_SeUnTai KaTa_

Khamis, 2 Mei 2013

SENI RETORIK DAN GAYA BAHASA

KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK

Perkataan retorik berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘Rethor’ yang bermaksud pidato. Perkara ini  merujuk kepada seni penggunaan bahasa dalam pertuturan atau penulisan, iaitu dengan tujuan untuk memujuk, mempengaruhi dan meyakinkan orang. Kebiasaannya, kegunaan seni retorik berkisar dalam karya prosa seperti teks pidato.
Menurut Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan  (2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea, atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang. Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.
Terdapat beberapa pandangan dari pemimpin dunia seperti Gorys Keraf dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris (2010:1), perkataan retorik diertikan sebagai istilah yang secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Tokoh retorik klasik seperti Plato pula dalam bukunya, Pheadrus berpendapat, retorik merupakan wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat. Aristotle pula melihat retorik sebagai seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, kaedah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, 2010:2).
Adolf Hitler, Benitto Musolini, J.F Kennedy, Abraham Lincorn, Sukarno, dan beberapa orang pemimpin Islam yang dikategorikan sebagai pemidato yang dapat menyampaikan idea, visi atau transformasi kepada rakyat dengan berkesan. Jeniri Amir (2006:15) menyatakan ungkapan tersebut menjadi ikutan umum kerana mudah diingat dan menyerap ke dalam minda pendengar. Hal ini demikian kerana ungkapan tersebut berpaksikan kepada tiga prinsip seperti yang menjadi pegangan pemimpin-pemimpin terdahulu semasa menyampaikan pidato. Prinsip "tiga" atau "tricolon" dapat sahaja dimanfaatkan dalam bentuk perulangan kosa kata, ungkapan, frasa atau ayat. Prinsip ini jika digunakan dengan tepat akan memberikan kesan dramatik dan mampu mengikat perenggan dengan berkesan. Rangkaian bertiga mampu menghasilkan rentak dan ritma. Alat tersebut dapat dikatakan sebagai alat pengucapan dan teks ucapan yang berkesan. Pengucap, pemidato, dan pemimpin terkemuka sering menggunakan prinsip kumpulan bertiga kerana mereka sedar akan kesan penggunaannya.
Berbalik kepada penumpuan pengkajian iaitu retorik dalam karya Melayu terutama karya agung memperlihatkan orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin disampaikan. Hal ini dibuktikan dengan pendapat yang dinyatakan oleh Mohd Affandi Hassan dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, (2010:23) bahawa apa juga usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok Selampit dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita-cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik. Beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk mencapai sesuatu maksud.
            Dalam konteks moden, retorik dikenali sebagai seni penggunaan bahasa persuratan atau lisan yang melibatkan penyampaian fakta dan idea dengan menggunakan bahasa yang tersusun, menarik dan mampu memberikan impak kepada khalayak pendengar mahu pun pembaca. Oleh itu, retorik sewajarnya dikuasai oleh setiap pengguna bahasa bagi mencapai tujuan berbahasa. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30).
Penulis teks atau pengucap yang baik selalunya bijak memilih diksi atau kata-kata. Hal ini  bermaksud kata-kata yang dapat mengungkap kenyataan, memperhalus, memperbesar, bahkan menyembunyikan realiti. Dalam retorik, bahasa yang digunakan hendaklah jelas, tepat, mudah, indah, dan menarik. Pemidato perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan kata-kata yang khusus supaya dapat mendukung maksud sebenarnya. Pemidato sering dinasihati agar menggunakan kata-kata yang sederhana dan mengelakkan penggunaan kata-kata yang bombastik. Kata-kata tersebut dimaksudkan sebagai kata yang berdegar-degar dan lebih besar daripada idea yang cuba disampaikan. Dalam hal yang perlu difahami oleh pemidato adalah lebih baik menggunakan fakta dan hujah yang mudah ditafsir dan difahami daripada menggunakan kata-kata yang bombastik ini. Lantas, penggunaan kata-kata yang tepat, jelas, dan menarik lebih menimbulkan kesan yang mendalam dan kuat terhadap pendengar. Perkataan tersebut dapat menggambarkan sikap, perasaan atau keadaan yang dilukiskan oleh pemidato.
Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa retorik sebenarnya bertujuan mempengaruhi, memujuk dan meyakinkan khalayak pendengar ataupun pembaca. Keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik dan tersusun. Hal ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka timbullah ungkapan retorik kosong. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30). Bahkan, Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, (2010:30) menyebut retorik dapat diketahui melalui dua aspek penting iaitu pengatahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik. Kedua, penggunaan tentang objek tertentu yang akan disampaikan dengan menggunakan bahasa

BENTUK BINAAN AYAT

Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna. (Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan : 2008). Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Dalam struktur tatabahasa, ayat terletak pada kedudukan yang paling tinggi. Struktur tatabahasa ini dimulakan dengan perkataan, diikuti dengan frasa, klausa, dan seterusnya ayat. Keadaan ini bermaksud, ayat terdiri daripada binaan klausa, frasa, dan perkataan. Antara bentuk binaan ayat ialah struktur ayat yang panjang dan berbelit-belit, kerap menggunakan penanda wacana, kaedah penghilangan, penggunaan kata hubung di hadapan ayat dan banyak menggunakan ayat majmuk.
 a) Struktur ayat yang panjang dan berbelit-belit
Struktur ayat yang digunakan adalah panjang dan berbelit-belit. Penggunaan ayat yang panjang sehingga terdiri daripada berpuluh-puluh perkataan dalam satu ayat agak sukar untuk difahami. Selain itu, struktur binaan ayatnya yang agak tunggang-terbalik dan banyak ayat disongsangkan memerlukan pengamatan yang lebih oleh pembaca untuk memahami sesebuah teks. Walhal, jika kita memahami teks tersebut, kita dapat merasakan bahawa perkara yang ingin disampaikan pengarang adalah perkara yang terlalu mudah sebenarnya.
b) Kerap menggunakan penanda wacana
Selain itu, struktur ayat dalam sesebuah teks turut memaparkan banyak penanda wacana berbentuk klasik. Komponen ini berfungsi untuk menunjukkan peranan bahasa dalam melahirkan pengalaman dan fikiran. Dalam hikayat misalnya, pengarang dilihat banyak menggunakan penanda wacana untuk menghubungkan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Boleh dikatakan hampir setiap ayat dalam satu perenggan yang sama ada menggunakan penanda wacana seperti syahdan, maka, hal yang sedemikian itu maka dan sebagainya.
c) Kaedah Penghilangan
Kaedah penghilangan ini turut dikenali sebagai elipsis. Kaedah ini berlaku bagi tujuan menjaga unsur-unsur yang membentuk jalinan ayat dan maksudnya. Keadaan ini bermaksud, unsur yang dianggap hilang diperoleh semula melalui konteks kebahasaan atau bukan kebahasaan.
d) Penggunaan Kata Hubung di Hadapan Ayat
 Pengarang dilihat seringkali menggunakan kata hubung di hadapan ayat. Keadaan ini merupakan satu fenomena biasa pada pengarang-pengarang zaman dahulu kerana mereka sangat mementingkan keindahan dan seni kesusasteraan dalam penulisan mereka. Mereka kebiasaannya akan memulakan ayat dengan menggunakan penanda wacana atau kata hubung seperti dan, maka dan sebagainya.

e) Banyak Menggunakan Ayat Majmuk
Ayat majmuk ialah ayat yang terbina daripada dua ayat tunggal atau lebih (Abdul Hamid Mahmood, 2006: 181). Pengarang dilihat cenderung untuk menggunakan ayat majmuk. Keadaan ini disebabkan oleh struktur binaan ayatnya yang panjang dan berbelit-belit.

FRASA DAN KLAUSA

Frasa

Frasa secara umumnya merupakan  kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Manakala menurut ahli bahasa tradisional pula frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang di gabungkan. Manakala menurut ahli bahasa moden pula, frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan. Lazimnya, dalam ayat frasa berfungsi sebagai unsur pengisi kepada subjek, predikat, objek dan keterangan.
Antara ciri-ciri frasa ialah, frasa boleh diperluaskan lagi iaitu dengan menambah perkataan lain. Selain itu frasa juga boleh disisipkan dengan unsur lain misalnya menambah perkataan, perkataan lain di tengah-tengah frasa. Malah, frasa juga merupakan konstituen yang longgar kerana boleh digugurkan mengikut konteks ayat. Bahkan frasa juga bersifat produktif kerana frasa boleh diperkembangkan lagi dengan frasa yang lain. Di samping itu, bentuk frasa juga lazimnya dalam bentuk yang umum dan mempunyai kebolehgantian yang tinggi dengan frasa yang lain. Sungguhpun demikian, frasa merupakan bukan leksikal ataupun bukan perkataan. Frasa terdiri daripada empat jenis frasa iaitu Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama. 
 Frasa kerja merupakan binaan yang boleh berdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya kata kerja. Lazimnya, kata kerja boleh terdiri daripada kata kerja transitif ataupun kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif boleh hadir bersendirian atau diikuti oleh satu atau deretan perkataan, manakala kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek serta unsur-unsur lain. 
            Frasa Adjektif merupakan susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya. Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan berfungsi sebagai predikat dan unsur keterangan dalam predikat. Secara umumnya frasa Adjektif terdiri daripada sembilan jenis iaitu, frasa adjektif sifatan atau keadaan, frasa adjektif warna, frasa adjektif ukuran, frasa adjektif bentuk, frasa adjektif waktu, frasa adjektif jarak, frasa adjektif cara, frasa adjektif perasaan, dan frasa adjektif pancaindera.
Frasa sendi nama merupakan satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi tersebut. Lazimnya frasa sendi nama terletak di hadapan frasa nama.  Sungguhpun demikian frasa sendi nama juga boleh didahului oleh kata bantu.  Antara frasa sendi nama yang lazimnya terdapat dalam bahasa Melayu ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga, oleh dengan, sampai, tentang dan sebagainya.

Klausa

Klausa merupakan deretan perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang terdiri daripada dua jenis iaitu klausa bebas dan klausa tidak bebas. Klausa bebas merupakan klausa yang boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan klausa lain. Manakala klausa tidak bebas merupakan klausa yang memerlukan klausa lain untuk melengkapkan struktur ayat. Lazimnya klausa tidak bebas hadir dalam ayat majmuk.
            Perkataan-perkataan (ayat/klausa) merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata merujuk kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan dan ia melengkapi perkataan tersebut. Contohnya, “Si Zaid itu berdirikah ia atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab dengan “Si Zaid berdiri”.

PENGARUH BAHASA ASING

Pengaruh bahasa asing dalam kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila pengarangnya, Raja Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Pengaruh bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di Makkah. Seluruh huraian dalam kitab tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu adalah berdasarkan kaedah huraian dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah yang digunakan juga dipinjam secara langsung daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa Arab dalam penulisan kitab ini dapat dilihat daripada bab permulaan lagi.
            Raja Ali Haji telah memulakan bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fifadhilati al-‘ilmu wa ‘I-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasullah SAW yang berbunyi:

Kama qala ‘ n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘I-Lahu bihi khairan yafqahahu fi’d-din”.
                                                                   (Bustan al-Katibin, 2005:4)
Barang siapa dikehendaki Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu agama”.
Penggunaan kata Arab juga dapat dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang merangkumi al-himmatal-mudarasahal-muhafazatmuzakarah dan mutala’at. Al-himmat merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula bererti kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga, al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz.Muzakarah yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan mutala’atyang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya. (Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).
            Penggunaan kata Arab juga digunakan untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel. Kata-kata tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang merujuk kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel dirujuk kepada harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:

“Pertama, pada bahasa ‘Arab isim yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga harf’.
                                                                                 (Bustan al-Katibin, 2005: 26-26)

Menurut Asmah Haji Omar (1991:138), kata pinjaman daripada bahasa Arab merupakan kumpulan yang terbesar daripada kata-kata yang dibawa dari luar alam Melayu. Kata pinjaman daripada bahasa Arab itu boleh dibahagikan kepada dua jenis. Yang pertama ialah kata yang sudah menjadi kebiasaan dalam penggunaan bahasa Melayu, sedangkan yang kedua terdiri daripada kata-kata yang kurang biasa bagi pengguna bahasa Melayu. Ringkasnya, kata-kata jenis kedua ini merupakan kata-kata keagamaan yang sungguh-sungguh “teknikal”. Kata jenis yang pertama terdiri daripada kata sehari-hari serta juga kata-kata yang merupakan istilah dalam agama Islam. Bagaimanapun, istilah keagamaan dalam kategori ini merupakan istilah yang dikenal rata-rata oleh orang Melayu Islam kerana berhadapan dengannya setiap hari. Istilah-istilah itu adalah antara lain seperti nabi, wali, zakat, syarat, tauhid, salih, rukun, halal, haram, khabar, ya ‘ni, hakikat.
Berdasarkan contoh-contoh di atas, terdapat banyak kata daripada bahasa Arab yang tidak berubah dari segi fonologinya, walaupun sudah menjadi kata sehari-hari bagi orang Melayu.  Tegasnya  bunyi sy, gh, z dan yang seperti itu tetap dipertahankan dalam kata-kata tersebut. Kata pinjaman Arab jenis kedua terdiri daripada kata-kata yang kurang biasa dalam penggunaan bahasa Melayu sehari-hari. Kata-kata tersebut betul-betul merupakan istilah pada peringkat yang lebih tinggi daripada jenis pertama tadi. Contoh kata-kata tersebut ialah thabit, mutawatir, jawhar, dharuri, tawajjuh, istidlali, mashaf, jamad, khilafat.

Kata Pinjaman Sanskrit

Menurut Asmah Haji Omar (1991:139), kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit juga dibahagikan kepada dua jenis, tetapi pembahagiannya itu berdasarkan darjat asimilasinya. Dan darjat asimilasi ditentukan berdasarkan ciri fonologi. Unsur-unsur daripada bahasa Sanskrit masuk ke dalam bahasa mereka sebagai satu-satu kata atau istilah dan bukan sebagai bahasa sepenuhnya. Dengan menggunakan ukuran fonologi ini, kita dapat melihat kata-kata yang manakan yang betul-betul sebati dengan bahasa Melayu, dan yang mana belum. Antara kata-kata tersebut ialah  karena, manusya, binyasa, syaksyi, syiksya, pandita, daruhaka, buddi, sattaru.
Gejala yang serupa dapat kita lihat dalam bahasa Melayu sekarang ini dalam menghadapi kata pinjaman. Contoh yang jelas ialah adanya paham dan faham, pikir dan fikir, dan seterusnya. Dalam contoh-contoh ini, paham dan pikir sudah memperlihatkan asimilasi sepenuhnya, sedangkan faham dan fikir belum. Kata pandita belum mengalami asimilasi sepenuhnya dari segi fonologi dalam abad keenam belas. Maknanya sebagai  “orang yang arif dalam agama” dipertahankan. Kata pendeta dalam  bahasa Melayu sekarang sudah memperlihatkan perubahan makna kepada “orang yang pandai dalam ilmu sastera atau bahasa”.

            Sebahagian besar daripada kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit merupakan kata yang sudah mengalami asimilasi ke dalam bahasa Melayu. Bahkan kebanyakan daripada kata-kata tersebut tidak lagi dirasakan sebagai kata pinjaman. Sebagai contoh, diturunkan kata-kata yang seperti kata, mula raja, negeri, acara, antara, bangsa, bahagia, rupa, dosa, pahala,    bahawa, utama, pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan