Tuah melalui
Dang Ratna.
2.4.2 Melarikan
Tun Teja (Bab 10)
“Lihatlah si tua celaka ini! Pada
bicaraku, tua jadi penawar, ini tua menjadi racun! Benarkah engkau berani
brkata-kata demikian? Ini bukan kata kau katakan padaku. Orang tua demikian
patut digocoh mulutnya dengan tempurung berbulu! Bukan barang-barang kata
dikatakan. Hendak membunuh kita pula, si hancur lebur ini! Pada bicaranya, kita
mahu akan Tun Tuah itu? Sedang Raja Melaka itu Tuanku hendak akan kita, kita
tidak mahu, ini pula hambanya. Seperkara pula, kita pun sudah bertunangan;
bukan ia tidak tahu. Sahaja ia ini berani.”
(Halaman : 230 – 231)
Bab ini
mengisahkan tentang Hang Tuah berusaha kembali ke Melaka dan memperhambakan
dirinya kepada Raja Melaka agar kesalahannya diampunkan. Oleh sebab Raja Melaka
ingin beristerikan Tun Teja, maka Hang Tuah berusaha membawa Tun Teja ke Melaka
untuk dipersembahkan kepada Raja Melaka. Pada mulanya, Hang Tuah berpura-pura
cintakan Tun Teja dan menyuruh ibu angkatya, Dang Ratna iaitu inang tua Tun
Teja menyampaikan hasratnya tersebut kepada Tun Teja. Pada mulanya Dang Ratna
tidak berani menyatakan hasrat Hang Tuah tersebut. Akan tetapi kerana
kasihankan kepada Hang Tuah, Dang Ratna sanggup menyampaikan hasrat hati Hang
Tuah kepada Tun Teja.
Tun Teja berasa amat marah kepada
Dang Ratna tatkala Dang Ratna menyampaikan hasrat Hang Tuah kerana kedudukannya
tidak setaraf. Dang Ratna digocoh dengan tempurung bebulu menyebabkan muka dan
mulutnya berdarah. Dang Ratna memberitahu Hang Tuah perkara yang sebenarnya.
Keadaan ini menimbulkan kemarahan Hang Tuah yang menyebabkan Hang Tuah berusaha
menghapuskan arang (malu) di muka Dang Ratna. Hang Tuah telah membuat ubat
guna-guna untuk dilumurkan kepada Tun Teja supaya Tun Teja tergila-gilakannya.
Ubat guna-guna itu diberikan kepada Dang Ratna untuk dilumurkan kepada Tun
Teja.
Dengan hati yang cekal dan ingin
membalas dendam atas perbuatan Tun Teja terhadap dirinya, Dang Ratna melumurkan
ubat guna-guna pada badan Tun Teja. Akibat daripada kesan ubat guna-guna itu,
Tun Teja mula mencintai Hang Tuah. Tun Teja memberitahu Dang Ratna supaya
menyekat Hang Tuah yang berpura-pura hendak kembali ke Melaka kerana Tun Teja
ingin bertemu dengannya. Tun Teja diiringi oleh dayang-dayang menyamar keluar
dari istana ke rumah Dang Ratna untuk bertemu dengan Hang Tuah. dalam pertemuan
itu, masing-masing mencurahkan isi hatinya. Dari sinilah lahirnya cinta suci
Hang Tuah terhadap Tun Teja. Tetapi disebabkan niatnya untuk membawa Tun Teja
kepada Raja Melaka, akhirnya timbul konflik dalam diri Hang Tuah. Bagi
diri Hng Tuah tiada raja lain di dunia yang diperhambakan selain daripada Raja
Melaka.
Keinginan Hang Tuah untuk melarikan
Tun Teja ke Melaka telah diterima oleh Tun Teja. Hal ini terjadi kerana Tun
Teja ingin melarikan diri dari dikahwinkan denga Megat Panji Alam Terengganu.
Tatkala Hang Tuah berusaha untuk melarikan Tun Teja ke Melaka, Hang Tuah
bertemu dengan Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura yang singgah di Inderapura.
Hang Tuah menceritakan perihal dirinya yang difitnah dan usahanya untuk membawa
Tun Teja ke Melaka untuk Raja Melaka. Dengan bantuan Tun Ratna Diraja dan Tun
Bija Sura, Hang Tuah telah berjaya melarikan Tun Teja bersama-sama dengan Dang
Ratna ke Melaka. Bendahara Seri Buana menghantar angkatan perang di bawah
pimpinan Seri Maharaja Lela, Tun Jena dan Tun Pekerma untuk menyerang Hng Tuah
yang berlabuh di Pulau Tinggi. Tetapi angkatan itu telah dapat dikalahkan oleh
Hang Tuah dengan bantuan Tun Bija Sura dan Tun Rana Diraja.
Semasa Melaka menyambut rombongan,
yang membawa gajah dari siam, Raja Melaka terpandang Hang Tuah di dalam perahu
tersebut. Di sini Raja Melaka mulai menyesal dengan tindakannya. Hang Tuah
memberitahu bahawa dia menetap di Inderapura dan tidak akan bertuan selain
daripada Raja Melaka dan memberitahu bahawa dia membawa Tun Teja dari
Inderapura yang menjadi idaman Raja Melaka. Raja Melaka terlalu sukacita dan
menghadiahkan sepersalinan kepada Hang Tuah seperti Raja Melaka sendiri yang
mengenakan pakaian kepada Hang Tuah. Raja Melaka memerintahkan Bendahara Paduka
Raja membuat persiapan kedatangan Tun Teja.
Sekali lagi Hang Tuah menghadapi
dilemma dan konflik kerana Tun Teja tidak mahu berkahwin dengan Raja Melaka.
Hatinya adalah untuk Hang Tuah dan kedatangannya ke Melaka sebab ingin
bersama-sama dengan Hang Tuah. Oleh kerana cintanya terhadap Hang Tuah, Tun
Teja sanggup memakan ubat pembenci yang dibuat oleh Hang Tuah agar hatinya akan
membenci Hang Tuah . Akhirnya, Tun Teja telah dikahwinkan dengan Raja Melaka.
Maka jelaslah disini menunjukkan
bahawa pengarang ingin menunjukkan kesetiaan dan ketaatan Hang Tuah kepada Raja
Melaka sehingga sanggup membahayakan diri dan memberikan cintanya kepada
Tuanku. Sebagai hamba rakyat, masyarakat dahulu seharusnya taat setia kepada
pemerintah dan jika tidak akan dianggap derhaka dan akan ditimpa tulah.
Pengajarannya kepada masyarakat pada hari ini ialah, sebagai rakyat biasa kita
seharusnya menghormati dan mentaati pemerintah atau ketua negara yang menjadi
lambang kemegahan orang Melayu.
2.4.3 Hang
Tuah Bertikam dengan Hang Jebat (Bab 17)
Maka Laksamana pun bermain keris
panjangnya dua tiga lompat dirasainya tubuhnya tiada seperti dahulu, tiada
memegang keris dan pedang. Maka Laksamana pun berurut lima hari lima malam.
Maka laksamana pun dibawa oleh Bendahara menghadap Raja. Maka titah Baginda,
‘Dapatkah kekasihku membunuh Si Jebat demikian itu?’ Maka sembah
Laksamana, ‘Daulat Tuanku, patik mohonkan ampun, patik pohonkan keris pandak
patik supaya patik pergi membuangkan Si Jebat derhaka itu.’ Maka titah raja,
‘Ayu laksamana, keris itu sudah kita berikan Si Jebat derhaka itu.’. ‘Wah,
sayangnya keris itu beroleh akan Si Jebat. Siapatah dapat berhadapan
dengan dia?’
(Halaman 375-376)
Dalam bab
ini, pengarang menceritakan kepahlawanan Laksamana Tun Tuah yang bersedia
melaksanakan tugas untuk membunuh Paduka Raja Tun Jebat sehingga Raja Melaka
menganugerahkan keris Parung Sari, iaitu keris kerajaan Melaka yang diwarisi
daripada ayahanda baginda di Bukit Siguntang. Dalam pertarungan dengan Paduka
Raja Tun Jebat, Laksamana Tun Tuah telah berjaya mendapatkan semula keris
Taming Sari dari tangan Paduka Raja Tun Jebat melalui tipu helah Laksaman
Laksamana Tun Tuah . Setelah itu, Laksamana Tun Tuah berjaya menikam Paduka
Raja Tun Jebat tetapi tidak menemui ajal dan mengakibatkan Paduka Raja Tun
Jebat yang cedera parah itu lari dan mengamuk di sekitar Kota Melaka dan telah
membunuh ramai orang yang tidak berdosa. Paduka Raja Tun Jebat akhirnya berjaya
menemui Laksamana Tun Tuah dan Paduka Raja Tun Jebat mati di ribaan Laksamana
Tun Tuah. Sebalum meninggal dunia Paduka Raja Tun Jebat sempat berpesan supaya
Laksamana Tun Tuah memelihara anaknya yang akan dilahirkan oleh Dang Baru.
Selepas kematian Paduka Raja Tun
Jebat, istana Melaka yang baru telah dibina. Mayat Paduka Raja Tun Jebat pula
digantung selama tujuh hari di tengah-tengah jalan raya untuk menjadi suatu
pengajaran kepada orang lain. Tidak lama kemudian, Dang Baru pun melahirkan
seorang anak lelaki yang bernama Hang Kadim, seperti yang telah dijanjikan oleh
Laksamana Tun Tuah Tun Tuah, Hang Kadim telah dihantarnya ke Inderapura dan dipelihara
oleh Bendahara Seri Buana iaitu ayahnda Tun Teja.
Antara motif dan pengajaran yang
dalam diambil dalam bab 17 ini ialah keakraban talian persahabatan antara Hang
Jebat dan Hang Tuah, dimana Hang Jebat berasa amat marah dengan Raja Melaka
kerana menghukum sahabatnya tanpa usul periksa. Namun, kesetiaan Hang Tuah kepada
Raja menyebabkan Hang Tuah sanggup membunuh rakannya sendiri. Pengarang ini
menunjukkan bahawa tuduhan melulu tanpa usul periksa akan menyebabkan kerugian
dan penyesalan yang panjang.
3.0 ANALISIS
KESELURUHAN KARYA AGUNG HIKAYAT HANG TUAH
Berdasarkan
kajian yang dilakukan oleh kami, dapat dianalisiskan bahawa karya agung Hikayat
Hang Tuah telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan bahasa dan
peradaban bangsa Melayu. Profesor Mohd Taib Osman
telah mengklasifikasikan bahawa karya agung Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah
epik Melayu kebangsaan yang asli yang terbesar kerana karya agung ini
menggambarkan tentang perjuangan dan tindak tanduk seorang hero kebangsaan dalam
sejarah perkembangan bangsa Melayu. Pengarang telah mengangkat watak Hang Tuah untuk dijadikan
sebagai lambang kemegahan negeri Melaka pada ketika itu dan menjadi sumber inspirasi
dankebanggaan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad, hikayat ini telah menerangkan
tentang sikap hidup bangsa Melayu sebelum kedatangan pengaruh peradaban Barat.
Pertama kalinya pembaca Eropah mendapat tahu tentang Hikayat Hang Tuah
daripada mubaligh Belanda Francois Valentijn Oud en Nieuw Oost-Indie yang
terbit pada tahun 1726. Dalam buku itu, pengarang menyifatkan hikayat
tersebut sebagai “Intan yang jarang terdapat” dan merupakan sebuah karya agung
Melayu yang paling indah.
Hikayat
hang Tuah merupakan sebuah epos wira dalam bentuk bertulis yang diserap
semangat kebangsaan sedalam-dalamnya. Hooykaas telah menyifatkan Hikayat Hang Tuah
sebagai “Malay Legendary Novel” yang mempunyai
unsur-unsur sejarah. Hikayat Hang Tuah menyalurkan mesej bagi menanamkan rasa taat setia rakyat terhadap raja
dan Negara, dan menggalakkan rakyat berasa bangga terhadap negaranya.
Dia sentiasa berusaha menjaga maruah bangsa, meninggikan martabat raja
dan Negara dan mempertahankan kedaulatan raja dan
negaranya. Hang Tuah seorang pahlawan yang gagah perkasa, dan kepahlawanan Hang Tuah
menjadi inspirasi dan semangat perjuangan kepada bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah menjadi
sebuah teks pahlawan bangsa yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu.
Kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” masih menjadi slogan yang
keramat dalam meniupkan semangat perjuangan orang Melayu. “Pantang Melayu
menderhaka kepada tuannya” menjadi pegangan bangsa Melayu untuk terus
menumpahkan kesetiaan pada raja dan Negara.
Watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah bertindak dilatari seluruh dunia Melayu yang
dipandang mereka sebagai ‘Tanah Melayu’ yang tunggal serta ‘negeri-negeri
asing’ iaitu Majapahit, Wijayanagar, China, Turki dan Siam. Karangan itu sarat
dengan butir-butir yang mencerminkan keperibadian hidup sehari-hari
di kota dan istana dengan tepat seperti upacara
perkahwinan dan pertabalan sultan, majlis jamuan diraja dan cara menyambut duta
asing. Pendek kata, segenap gambaran hidup Melayu pada abad pertengahan yang
unik, berwarna-warni dan penuh dengan pergolakan.
Sifat
ketaatan Hang Tuah yang luar biasa disamping memiliki sifat-sifat yang mulia
dan berhemah tinggi telah menjadikan ketokohan Hang Tuah bukan
sahaja sebagai lambang kepahlawanan dan keperwiraan bangsa Melayu, tetapi
juga sebagai lambang kebesaran Raja Melaka, kerajaan Melaka dan seterusnya
menjadi kebanggaan bangsa Melayu. Kejayaan pengarang Hang Tuah ialah dalam
menggambarkan Hang Tuah sebagai perwira Melayu. Sifat ini digunakan pada masa
bangsa Melayu lemah moralnya, untuk memulih kembali moral itu atau
sekurang-kurangnya menanam kepercayaan dan pegangan bahawa pada suatu masa
dahulu bangsa Melayu bangsa yang gagah, setia dan mempunyai
kesanggupan untuk mendaulatkan bangsanya.
4.0
PENUTUP
Sebagai
kesimpulannya, berdasarkan penelitian yang telah
dilakukan melalui tugasan ini dapatlah disimpulkan bahawa Hikayat Hang Tuah ini
merupakan salah satu lambang keagungan bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah juga
telah menunjukkan satu perlambangan bahawa bangsa Melayu itu yang taat akan
sultannya. Bangsa Melayu pada zaman keagungannya sememangnya merupakan salah
satu bangsa yang megah dan kaya dengan adat istiadatnya.
Walaupun pada
asalnya Hikayat Hang Tuah tergolong dalam sastera sejarah, tetapi
jika dilihat dari segi tema dan persoalan, Hikayat Hang Tuah sememangnya
berbeza dengan teks historigrafi lain yang menceritakan sejarah sesebuah negeri
tetapi hikayat ini menceritakan sejarah hidup Hang Tuah, oleh sebab itu
wajarlah teks ini digolongkan dalam karya agung kesusasteraan Melayu. Di dalam
teks ini terdapat banyak sumber sejarah berkenaan negeri Melaka di samping
gambaran corak organisasi pentadbiran politik, kebudayaan dan sosio-ekonomi
masyarakat Melayu silam itu. Justeru kerana sifat peribadi Hang Tuah itu
diceritakan melalui pendekatan kesusasteraan epik maka segala aspek yang
berkaitan dengan unsur-unsur sastera epik terdapat di dalam hikayat ini.
Berdasarkan
analisis yang dibuat iaitu berkaitan dengan analisis di sebalik konsep,
kekuatan dan motif kepengarangan, maka jelaslah bahawa Hikayat Hang Tuah dapat
dijadikan sebagai contoh dan teladan kepada masyarakat generasi mendatang. Hal
ini demikian kerana, Hang Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang tokoh
yang serba boleh yang menyebabkan negeri Melaka menjadi sebuah negeri yang
terkenal pada masa dulu. Pemikiran pengarang melalui tema, persoalan dan fungsi
jelas menampakkan tentang ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah.
Pendek kata, karya agung Melayu
merupakan warisan budaya kesusasteraan bangsa Melayu. Karya agung Melayu
tradisional merupakan penentuan karya agung Melayu yang dianggap sebagai hasil
kreativiti seni persuratan dan penceritaan dan sebagai pembentuk tradisi bangsa
sehingga memberi kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan