_SeUnTai KaTa_

Ahad, 5 Mei 2013

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

Konsep keindahan Melayu Klasik

Karya sastera memang mempunyai nilai estetik, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai estetik ini seharusnya dapat menikmati sebagai nikmat ketika membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel, cerpen, puisi (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak) drama dan sebagainya ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.
Secara umumnya perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah aesthesis yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi membawa maksud ‘kepekaan’ manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Estetik juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception), iaitu merupakan istilah estetika yang digunakan untuk  kajian falsafah. Selain itu, estetika juga membawa banyak pengertian daripada ramai tokoh falsafah. Ahli falsafah Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang memperkenalkan perkataan aisthetika.
Estetik adalah rasa indah pada umumnya dan tentang kesenian pada khususnya. Pandangan mengenai falsafah dan estetika sangat berhubung rapat dengan kesenian. Apabila disentuh tentang keindahan, maka secara langsung akan diperkatakan perkara berkaitan seni dan kesenian Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan  keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsure ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta.
 William Haverson mengatakan estetika adalah segala hal yang berhubungan dengan sifat dasar nilai-nilai non-moral suatu karya seni. Estetika sering diungkapkan sebagai persamaan makna seni, tetapi ia berbeza dengan ‘falsafah keindahan’, kerana estetika tidak semata-mata menjadi permasalahan falsafah. Di dalamnya menyangkut perbahasan ilmiah berkaitan dengan karya seni, yang merangkumi bidang ilmiah, antaranya meliputi perbincangan tentang keindahan dalam seni atau pengalaman estetik, gaya atau aliran seni, perkembangan seni dan sebagainya. Secara langsung pengkajian falsafah estetika bersangkutan dalam bidang-bidang seperti psikologi, sosiologi, antropologi dan lain-lain yang bersangkutan,
 Selain itu, estetika juga dapat dikaitkan sebagai keindahan yang berdasarkan penglihatan iaitu seni rupa dan keindahan yang boleh didapati melalui pendengaran contohnya, muzik. Oleh sebab itu, keindahan dapat diertikan sebagai keindahan yang meliputi aspek keindahan seni, keindahan alam, keindahan moral, dan keindahan intelektual. Estetika sebagai keindahan dan keagungan. Estetika juga merupakan sebahagian penciptaan simbol- simbol yang wujud dari perasaan manusia sebagai hasil kesenian dan juga sesuatu yang mewakili perasaan amnesia. Maksudnya, estetika bersifat simbolisme iaitu simbol-simbol yang dimaksudkan bukan sahaja hasil karya seni lukis tetapi hasil binaan yang mempunyai simbolik tersendiri hasil ciptaan manusia. Sebagai contoh, seni binaan bangunan yang kaya dengan simbol dan keindahan tersendiri seperti rekaan bangunan Menara Petronas, Kuala Lumpur.
Perkataan keindahan atau kata dasarnya indah merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky dalam Aminudin Mansor ialah terdapat tiga aspek yang jelas dinyatakan dalam karya sastera menerusi penggantian perkataan indah dengan kata yang sama maksud. Menurutnya lagi, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai mampu mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh tetapi akibat daripada keindahan itu lebih penting iaitu manfaat yang terselindung di sebaliknya. Misalnya, pembaca akan berasa tenang atau sebaliknya bergantung kepada keadaan jiwa seseorang itu ketika menghayatinya.
Aspek pertama yang akan dibincangkan ialah berhubung dengan asal usul keindahan. Pengertian indah dipadankan dengan cara tertentu melalui kuasa Tuhan atau kekayaan Allah. Ianya meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu yang tidak terbatas. Contohnya kehadiran pelbagai kehidupan di muka bumi, sistem cakerawala, keindahan alam semula jadi dan sebagainya sehinggakan yang tidak mampu ditanggapi oleh akal manusia biasa.
Kedua, estetika Islam juga membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena dengan menggunakan perkataan elok dan indah dalam karya sastera dan karangan tasawuf Melayu. Manakala, aspek keindahan ketiga ialah estetik atau keindahan tersembunyi, tetapi bentuk iaitu susunan kata yang baik, makna yang berlapis-lapis mampu menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik pasti isi kandungan dalam sesebuah karya tidak mempunyai daya tarikan. (Aminudin Mansor, 2012).

Estetik dalam Sulalatus Salatin
Unsur estetik merupakan satu unsur keindahan dalam berbahasa iaitu dengan memberikan sifat manusia kepada benda lain. Unsur personafikasi yang dapat dilihat dalam karya Sulalatus Salatin ialah:
“rupa tunggul panji-panji seperti awan berarak; rupa payung segala  raja-raja”
                                                          (Muhammad Haji Salleh, 1997: 26)
Dalam ayat di atas, pengarang telah menggunakan kata kerja berarak yang dilambangkan sebagai unsur personafikasi kepada awan. Awan merupakan kata nama yang tidak bernyawa, tetapi diberi sifat manusia kepadanya. Unsur ini digunakan untuk menunjukkan keindahan bahasa.

Penggunaan Bahasa Istana
Tidak dinafikan penggunaan bahasa istana di dalam karya bahasa Melayu Klasik kerap berlaku berbanding dalam karya Melayu Moden. Watak utama di dalam karya bahasa Melayu klasik adalah terdiri daripada watak istana yang melibatkan sultan, permaisuri, anakanda, dayang, pembesar, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa istana amat diperlukan untuk mewarnai karya sastera tersebut agar lebih menarik dengan keindahan bahasa istana yang sangat lembut dan berlapik.  Penggunaan bahasa istana juga diperlukan dalam karya bahasa Melayu klasik bagi mengisahkan cerita-cerita yang membabitkan keluarga diraja. Perkara ini dapat dijelaskan lagi menerusi contoh ayat yang dipetik daripada Hikayat hang Tuah yang dikemukakan oleh Kassim Ahmad yang berbunyi:
Maka pada ketika itu juga baginda pun melengkapi anakanda baginda itu dengan inang pengasuh dan dayang-dayang sepertinya. Maka tuan putera Kemala ratna Pelingan dipeluk cium dan ditangisinya oleh ayahanda baginda.                                                                                                                            (Kassim Ahmad, 1997 :5)
Namun begitu, penggunaan bahasa istana ini kurang digunakan di dalam bahasa Melayu Moden. Hal ini telah dibuktikan apabila karya yang ditulis menggunakan bahasa Melayu Moden kurang menggunakan tema keluarga diraja. Kebanyakan penulis akan menggunakan tema berkaitan dengan masyarakat moden yang tidak akan dikaitkan dengan keluarga diraja seterusnya penggunaan bahasa yang indah seperti bahasa istana tidak dapat dikekalkan dan semakin ditinggalkan oleh masyarakat Melayu Moden.
 Penggunaan ayat yang panjang juga merupakan salah satu unsur estetik dalam karya agung iaitu salah satu aspek yang dapat membezakan bahasa Melayu Klasik dengan bahasa Melayu Moden. Ciri ini boleh dilihat melalui beberapa ayat yang terkandung di dalam Hikayat Hang Tuah iaitu:
Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakainnya terlalu indah-indah- rata terang itu pun dengan perhiasannya keemasan-datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna munu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anaknya besar turun dari keinderaan.
                                                                                           (Kassim Ahmad, 1997: 6)
Contoh ayat di atas jelas menunjukkan penggunaan bahasa yang meleret-leret dalam Hikayat Hang Tuah. Ayat yang panjang merupakan satu unsur seni bahasa yang mampu menjadikan sesebuah karya menjadi menarik. Ianya juga dipercayai berpunca daripada gaya bahasa hiperbola yang biasa terdapat di dalam hasil sastera klasik. Gaya bahasa hiperbola bermaksud sesuatu perkara itu diceritakan secara berlebih-lebihan. Tujuan utama penggunaan gaya bahasa ini adalah untuk menekankan keistimewaan sesuatu benda atau perkara. Selain itu, penggunaannya juga dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca kerana melalui penggunaan hiperbola, pembaca akan dibawa bersama untuk menghayati sesuatu cerita kerana penggunaan gaya bahasa hiperbola dapat membantu pembaca menghayati sesuatu peristiwa dengan lebih mendalam. Melalui contoh yang diberi di bawah, jelas kelihatan daripada keindahan bahasa atau unsur estetik yang digarap oleh pengarang bagi mewarnai hikayat Hang Tuah menggunakan unsur hiperbola.
“Segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaian terlalu indah-indah-rata terbang itu pun dengan perhiasannya keemasan”.
                                                                       (Kassim Ahmad, 1997: 6)
 Selain itu, dalam karya klasik atau karya agung juga turut menggunakan penggunaan imbuhan ‘nya’ untuk mengekalkan unsur estetik dalam karya. Penggunaan imbuhan ‘nya’ boleh digunakan bagi menggantikan ganti nama yang diulang beberapa kali. Ganti nama tunjuk atau perkataan-perkataan yang tidak diperlukan boleh diabaikan bagi tujuan meringkaskan  sesebuah ayat. Penggunaan imbuhan ‘nya’ ini bertujuan mengelakkan daripada kekerapan menggunakan ayat yang panjang seterusnya menjadikan karya tersebut suatu karya yang tidak menarik, menyebabkan pembaca menjadi bosan untuk meminati sesebuah karya. Sebagai contoh ayat yang menggunakan imbuhan ‘nya’ dalam hikayat Hang Tuah ialah:
Maka Sang Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah genaplah bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang lelaki, terlalu elok rupanya sikapnya.                                                                                                             (Kassim Ahmad, 1997: 11)
Berdasarkan contoh ayat di atas, menunjukkan penulis telah mengulang sebanyak empat kali imbuhan ‘nya’ dalam satu ayat. Ayat tersebut ditulis sebegitu bagi menjelaskan kepada pembaca bahawa Sang Sapurba mempunyai anak seramai empat orang. Penggunaan ayat yang panjang dan berulang-ulang ini akan menjadikan sesebuah ayat itu berbelit-belit dan sukar difahami. Keadaan ini menunjukkan bahawa penulis sangat bijak menggunakan bahasa dan memperlihatkan unsur estetik dalam karya tersebut. Keindahan karya juga terletak kepada kebijaksanaan penulis untuk menterjemahkan jalan cerita menggunakan seni bahasa yang dapat menarik minat pembaca.

MAKNA LUARAN DAN MAKNA DALAMAN

Mengikut Webster, estetik ialah pembelajaran tentang falsafah kecantikan dan  ia juga merupakan pandangan luar sesuatu hasil seni (Weitz). Perkataan ini berasal daripada perkataan ‘aisthetikos’ yang bermaksud sensitif. Perkataan ini berkembang daripada perkataan ‘aisthannesthai’ yang bermaksud ‘to perceive’ (tanggapan). Estetika merupakan satu cabang falsafah keindahan, dari sinilah kriteria andaian rupa luar sesuatu seni dinilai (Beardley, 1966). Kamus Dewan (1979) turut memberi pengertian estetik sebagai kecantikan, keelokan atau perihal yang menerangkan sesuatu yang indah.
 Sidi Gazalba (1977) dan Bearsley (1966) turut mengemukakan teori keindahan yang dikemukakan oleh ahli falsafah metafizikal dan psikologikal oleh Plato, Plotinus dan Hagel. Mengikut mereka, teori keindahan yang dikemukakan oleh ahli falsafah tentang keindahan mempunyai persamaan dan kebenaran , kebaikan dan mutlak  (‘Beauty=truth= the good=the absolute’). Perkara ini telah disokong oleh Othman Mohd. Yatim (1989), yang turut menyatakan keindahan selalunya dikaitkan dengan rasa yang menggembirakan, menyenangkan, memuaskan yang baik dan dihargai. Beliau menambah lagi, sesuatu yang menggembirakan dan menyenangkan biasanya rasa yang lahir daripada khalayak terhadap objek yang indah, yang dikatakan mempunyai seni dalam konteks kebudayaan dan kesenian yang berfungsi memenuhi nilai estetik.
            Menurut Ku Zam Zam  (1984), dalam menghayati estetika atau keindahan, khalayak seni akan tertarik kepada sesuatu objek yang indah boleh menyebabkan timbulnya rasa persatuan yang sejati dengan objek itu sehinggakan melahirkan kebebasan dan kesempurnaan pada jiwa. Rasa yang menggembirakan atau menyenangkan itu akan wujud apabila individu itu ditemukan dengan objek-objek yang indah yang selalunya dikatakan mempunyai seni  (Ku Zam Zam). Dalam konteks kebudayaan , bidang yang berfungsi memenuhi nilai estetik manusia iaitu bidang kesenian. Ku Zam Zam (1984) turut menjelaskan bahawa kesenian berkait rapat dengan budaya kerana ia merupakan sebahagian daripada budaya. Antara unsur budaya yang melahirkan kesenian ialah agama dan kepercayaan, adat istiadat dan juga bahasa. Mengikut beliau, biasanya masyarakat membentuk keseniannya yang tersendiri berdasarkan pengalaman dan kehidupan yang dilalui. Kesenian merupakan pendorong kepada seseorang untuk bertindak dan mengakibatkan berkembangnya ruang lingkup perasaan seseorang. Dalam menghayati seni, penghasilan seni yang dapat memberi kepuasan pada deria penglihatan terbahagi kepada dua, iaitu seni rupa dua dimensi yang terdapat pada seni tekstil, dan seni rupa tiga dimensi yang dikenali sebagai seni tampak yang terdapat pada seni ukir.
            Dari segi psikologi, keindahan merupakan sesuatu yang dapat dinilai oleh pancaindera atau deria rasa. Dalam perkara ini, akal memiliki deria rasa fikiran atau kemahuan (nafsu) dan juga deria rasa. Deria rasa pula mempunyai kepentingan yang berbeza dengan indera rasa yang lain seperti makanan dan juga undang-undang moral yang mempunyai kepentingan yang berbeza. Dari segi penilaian pula, keindahan adalah lebih bersifat ideal yang bukan berkaitan dengan fakta sahaja. Dalam konteks ini, sesuatu karya atau seni yang indah bukanlah hanya semata-mata terletak pada karya atau seni itu tetapi ia adalah satu perasaan yang dihayati oleh khalayak ketika meneliti. Hasilnya, sifat keindahan yang lahir daripada khalayak akan mewujudkan satu kepuasan dan kesenangan yang dapat disebut sebagai estetika (Ku Zam Zam, 1984 dan Othman Mohd Yatim, 1989).       
            Moore (1942), menyarankan bahawa nilai keindahan sesuatu bentuk itu dapat diukur melalui dua sudut, iaitu sudut objektif dan subjektif. Dari sudut objektif, ciri-ciri yang dinilai adalah seperti bentuk objek atau karya itu. Bentuk karya yang menumpukan kepada aspek-aspek yang nyata adalah berasaskan elemen reka bentuk seperti warna, bentuk luar (shape), garis, tekstur, nada dan sebagainya. Selain bentuk penilaian, keindahan secara objektif juga mengambil kira idea atau isi sesuatu karya itu. Idea yang dimaksudkannya di sini merupakan gabungan kebijaksanaan daya pemikiran, imaginasi dan emosi seseorang seniman dalam melahirkan karyanya. Untuk melahirkan sesuatu karya yang harmoni, pencipta haruslah dapat menyatukan elemen reka bentuk yang merangkumi warna, bentuk dan tekstur dalam bentuk kesatuan dan dalam masa yang sama boleh memberi rangsangan kepada emosi, idea dan imaginasi. Hal ini menggambarkan bahawa bentuk karya yang dilihat secara objektif merupakan struktur luaran yang berasaskan reka bentuk. Oleh itu, masyarakat dapat menilai nilai estetika menerusi pancaindera berdasarkan pandangan masing-masing.
            Keindahan secara subjektif atau berdasarkan struktur dalaman pula diukur dari sudut kegembiraan yang dirasai hasil daripada khalayak dan penilaian sesuatu karya itu. Untuk menilai keindahan secara keseluruhan, seseorang perlu melihat secara objektif karya itu dan juga merasakan keindahan itu secara subjektif. Penilaian secara subjektif merupakan penilaian yang lebih bergantung kepada objek seni dan penilaian itu sendiri. Dalam perkara ini, penilaian objek seni adalah berbeza antara individu dengan individu yang lain.
Sebagai contoh:
“ … Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing kedua itu. Maka anjing itu pun berteriak keduanya lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya. … “ Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat negeri, tuanku.”
                                           (Hikayat Hang Tuah : 64)
Petikan tersebut memberi tafsiran secara tersurat (luaran) dan juga tafsiran secara tersirat (dalaman). Dari segi luaran, teks Hikayat Hang Tuah tersebut memberi makna bahawa Tuanku terlihat ada dua ekor pelanduk di dalam hutan tempat baginda berehat menggigit anjing baginda. Selepas digigit, anjing tersebut telah berteriak dan terjun ke dalam sungai. Kemudian, seorang pembesar tuanku telah menyatakan bahawa, kata orang tua-tua sekiranya ada pelanduk putih dalam hutan tersebut, itu merupakan petanda bahawa tempat itu sesuai untuk dijadikan negeri.
Makna dalamannya pula ialah pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku tentang Anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelanduk putih. Tuanku Syah Alam tertarik dengan cerita yang disampaikan dan bertanya kepada salah seorang pembesar tentang peristiwa tersebut. Pada pandangan pembesar, menurut cerita yang di sampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, maka tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Berdasarkan kepada peristiwa dan pendapat yang diberikan oleh pembesar, Tuanku Syah Alam berpendapat, jika dibuka sebuah negeri, negeri tersebut akan maju dan kuat.


1 ulasan:

  1. terima kasih di atas maklumat ini...sangat bermanfaat ;)

    BalasPadam