Karya agung
merupakan karya yang sarat dengan nilai ilmu dan maklumat yang terkandung di
dalamnya. Nilai-nilai ilmu maklumat seperti ilmu firasat iaitu ilmu berkaitan
tanda-tanda pada muka atau anggota yang lain untuk mengetahui nasib atau
kelakuan seseorang, ilmu jampi atau pengasih yang digunakan untuk membengkitkan
rasa kasih kepada seseorang, ilmu pendukunan yang digunakan untuk merawat atau
mengubati penyakit seseorang, dan sebagainya amat terkenal dengan bangsa Melayu
pada zaman dahulu. Malah penggunaan nilai ilmu dan maklumat ini digunakan
secara besar-besaran dalam kehidupan masyarakatnya.
Ilmu Firasat
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada
muka iaitu anggota badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib
orang. Dalam dunia Melayu, pelbagai ilmu firasat yang cuba diketengahkan oleh
masyarakat dahulu. Contohnya, jika burung hantu berbunyi, itu tandanya ada
kematian pada waktu yang terdekat. Masyarakat Melayu menjadikan perkara-perkara
sebegini sebagai satu sandaran ataupun petanda dalam hidup mereka. Tambahan
pula, kebanyakan petanda-petanda ini sering menjadi kenyataan. Keadaan inilah
yang menjadikan kepercayaan mereka terhadap ilmu firasat ini menjadi semakin
kuat walaupun adakalanya itu hanyalah satu kebetulan. Ilmu firasat ini boleh
dilihat dengan jelas dalam karya-karya agung antaranya dalam Hikayat Hang Tuah:
Contohnya seperti:
“ Maka
pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya
penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada
tidur, lalu diribanya anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh
tubuh.
(Hikayat Hang Tuah : 23)
Hang Mahmud telah bermimpi tentang bulan yang turun dari langit dan
cahaya bulan tersebut telah mengenai Hang Tuah. Melalui peristiwa tersebut,
Hang Mahmud berpendapat bahawa sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Antara contoh
lain yang boleh diperolehi adalah seperti berikut:
… “ Apa juga
dipakainya maka tiada lut kuparang? Tetapi pada firasatku sebab kerisnya inilah
maka ia tiada dapat ditentang lawan dan tiada lut kuparang tubuhnya ini.
Jikalau demikian, apa jua kehendaknya? Baiklah kuperdayakan.”
(Hikayat Hang Tuah : 155)
Menerusi peristiwa yang berlaku tentang rahsia Keris Taming Sari. Hang
Tuah berfirasat bahawa jika seseorang itu mempunyai keris Taming Sari, badannya
tidak akan lut jika ditikam. Dengan menggunakan kebijaksanaannya, Hang Tuah
telah berjaya merampas keris tersebut dari tangan Taming Sari. Dengan itu,
dapat dikatakan bahawa, untuk memperoleh keris Taming Sari tersebut. Firasat
awal Hang Tuah tentang keris tersebut sememangnya betul, kerana sepanjang
beliau menggunakan keris tersebut, beliau tidak pernah tercedera dalam
pertarungan.
Ilmu Pengasih
Ilmu pengasih
secara umumnya ialah salah satu cara yang digunakan untuk menambat hati
seseorang yang kita suka terutamanya kepada golongan wanita. Namun demikian,
ilmu ini boleh digunakan oleh golongan lelaki mahupun perempuan asalkan kena
pada caranya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula ilmu pengasih ialah
pengetahuan tentang jampi, azimat, atau guna-guna untuk mendatangkan atau
membangkitkan rasa kasih terhadap individu yang dikehendaki.
Ilmu pengasih dibuat dalam berbagai jenis, kaedah serta nama. Contohnya minyak
dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, pengasih jiwa dan banyak lagi. Ilmu
pengasih boleh dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat
daripada bahan tertentu, makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata,
hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya.
Contohnya dalam Hikayat Hang Tuah:
Demi berpalit
gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun
Teja pun bangun, seraya berkata, “Rindunya aku akan Mak Inang…” … “Janganlah
inangda takut. Mana Tun Tuah itu sekarang?
(Hikayat Hang Tuah: 218)
Hang Tuah menngunakan tipu muslihat bagi meyakinkan Tun Teja untuk mengikutnya
pulang ke Melaka. Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja untuk
mencalitkan guna-guna tersebut pada Tun Teja yang sedang tidur. Sebaik
sahaja ‘jebat’ itu dicalitkan pada Tun Teja, beliau segera bangun dari tidur
dan mencari inangnya. Tun Teja menyatakan bahawa beliau teringin untuk berjumpa
dengan Hang Tuah. Ketika itulah Hang Tuah memasang jerat dengan menyatakan
bahawa beliau akan berangkat ke Melaka. Tun Teja berasa sedih untuk berpisah
dengan Hang Tuah dan menyebabkan beliau bersama-sama Hang Tuah berangkat ke
Melaka beserta semua dayang-dayang. Keadaan ini menunjukkan bahawa ilmu
pengasih yang digunakan terhadap Tun Teja telah berjaya.
Ilmu Pendukunan
Menurut Kamus
Dewan menyatakan bahawa dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau
memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan
sebagainya. Perdukunan pula didefinisikan sebagai sesuatu yang mengenai
atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan
dengan ilmu dukun. Namun ada juga yang mengatakan dukun sebagai bomoh, tabib,
orang-orang pintar, ahli metafizik, arraf (orang yang mengaku mengetahui
hal-hal yang ghaib) dan kahin (sebutan bagi orang yang mengaku
mengetahui ilmu ghaib yang mengkhabarkan tentang kejadian yang akan datang atau
yang tersirat dihati), dan sebagainya.
Ahli nujum atau dukun ini biasanya akan meramal nasib seseorang
menggunakan cara yang tertentu. Sebagai contohnya dapat dilihat dalam Hikayat
Hang Tuah seperti berikut :
Maka segala ahlul nujum dan sasterawan pun melihat
yang di dalam nujum. Setelah sudah dilihatnya, maka masing-masing pun
menggerakkan kepalanya. Maka titah baginda, “Apa sebab kamu sekalian
mengerakkan kepalamu?” Maka sembah segala ahlul nujum dan sasterawan itu, “ya
Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke bawah
Duli Syah Alam; adapun patik anakanda ini terlalu amat bahagia beroleh suami
anak raja besar, dan anak cucu paduka anakanda inilah akan raja datang
kepada akhir zaman, akan menjadi raja besar. Maka duli tuanku pun hendaklah
segera memberi paduka anakanda bersuami, hendaklah paduka anakanda ini
ditaruhkan pada suatu pulau yang bernama Biram Dewa itu dengan suatu mahligai
dan dayang-dayang. Di sanalah paduka anakanda bersuami raja besar itu.”
(Hikayat Hang
Tuah: 5)
Berdasarkan petikan di atas, hikayat ini menceritakan perihal Tuanku Syah
Alam yang menggunakan khidmat ahli nujum bagi menilik untung nasib anak
gadisnya itu iaitu Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam. Melalui tilikan para
ahli nujum, mereka mendapati bahawa nasib anak gadisnya itu adalah beroleh
keuntungan pada masa akan datang melalui perkahwinannya dengan anak raja besar.
Justeru, untuk beroleh keuntungan tersebut ahli nujum menyarankan supaya Tuan
Puteri Kemala Ratna Pelinggam segera dikahwinkan dan diletakkan di sebuah pulau
yang bernama Biram Dewa dengan sebuah istana berserta dayang-dayang.
Ilmu Jampi
Jampi
didefinisikan Kamus Dewan sebagai kata-kata tertentu yang diucapkan untuk
mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit. Jampi juga dikenali
sebagai mantera. Mana Sikana dalam bukunya sastera Melayu klasik menghuraikan
jampi serapah bukan sekadar penglahiran perasaan seperti puisi tetapi mempunyai
hubungan dengan kejiwaan dan sistemkepercayaan. Ilmu jampi atau perdukunan ini
dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin pada bab 3 yang ada menyentuh
tentang Badang beroleh gagah.
Contohnya seperti:
“Jikalau engkau hendakkan gagah, makanlah muntahku.
Setelah itu oleh Badang dicubanya segala pohon kayu hampirnya yang besar-besar
itu, dengan sekali bantunnya habis patah-patah”.
( Hikayat Hang Tuah: 48-49 )
Berdasarkan petikan ini, Badang diceritakan telah memakan muntah hantu
yang sering memakan ikan yang ditangkapnya. Selepas memakan muntuah tersebut
Badang telah menjadi kuat dengan serta merta. Badang mempu mengangkat dan
mencabut pohon-pohon kayu yang besar. Badang juga mampu mematahkan dahan kayu
yang besar dengan kukuatan fizikalnya. Keadaan ini menunjukkan ilmu jampi yang
terkena pada Badang telah berjaya sehingga kekuatannya menjadi luar biasa dan
tiada tandingannya.
Maklumat Tentang Strata Sosial
Masyarakat
Strata
masyarakat atau statifikasi ialah menggambarkan tentang struktur
sosial masyarakat dari segi iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa
lapisan atau kelas yang berlainan atau juga dikenali sebagai susun lapis
masyarakat. Dalam Karya Agung Sejarah Melayu, masyarakat Melayu digambarkan
mempunyai struktur yang tersusun. lanya didahului oleh seorang raja sebagai
pemerintah. Baginda akan dikelilingi oleh kerabat-kerabat di raja, permaisuri,
putera-puteri raja serta kaum kerabat di raja yang lain. Berada di bawah baginda
ialah golongan pentadbir atau lebih dikenali juga sebagai golongan bangsawan.
Antara jawatan penting ialah seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari,
Temenggung, Syahbandar, Bentara dan lain-lain lagi. Selain itu, golongan ulama
juga berada dalam hirarki ini seperti Makhdum, Sayyid, Maulana dan Kadhi.
Seterusnya ialah golongan rakyat biasa yang merdeka. Biasanya golongan
ini terdiri dari pedagang-pedagang, petani, tukang-tukang mahir serta
saudagar-saudagar. Contoh yang terkenal dalam Sejarah Melayu ialah seperti Hang
Isap serta Raja Mandeliar, Mina Sura Dewana, Kitul, Ali Manu Nayan dan Patih
Adam yang rapat dengan golongan bangsawan. Golongan yang berada dalam kelas
terbawah ialah golongan hamba. Ada tiga kategori hamba yang dipaparkan dalam
Sejarah Melayu seperti hamba abdi, hamba biduanda dan hamba hutang. Golongan
rakyat biasa merupakan rakyat yang bebas menjalankan segala aktiviti harian
mereka.
Walaupun mereka bebas, dalam masa tertentu mereka boleh dikerah oleh raja
atau pembesar sama ada untuk berperang atau menjalankan titah raja. Sebagai
contoh, Tun Perak sewaktu ingin menentang serangan Siam, beliau telah membawa
anggota daerahnya yang lelaki dan perempuan ke Melaka. Orang lelaki
dikehendakai melawan tentera Siam bersama tentera Melaka. Sultan Mansur Syah
pula pernah menggunakan golongan ini untuk menyiapkan istana dalam masa sebulan
setelah istana yang didudukinya terbakar. Golongan yang paling rendah dalam
struktur sosial ialah golongan hamba. Penempatan mereka di tahap yang paling
bawah sesuai dengan taraf dan fungsi sosial mereka boleh dikatakan dalam semua
aspek kehidupan, mereka tidak dapat bertindak mengikut kemahuan sendiri.
Seseorang tuan pula dikatakan memiliki status yang tinggi jika memiliki
ramai hamba. Terdapat beberapa panggilan untuk hamba iaitu sahaya, abdi, dan
biduanda. Pembahagian itu dibuat berdasarkan keturunan dan cara mereka menjadi
hamba. Hamba yang berstatus tinggi ialah hamba raja, kedua hamba berhutang atau
orang berhutang, dan yang ketiga ialah hamba abdi atau sahaya.
Namun, dalam banyak-banyak golongan dalam strata masyarakat ini, golongan
rajalah merupakan golongan yang mempunyai kuasa penuh terhadap rakyatnya
sehingga mampu membuat keputusan tanpa berfikir atau mengusul periksa terlebih
dahulu. Hal ini dapat dilihat seperti dalam petikan di bawah:
“… Tun Besar, anak Bendahara, sedang bermain sepak
raga di lebuh, dengan segala orang muda-muda. Maka Raja Muhammad pun lalu,
ketika itu Tun Besar sedang menyepak raga itu pun jatuh menimpa destar Raja
Muhammad, jatuh ke tanah.”
(Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu): 152)
Dalam petikan ini mengisahkan bagaimana Tun Besar yang dihukum bunuh
apabila bola yang dimainnya terkena destar Raja Muhammad. Keadaan ini jelas
menunjukkan bahawa golongan raja ini mempunyai kuasa yang penuh untuk
menjatuhkan hukuman tanpa sebarang perbicaraan terlebih dahulu.
Strata rakyat biasa pula dapat dilihat pada kisah Wan Empuk dan Wan
Malini yang merupakan seorang petani yang mengerjakan padi huma di lereng
bukit. Pada suatu hari, mereka melihat padi mereka sudah masak dan berbuahkan
emas serta berdaunkan perak. Di atas bukit itu, mereka menemui tiga orang
pemuda yang tampan parasnya. Mereka menyatakan bahawa mereka adalah keturunan
Raja Iskandar Zulkarnain bernisabkan Raja Nusirwan dan pancaran Raja Biktram
Syah. Pemuda itu bernama Nila Pahlawan dan Karna Pndita dan bersama-sama mereka
ialah sebilah pedangn bernama Simandang Kini dan lembing bernama Lembuara.
“Maka kepada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan
Wan Malini dari rumahnya, di atas Bukit Si Guntang itu bernyala seperti api …
Maka keduanya naik ke atas Bukit Siguntang itu. Maka dilihatnya padinya
berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa.”
(Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu): 20)
Keterangan diatas jelas menunjukkan bahawa strata masyarakat pada zaman
dahulu dapat dibahagikan kepada dua iaitu golongan atasan dan golongan bawahan.
Raja dan pembesar menduduki kedudukan sebagai golongan atasan manakal rakyat
biasa dan hamba pula dianggap sebagai golongan bawahan.
Adat Istiadat
Dalam Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010: 8) adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan
turun-temurun iaitu sejak dahulu kala di dalam sesuatu masyarakat iaitu
sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Manakala istiadat
pula ialah bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah
menjadi kebiasaan, adat kebiasaan, dan resam. Oleh itu, dapat disimpulkan
bahawa adat istiadat merupakan peraturan yang harus dilakukan sama ada dalam
urusan rasmi atau tidak. Antaranya adat istiadat yang terdapat dalam Sejarah
Melayu ialah:
- · Adat mengadap raja di balai rung.
- · Adat menjunjung duli.
- · Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.
Adat-adat ini diamalkan semasa zaman kegemilangan empayar Melaka. Adat yang
biasa diamalkan ini merupakan adat yang digunakan dalam istana. Biasanya adat
ini akan diamalkan oleh oleh golongan raja dan pembesar. Contohnya boleh
dilihat seperti dalam petikan di bawah:
“ Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka
bendahara, dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang
besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai”.
(Sejarah
Melayu :57)
Adat ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan.
Malahan, sehingga sekarang juga adat ini masih diteruskan walaupun tidak
semuanya sama dengan yang dahulu. Hal ini demikian kerana, Sultan di anggap
orang yang paling mulia, oleh itu sesiapa yang ingin mengadap Sultan haruslah
mengetahui tentang adat-adat yang telah ditetapkan.
Adat Perpatih
Adat Perpatih
merupakan adat yang berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera. Adat ini
diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato’
Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang
sitentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika
itu. Tiada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan, tetapi Adat
Perpatih ini telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh perantau-perantau
Minangkabau pada abad ke-14 Masihi.
Adat perpatih ini juga merupakan adat yang berasaskan kepada sistem
kekeluargaan yang dibentuk melalui unit-unit perut dan suku. Setiap anggota
keluarga masyarakat adat perpatih mempunyai ikatan perhubungan erat
antara satu sama selain mementingkatan kehidupan yang bermuafakat. Masyarakat
Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama, iaitu Perut, Suku dan Luak.Perut adalah
unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu
adalah berasal daripada moyang (Keturunan perempuan) yang sama.
Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak. Buapak ini
dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Suku pula
dibentuk oleh beberapa buahperut yang menjadikan keluarga berkenaan
menjadi besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato’
Lembaga. Luak pula merupakan unit kawasan pentadbiran dari segi adat
di mana terdapat empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujong, Johol
dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang.
Kumpulan
undang-undang adat perpatih dapat dibahagikan kepada dua seperti berikut:
- · Undang-undang atau peraturan yang digunakan di negeri Sembilan, Melaka dan perak
- · Undang-undang yang terdapat di sumatera khususnya dari tanah minangkabau.
Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama iaitu keturunan dikira melalui nasab
ibu, tempat kediaman adalah di kawasan ibu isteri, perempuan mewarisi pusaka
manakala lelaki menyandang saka, perkahwinan seperut atau sesuku adalah
dilarang, dan orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku.
Adat Temenggung
Adat
Temenggung merupakan adat yang diamalkan di Negeri-Negeri
Melayu (pada asalnya bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka sebelum
diwarisi turun temurun oleh negeri-negeri Melayu yang lain) kecuali Negeri
Sembilan yang mengamalkan adat perpatih. Adat ini diasaskan oleh Datuk
Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang
mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera.
Adat Temenggung merupakan undang-undang adat Minangkabau yang diamalkan
di negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih.
Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan yang merupakan abang tiri kepada
Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih yang berasal dari
Sumatera. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15 Masihi dan
kemudiannya diresapi dengan pengaruh Islam dan hokum syarak bermazhab Shafie.
Dari Melaka, Adat Temenggung ini disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain
dengan perkembangan Empayar Melaka.
Adat Temenggung ini mempunyai beberapa ciri utama iaitu hukuman bersifat
pembalasan, pemerintahan bersifat autokratik, pewarisan harta lebih kepada
nasab lelaki dan perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak
melanggar hukum syarak.
Berdasarkan karya agung, kita dapat melihat contoh adat temenggung yang
menunjukkan pertabalan seorang raja. Telah diketahui bahawa dalam Adat
Temenggung, nasab lelaki lebih diutamakan.
Maka titah Raja merong Mahawangsa kepada menteri Rom,
“Sudahlah beta rajakan anakanda ini. Maka sekarang akan negeri ini patutlah
kita namakan sesuatu akan dia.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 34)
Berdasarkan petikan di atas, jelas menunjukkan bahawa seseorang raja akan
menabalkan puteranya untuk memerintah sesebuah negeri. Raja Merong Mahawangsa
telah menabalkan puteranya, Raja Merong Mahapudisat untuk memerintah sebuah
negeri baru. Seseorang putera raja akan mendapat keistimewaan tersebut
berbanding puteri raja. Hal ini sama seperti yang terdapat dalam Adat
Temenggung yang lebih menutamakan pihak lelaki berbanding wanita.
Kesimpulannya, adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.
Sumber:
A.Samad
Ahmad, 1986. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
Kassim Ahmad,
1997. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Siti Hawa,
1998. Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan
Penerbitan Universiti Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan